Amanah Cinta

Musim Bunga 2008, Segamat, Johor.


Jam menunjukkan jam 10 pagi. Tanpa berlengah dia terus menutup buku setebal 250 muka surat itu dan berjalan ke arah surau di sekolahnya. Di sepanjang koridor, dia kelihatan tenang menyusun langkah. Sehingga ke sesuatu tempat dia terhenti seketika. Dia menoleh ke belakang. Di tingkat bawahnya, dia dapat melihat seorang pelajar perempuan, berumur lingkungan 14 tahun, lengkap berpakaian yang menunjukkan identiti Islamnya. Tudung yang menutupi dada, tahi lalat di tepi bibir dan gadis bermata coklat!!!.

Musim peperiksaan pertengahan tahun menuju ke puncaknya. Bahang pepeiksaan semakin terasa. Pada musim peperiksaan ini, setiap pelajar akan bersama dengan bukunya. Tidak kira dimana sahaja. Dari dalam kelas sehingga di surau. Masing-masing sedang tekun menelaah ilmu. Gadis bermata coklat itu sedang ghairah mengulangkaji pelajaran di taman bunga sekolahnya. Tanpa membuang masa, Arran segera mengatur langkah kembali menuju ke surau bagi menunaikan solat dhuha di surau.

Hujan terus terun mendudu menimpa bumi ketika dia sampai ke surau. Keadaan di dalam surau amat sejuk. Ditambah lagi dengan penghawa dingin yang terpasang. Arran segera mematikan suisnya dan terus mengambil wuduk. Kemudian dia terus melakukan solat dhuha di saf belakang bahagian lelaki. Selepas menunaikan solat dhuha, dia berdoa kepada Allah. Selepas mengaminkan doanya, dia terpandang ke belakang.

Gadis bermata coklat!

Dia dapat melihat dengan jelas pelajar perempuan tersebut sedang duduk tahiyat akhir. Degupan kencang jantungnya semakin laju. Entah mengapa?

‘ Ya Allah, adakah ini dinamakan cinta? Kalau bukan cinta, apa lagi? Kalau ini cinta, mengapa ia datang sewaktu aku sedang menghampiri peperiksaan SPM ku. Ya Allah, bantulah aku. Berikan sedikit aku cebisan kekuatan, bagi membangunkan diriku yang daif ini.’ Getus hatinya. Setelah itu, dia terus bergerak ke kelas untuk menyambung pembelajarannya.

*************************

Hujung minggu yang cerah. Selepas sahaja menunaikan solat subuh. Ketika inilah para pelajar akan mengambil peluang untuk turun beriadah. Pelajar lelaki kebanyakkannya akan bermain bola sepak di padang. Manakala pelajar puteri pula akan berjoging di atas balapan yang mengelilingi padang itu. Tidak kurang juga yang akan berkelah di tepi padang. Organisasi yang kreatif seperti BADAR, Pengawas Sekolah dan Kepimpinan Asrama Ibnu Sina juga akan sentiasa mengadakan mesyuarat secara santai sambil berkelah.

Arran sedang duduk di atas kerusi sambil memerhatikan ‘kampus hijaunya’. Kicauan burung sesekali menerjah masuk ke telinga. Gabungan instrumen kicauan burung, kehijauan alam dan udara yang menampar pipinya menjadi sonata buatnya. Sebagai katalis untuk ibadahnya.

Seketika mata dia tertumpu ke arah sekumpulan pelajar puteri sedang seronok berjoging. Ya. Gadis bermata coklat ada dalam kalangan mereka. Tiba-tiba degupan jantungnya kian kencang. Gadis bermata coklat itu sedang memandangnya. Dia manjadi gugup sebentar.

Jeda. Pandangan mereka bertemu dalam satu titik.

Namun beberapa detik selepas itu, segalanya berubah. Perasaannya yang dulu sedikit gugup kembali reda. Apa tidaknya, gadis bermata coklat itu ‘mengelopakkan’ senyuman kepadanya.

Hati kembali reda.

‘ Ya Allah, bantulah hamba-Mu.’ Atma hatinya berbisik.

****************************

Arran sedang menyiram pokok di taman surau sekolah. Manakala beberapa orang pelajar sedang sibuk mengemas surau. Ada yang mengemas rak buku ilmiah, menyapu sampah dan sebagainya. Baginya sumbangan baktinya kepada sekolah di saat akhir sebelum SPM ini merupakan perkara yang menyeronokkan. Kerana selepas ini, entah bila lagi dia akan dapat pulang ke sekolah ini.

