Friday, August 8, 2014

Jom, sama-sama cari reda Tuhan

Apabila kita merenung kembali setiap perjalanan yang kita tempuhi dalam hidup, melihat dari kaca mata yang positif, kita akan dapat melihat betapa sempurnanya perjalanan hidup seseorang manusia. Bermula dari saat kelahiran sehingga waktunya untuk kita pulang, setiap perkara dalam diri kita disusun dengan begitu cermat.

Setiap saat yang kita lalui tak semuanya indah namun cukup memberikan makna, melahirkan pengajaran yang boleh kita ambil untuk terus menuju ke depan. Namun, ia bergantung kepada diri kita sama ada ingin melihatnya sebagai peluang untuk maju  atau mengambilnya juga sebagai kesalahan.




Semua manusia melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang dilahirkan sebagai maksum apatah lagi sebagai malaikat yang suci daripada dosa. Semoga segala kesalahan ini dapat kita sama-sama jadikan pengajaran. Bukan untuk dicaci, bukan untuk dikeji apatah lagi dibenci.

Perjalanan hidup sentiasa berwarna-warni. Kita akan berhadapan dengan pelbagai jenis ragam manusia. Setiap hari berjalan akan sentiasa mematangkan pemikiran untuk bertindak dengan rasional. Dalam hidup ini sentiasa fikirkan soal tanggungjawab, barulah kita akan merasa senang apabila memberi. Bukan memikirkan hak yang tidak berkesudahan.

Lumrah hidup, seseorang akan datang dan pergi. Mungkin untuk seketika atau mungkin juga untuk selama-lamanya. Tapi itu bukan alasan untuk kita terus mengalah dan melupakan erti kehidupan. Jadikan ia sebagai satu cabaran dan juga pemangkin semangat untuk meneruskan kehidupan bagi menjalankan tugas sebagai khalifah Tuhan.

Lupakan soal penghargaan, lupakan soal imbuhan, lupakan soal balasan. Mulakan untuk berfikir mencari keredaan Tuhan. Moga-moga kita semua akan diberi ganjaran syurga kelak.

"Tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada Ku." (Adz-Dzaariyaat: 56)

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." (Al-Baqarah: 30)

Allahumma inni as'aluka ridhaka wal jannah. Sesungguhnya kami memohon keredaan dan syurga Mu. Amin....

Jom rakan-rakan, sama-sama cari reda Tuhan.

Rifhan Supian
0232 9/8/2014
Jurnal#1
Tronoh





No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...