Saturday, August 9, 2014

Kota Raya Ini

Aku ada satu catatan. Catatan yang ditulis oleh hati menggunakan bahasa jiwanya sendiri. Sebelum dilahirkan oleh minda dan pemikiran, alangkah baiknya jika ditapis dulu dalam jiwa.

Norma manusia yang suka akan berjalan. Aku pernah berjalan di suatu tempat yang tidak asing di atas bumi bertuah ini. Ya, aku pernah berjalan di kota yang tidak asing. Namun perjalanan itu bukanlah sekadar berfoya-foya dan bergembira. Daripada berkumpulan, aku suka berjalan seorang. Pasti, seorang, tiada dua atau tiga dan lebih.

Kadangkala rakan taulan selalu bertanya diri ini: "Pergi KL tak ajak.","Kenapa jalan sorang-sorang". Bukan kerana sombong atau meninggi diri. Tetapi di kota tersebut biarlah aku berjalan seorang diri. Kerana aku juga manusia biasa yang inginkan waktu untuk menyendiri. Sekali lagi, bukan kerana sombong, tapi itulah caraku bermuhasabah diri. Atau mungkin juga kerana cintaku pada bumi Kuala Lumpur terlalu tinggi sehinggakan aku sendiri tidak mahu berkongsi. 

Itulah yang aku selalu lakukan apabila aku berjalan bersendirian di kota ini. Muhasabah tentang kelemahan diri dan juga mensyukuri segala nikmat yang Allah beri. Inilah ceritanya. Cerita tempat untuk aku sering melihat kembali diri. Ya, di bumi Kuala Lumpur ini.

Pandang atas, cantiknya. Pandang utara, indahnya. Pandang selatan, bestnya. Pandang barat, megahnya. Pandang timur, lengkapnya. Sungguh cantik, memang cantik kota raya ini. Itulah apa yang aku lihat untuk pertama kalinya.

Aku sering berjalan-jalan di beberapa lorong di sekitar Kuala Lumpur. Ya Allah, sedih pilu, sebak melihat keadaan beberapa manusia yang bergelimpangan di sekitar lorong tersebut. Pakaian lusuh, rambut yang tidak terurus, baju yang koyak menutupi tubuh mereka. Kehidupan mereka bagai kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Tidur di tepi jalan. Yang kaya antara mereka beralaskan kotak dan yang miskin beralaskan lantai. Namun apa yang pasti mereka semua berbumbungkan awan. 

Kadangkala terfikir bagaimana keadaan mereka berpanas. Sudah pasti susah. Bagaimana pula hujan. Juga susah. Tiada tempat berteduh, tiada jaminan hari esok. 

Melihat mereka, aku melihat diri aku. Ya, aku bersyukur kerana rambut ku masih lagi terurus, pakaian yang cantik dan tidak terkoyak. Allah, bukan untuk meninggi diri. Tetapi aku jadikan ia sebagai satu medium untuk aku terus belajar erti bersyukur.

Melihat mereka, sekali lagi aku fikir soal rezeki. Ya, duit aku banyak, boleh dikatakan tergolong dalam golongan yang senang. Apa yang aku pinta semua pasti akan ditunaikan. Tidak seperti mereka semua. Namun disebalik kesenangan itu, terbit persoalan dalam diriku. Apakah yang aku lakukan dengan segala hartaku? Adakah kugunakan ia ke arah jalan yang diredhai oleh Allah? Sekali lagi terhiris, tersentap hati ini. memikirkan persoalan itu. Mengingatkan kembali setiap ringgit, sen dan harta ini adalah milik Allah. Bila-bila sahaja boleh ditarik. Bukan sekadar harta tetapi diri aku juga.

Kuteruskan perjalanan menaiki putra, teksi dan bas. Melihat orang yang masuk bekerja. Melihat betapa gigihnya pekerja awam dan swasta bekerja. Demi mencari sesuap nasi untuk keluarga tercinta. Pergi pagi balik petang dan ada juga malam. Kadangkala ada juga ibu bapa yang tidak sempat melihat anak. Pergi kerja anak sedang tidur. Balik kerja anak sudah tidur. 

Duduk sebentar di mana-mana bangku. Aku berfikir sejenak. Kuatnya mereka melalui detik-detik tersebut. Kadangkala diri ini rasa tidak mampu melalui saat seperti itu. Namun atas kegigihan, mereka laksanakan juga tanggungjawab dan amanah mereka. Cikgu dengan mengajar di sekolah mendidik anak bangsa. Doktor ke hospital dan klinik. Polis bersiap sedia. Ya Allah kuatnya mereka.

Terlalu banyak catatan sebenarnya. Catatan aku di bumi Kuala Lumpur ini cukup mengajar aku erti kehidupan, muhasabah dan sentiasa bersyukur atas segala pemberian Tuhan.

Ya, inilah kehidupan. Tidak ada sesiapa yang dapat meneka apa yang akan terjadi pada hari esok. Segalanya berlaku dengan pantas. Namun, kita cuma mampu berharap akan ada perkara yang baik menanti hari esok.



"Ya Allah, Kau jadikanlah hari ini lebih baik dari semalam. Dan Engkau jadikanlah hari esok dan seterusnya sebagai saat terbaik buat kami semua. Amin.."

Rifhan Supian
0231 10/8/2014
Jurnal#2
Tronoh

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...