Manakala gadis bermata biru sedang sibuk mengemas bilik imam. Tiba-tiba dia terjumpa sebuah buku catatan. Tiada identiti. Namun disebabkan sifat amanahnya, dia tidak membuka buku tersebut.

“ Mak awak datang.” Seorang temannya memberitahunya.

“ Dia berada di mana sekarang?”

“ Dia sedang menunggu di bilik tetamu.”

Dengan keadaan yang tergesa-gesa dia segera meninggalkan kerjanya dan berlari meninggalkan surau.

Musim Panas 2015, Cairo City, Cairo


Hening Cairo membuatkan hatinya sedikit berkecamuk. Rona rindu memancarkan rasa rindu dan pilu di epidermis jiwa. Memugar atma agar mencicip duka sedalam-dalamnya. Petang tadi pijar mentari cukup membahang. Cairo bagai dibungkus warna merah. Terang lazuardi bertukar menjadi jingga. Warna hitam menutupi langit kirmizi dan memenuhi setiap inci kota al-Qahir ini. Lorong-lorong di dada Kaherah sudah lengang. Tahrir Square yang tadinya macet dengan motokar sudah lengang.

Di musim panas seperti ini, penduduk bumi kinanah ini hanya akan menghabiskan masa di dalam rumah mereka. Sambil kaca-kaca jendela ditutup rapat bagi mengelakkan ribut pasir menerobos masuk ke rumah mereka. Manakala azan yang berkumandang dari beribu-ribu menara hanya mampu untuk menggerak mereka yang mempunyai iman yang kukuh di dada.

Di bawah langit malam itu, seorang pemuda hanya duduk berteleku sambil mengharapkan sebutir bintang keluar menemaninya. Ketika itu angin dan hawa sejuk berasimilasi mengukir sebuah suasana yang indah. Kedudukan apartmen Arran bersama-sama temannya agak stratergik. Berhadapan dengan sungai nil yang mengalir sambil ditemani neon-neon yang menerangi setiap jalan dan lorong di Kaherah.

“ Arran!!!!” Tiba-tiba satu suara memanggil dari bawah apartmen mereka. Secawan syai panas diletakkan di tepinya. Dia menghadap ke bawah.

“ Ya Mecka.” Dia menyahut.

“ Arran, kawan-kawan sedang menunggu di Rumah Johor. Katanya ada hal mustahak.”

“ Apa yang mustahak sangat? Boleh aku tahu?”

“ Itu aku tidak tahu. Tapi apa yang pasti, Farid mengajak kamu ke Hayyu Thamin. Katanya ada hal mustahak nak dibincangkan. Dia menunngu kamu di Rumah Johor.”

Tanpa membuang masa lagi, dia segera bersiap dan turun ke apartmennya. Manakala Mecka sedang menunggu di bawah. Dia agak pelik apabila melihat Mecka.

“ Mecka, awak datang naik apa?”

“ Oh. Jumeira hantar saya ke sini. Katanya, dia pun ada hal. Tapi saya pun tak pasti, apa halnya.” Mecka membalas sambil tersenyum.

“ Kau semua tak tahu. Apa yang kau tahu?”

“ Makan.” Jawab Mecka ringkas.

“ Eh. Mecka kita nak ke sana naik apa. Bukan dekat dari hadayek Helwan ke sana.”

“ Kita naik Metro nak? Tapi saya tak ada duit. Awak belanja eh?”

“ Duit saya tinggal sikit ini.”

Tanpa membuang masa, Arran hanya mengekori sahaja Mecka di belakangnya. Apartmennya dengan Stesen Metro Hadayeq Helwan tidak jauh. Hanya beberapa meter sahaja.

Akhirnya mereka sampai ke sub-stesen. Mereka menaiki metro dan perjalanan hanya mengambil masa selama 20 minit ke Hayyu Thamin yang menempatkan ramai pelajar-pelajar Malaysia. Mereka berjalan kaki ke Rumah Johor yang terletak beberapa meter dari stesen metro.

Sepanjang perjalanan mereka hanya mendiamkan diri dalam keadaan mereka yang tergetar-getar kesejukkan. Wap-wap asap kelihatan keluar dari mulut mereka sambil kedua-dua tangan mereka dimasukkan ke dalam poket baju mereka.

“ Arran, kamu pernah bercinta?”

Langkah Arran terhenti. Dia melontarkan pandangannya ke arah Mecka yang hanya tinggi bahunya sahaja. Seketika kemudian Arran kembali berjalan dalam keadaan tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Menunjukkan isyarat tidak. Mecka hanya mengekori setiap langkah Arran. Baginya tidak salah untuk menyelidik latar belakang pemimpin mahasiswa Anak Negeri Johor Kaherah itu. Kerana dia sendiri tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Arran.

Semenjak Arran sampai ke Kaherah lima tahun yang lepas. Segala urusan Arran di Kaherah telah diuruskan oleh Mecka memandangkan dia memegang portfolio sebagai Exco Kebajikan. Arran dan teman serumahnya memang mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga Mecka yang merupakan penduduk asal Kaherah. Setiap minggu mereka akan makan bersama-sama. Setiap perbelanjaan pembelajaran Arran mahu ditanggung oleh keluarga Mecka namun ditolak halus oleh Arran.

Mereka sampai di pintu masuk Rabaah El-Adawiyah yang merupakan nama baru bagi Rumah Johor. Arran dibawa ke bilik persidangan. Setiap exco kelihatan pening dengan situasi yang melanda mereka. Arran diberikan sedikit taklimat mengenai permasalahan mereka. Rupanya kebanyakkan pelajar-pelajar Malaysia dari Johor terpaksa berpindah atas arahan dari pihak atasan disebabkan sebab-sebab tertentu.

Katanya mereka ingin menaiktaraf rumah yang sedia ada. Hal ini pasti amat menyusahkan pelajar yang dudk di Hayyu Thamin kerana mereka terpaksa berpindah. Musim peperiksaan pula semakin hampir. Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Arran mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri oleh semua exco bagi membincangkan masalah yang dihadapi oleh mereka.

Dua jam berlalu akhirnya. Mereka semua bersetuju untuk menyusun beberapa program bagi mendesak Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKJPM) agar perumahan di sekitar Hayyu Thamin itu tidak dinaiktaraf. Mereka semua mengerti akan usaha BKPJM untuk memberikan keselesaan bagi anak Johor khususnya dari segi penginapan. Namun ianya bukanlah waktu yang sesuai tertutamanya musim peperiksaan akan menjelma. Waktu belajar mereka pasti akan terganggu. Tambahan pula hendak mencari rumah di Kaherah bukanlah mudah.

Organisasi dan pembahagian tugas telah disusun. Amir selaku Exco Perumahan Siswa/wi telah dilantik sebagai pengerusinya manakala Arran selaku YDP Mahasiswa Anak Johor telah dilantik manjadi penasihat dan Exco Publisiti.

Mungkin hati tidak sepanas ini jika tidak ditambah dengan kehangatan pijar mentari. Bebola raksasa masih terang. Kehangtannya menyengat setiap apa yang melata di bumi. Suhu di Kaherah dianggap mencecah 41 darjah celcius!!.

Setelah menghadiri kuliah di Universiti Al-Azhar, dia segera menunaikan solat Asar di Masjid Hussein yang berdekatan dengan Arabian Night Hotel di Al Adeed. Dia bersandar di tiang dan membuka senaskhah Al-Quran untuk dibacanya. Setelah itu dia segera mahu pulang kerana akan menghadiri forum di Wisma Nusantara bersama-sama pelajar dari Indonesia.

Dia meletakkan Al-Quran di rak dan menoleh ke belakang. Dia terbata-bata melihat sesuatu. Dia melihat seorang muslimah sedang solat dengan duduk tahiyat akhir. Wajah perempuan itu cukup jelas di matanya walaupun tirai ditutup. Namun dia tetap lagi boleh melihatnya melalui celah-celah tirai yang ditutup dengan kurang kemas itu. Entah bagaimana dia teringat akan peristiwa tujuh tahun yang lalu. Situasi yang sama di sekolahnya. Di mana dia terpandang seorang muslimah bermata coklat sedang menunaikan solat dhuha. Tanpa berfikir panjang, dia terus menyewa teksi untuk kembali ke apartmennya.

Dewan Nusantara sudah penuh dengan kehadiran pelajar-pelajar dari Malaysia dan Indonesia. Pertemuan antara pelajar Malaysia dan Indonesia ini tidak lain akan membincangkan mengenai cabaran siswa nusantara dalam menjana pertumbuhan ekonomi Asean. Sebagai seorang ahli panel dalam forum tersebut, Arran sudah bersiap sedia dengan segala data dan rekod mengenai ekonomi Asean memandangkan dia juga merupakan salah seorang pensyarah separuh masa ekonomi di Al-Azhar.

Setelah satu jam setengah berlalu. Forum akhirnya tamat. Tetamu nampak berpuas hati dengan pemimpin pelajar dari kedua-dua negara berhujah. Dalam forum tersebut, mereka telah menggariskan beberapa aspek yang penting dalam pembangunan ekonomi nusantara.

“ Arran !” Satu suara dari belakang menghentikan langkah gesitnya. Rupanya Amir datang menghampirinya.

“ Ada apa Amir?” Arran bersuara.

“ Saya dah aturkan majlis menyerahkan surat bantahan kepada YDP BKJPM mengenai bantahan pelajar Johor tentang petempatan mereka. Ini kertas kerjanya. Saya fikir, saya nak buat mesyuarat penyelarasan mengenai tugas setiap exco. Apa pendapat Arran?” Ujar Amir panjang lebar sambil menyerahkan kertas kerja kepada Arran.

“ Boleh juga. Apa-apa pun mesti dibuat cepat. Hantar kertas kerja ini kepada Marina. Suruh dia aturkan mesyuarat. Pastikan kehadiran penuh.” Arran memberi arahan.

Arran meneruskan langkahnya ke Stesen Metro Sadat di Dataran Tahrir. Sampai sahaja di stesen, dia terus membeli tiket. Selepas itu dia terus menunggu di atas bangku. Dia sempat membeli surat khabar dan beberapa majalah dan Ashir Ashab sejenis minuman perahan buah-buahan. Dia duduk di atas bangku dan membelek akhbar yang dibelinya.

Muka surat pertama memaparkan tentang cita-cita Israel yang mengatakan mereka akan membuat rundingan damai dengan Hamas. Entah berapa kali rundingan damai mereka mahu buat. Tetapi keputusannya tetap sama. Setiap kali rundingan damai dicapai, setiap itulah Rejim Zionis tetap membedil rakyat Palestin. Setiap hari ada saja anak-anak menjadi yatim, Isteri manjadi janda.

“ Assalamualaikum.” Satu suara memberi salam.

“ Waalaikumsalam.” Seorang perempuan seperti berasal dari Malaysia memberi salam kepadanya.

“ Sorry, for disturbing you. Are you from Malaysia?” Perempuan tersebut menyoalnya.

“ Ya, saya dari Malaysia. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Arran bertanya kembali.

“ Alhamdulillah. Sebenarnya saya orang baru di sini. Saya merupakan pelajar dari Malaysia. Saya ingin ke Ramses City. Jadi saya tidak tahu apa-apa mengenai perkhidmatan Metro di sini. Boleh awak tolong saya?” Perempuan tersebut meminta pertolongannya.

“ Awak dah beli tiket?”

“ Belum lagi. Lagipun saya masih kurang fasih berbahasa arab mesir di sini.”

“ Baiklah. Awak tunggu sekejap. Saya akan belikan tiket untuk awak ke Ramses City.”

“ Berapa junaih?” Perempuan tersebut mengeluarkan dompetnya. Namun Arran menunjukkan isyarat tidak perlu dan terus berlari ke arah kaunter. Seketika kemudian, dia kembali.

“ Ini dia tiket ke Ramses City. Awak ambil Metro ke utara dan akan turun di Stesen Metro Nasser. Sebelum saya terlupa, ini dia kad saya. Kalau ada apa-apa masalah boleh berhubung dengan saya.” Arran memberikan kadnya. Perempuan tersebut membaca kad tersebut.

“ Awak dari Johor?”

“ Ya, saya dari Johor. Mengapa?” Arran bertanya kembali dalam keadaan tersenyum.

“ Saya juga dari Johor. Dari Pasir Gudang.”

“ Subhanallah. Tertanya dunia ini kecil.”

Tiba-tiba Metro yang menghala ke selatan sampai.

“ Adakah ini Metro yang akan saya naiki?” Tanya perempuan tersebut.

“ Bukan, ini metro ke arah selatan.” Ujar Arran ringkas. Arran segera masuk ke dalam metro. Metro tersebut bergerak dan perempuan tersebut hilang dalam pandangannya.

‘ Aduh. Kenapa pula aku lupa tanya namanya.’ Dia menjerit dalam hatinya.

Bulan masih setia menemani. Arran pula masih berdiri di balkoninya sambil memandang ke arah sungai Nil di depan apartmennya. Sedikit demi sedikit kenangan lalu datang menerjah memorinya. Seorang gadis bermata coklat sedang menunaikan solat ketika usianya baru mencecah angka 17. Baru petang tadi, situasi yang sama berlaku.

Pedih.

Dia mengatur langkah ke biliknya. Dia bergerak ke arah papan notis. Dia merenung jauh sasarannya berada di mesir. Bermula dari belajar hingga ke terjemahan kitab. Semuanya sudah dilaksanakan. Cuma tinggal lagi dua sahaja yang belum dilaksanakan. Memperolehi master dan nikah.

Baginya menamatkan pengajian di Mesir boleh dilakukan. Namun menikah dengan salah seorang gadis Malaysia masih belum boleh. Calon pun tidak ada lagi. Inikan pula mahu nikah. Lantas dia mencapai telefonnya.

“ Betul kamu tidak ada calon untuk mak buat masa kini?”

“ Betul mak. Sampai sekarang, saya masih belum menemukan calon yang sesuai buat Arran.”

“Mak tak kisah. Jika kamu tidak dapat mencari calon di Mesir. Asalkan bila kamu pulang ke malaysia, kamu dapat mencari calonnya. Mak tak paksa kamu cari di sana?”

“ Tapi mak, kalau saya sudah pulang ke Malaysia, pasti saya dah sibuk dengan kerja mak.”

“ Arran, pernikahan itu adalah satu bentuk ibadah. InsyaAllah, akan dibuka pintu rezeki untuk kamu.”

Arran meletakkan telefonnya. Seketika dia merenung kembali sejarah hidupnya. Pernah dulu dia menykai seorang gadis bermata coklat di sekolahnya, namun disebabkan dia mahu menjaga dirinya daripada terjebak dalam fitnah, dia segera menguburkan niatnya. Tujuh tahun kemudian, insiden yang sama berulang lagi.

“ Arran, makan jom. Mecka ada hantar makanan.” Affeq bersuara dari dalam. Dia segera mengatur langkah ke dalam ruang makan biliknya.

Seawal jam sembilan pagi lagi motokar sudah macet di sekitar Nasr City. Arran, Affeq dan Nazri dalam perjalanan ke Universiti Al-azhar. Di koridor, Marina bertemu dengan Arran bagi memberitahu petang itu akan berlangsungnya mesyuarat penyelarasan terakhir bagi program penyerahan memorandum kepada YDP BKJPM pada hari lusa. Sementara Affeq dan Nazri terus sahaja ke dewan kuliah.

“ Arran, malam ini ada orang nak jumpa di Restoran Cleopatra.”

“ Siapa? Adakah dia orang baru di sini?” Tanya Arran kehairanan. Marina mengangguk. Arran cuba mengingat beberapa peristiwa lalu sama ada dia pernah berjumpa atau tidak seorang mahasiswi. Akhirnya Arran mengingatinya. Menurut Marina, mahasiswi tersebut duduk bersama-sama dengannya di sebuah rumah sewa di Ramses City.

“ Baiklah. Kalau boleh awak ikut bersama. Saya akan bawa sekali Nazri.” Marina mengangguk.

Petang tadi berlangsung dengan jayanya mesyuarat Program Penyerahan Surat Bantahan. Setiap exco memainkan peranan penting dalam membantu saudara-saudara se-negeri dengan mereka. Lusa merupakan harinya bagi mengumpulkan semua mahasiswa yang berasal dari negeri Johor dan berkumpul di Rabbah El-Adawiyah iaitu nama bagi rumah Johor.

Selepas itu mereka akan berarak ke kediaman YDP Badan Kebajikan Pelajar Johor Malaysia bagi menyerahkan surat tersebut. Sebelum itu juga akan diadakan solat maghrib dan asar secara berjemaah selain taklimat daripada Amir selaku pengerusi majlis ini.

Tidak ramai pengunjung di Restoran Cleopatra pada waktu malam. Kebiasaannya jika waktu malam di Mesir, pengunjung, penduduknya akan menghabiskan masa bersiar-siar di tepi sungai Nil ataupun di Royale Nile Tower. Nazri dan Arran masih setia menunggu. Mereka sampai 30 minit awal. Dalam suasana itu, Nazri hanya memandang keadaan sekeliling manakala Arran seakan sibuk menyiapkan tesisnya.

“ Arran, kita duduk di sini nak buat apa?” Nazri bersuara. Dia kelihatan pelik apabila disuruh bersiap oleh Arran.

“ Ada seorang mahasisiwi baru nak jumpa aku.” Arran bersuara spontan. Baginya tiada apa yang perlu disembunyikan.

“ Apa! Siswi nak jumpa kau. Alamak. Dalam diam-diam kau pasang juga ya.”

“ Diamlah. Bukan aku yang nak jumpa dia, dia yang nak jumpa aku. Dia akan datang dengan Marina.”

“ Arran, dua itu.”

“ Diamlah.” Gertak Arran. Nazri terdiam seketika. Dia cuba untuk mencari kelibat Marina. Matanya tiba-tiba terpandang sesuatu. Marina bersama seorang mahasiswi baru.

“ Arran dia dah sampai.” Arran mencari kelibat Marina. Akhirnya Marina sampai kepada mereka berdua. Arran menjemput mereka untuk duduk. Tempahan air dibuat.

“ Assalamualaikum Arran. Dia yang nak jumpa awak. Nama dia Medina. Dia juga berasal dari Johor.”

“ Marina, nampaknya kita dah ada pengganti awak sebagai setiausaha.” Seloroh Nazri. Medina masih belum berkata-kata. Mungkin kerana perasaan malunya yang masih tebal.

Satu jam berlalu. Banyak cerita Medina yang dikongsinya bersama Arran dan Nazri. Menurutnya Medina merupakan anak yatim piatu. Ibu bapanya terlibat dalam kemalangan di Kuala Kangsar beberapa tahun yang lalu. Abangnya bekerja di Iskandariyah. Namun abangnya akan ditukarkan ke Jeddah. Tiba-tiba Arran terpandang sesuatu.

“ Medina, boleh saya tanya sesuatu?” Medina mengangguk.

“ Boleh saya lihat gambar di atas buku catatan itu.” Medina memberikannya kepada Arran. Arran menerimanya. Terpampang gambar Medina bersama kawan-kawannya di depan dewan sekolahnya.

Hatinya bergetar-getar. Wajah Medina seiras dengan gadis bermata coklat di sekolahnya. Ditenung seketika wajah Medina. Ya. Mata Medina berwarna coklat. Ya. Medinalah orangnya. Perempuan yang pernah mengelopakkan senyuman kepada Arran. Arran termenung seketika. Manakala Nazri, Medina dan Marina sedang rancak berbual.

“ Arran..

“ Arran..

“ Ya. Maafkan saya. Kenapa dengan gambar itu. Kenapa wajah kamu tiba-tiba bertukar? Medina bertanya. Arran hanya mengangguk. Dari tadi Medina hanya melihat wajah Arran. Jelas perubahan pada wajahnya setelah melihat gambar tersebut. Peluh kelihatan di dahinya.

‘ Arran. Sejak pertemuan kali pertama dulu. Mengapa selepas itu, hati ku cukup bergetar bila teringatkan mu.’ Getus hati Medina.

‘ Medina, gadis bermata coklat. Sudah tujuh tahun aku menanti saat ini. Medina, bagaimana engkau boleh sampai kepada ku. Ya Allah bantulah hambamu.’ Hati Arran berbisik.

“ Medina, buku catatan ini kamu punya?” Medina mengangguk sambil menghirup Ashir Ashab yang baru ditempahnya.

“ Buku itu bukan saya punya. Saya menjumpai buku catatan tersebut ketika membersihkan rak di sekolah dulu. Sudah lebih kurang tujuh tahun saya menyimpannya. Saya tidak pernah membukanya.” Arran membelek-belek buku tersebut. Akhirnya dia tersenyum. Arran menyerahkan kembali. Hatinya kini berbunga. Ditatapnya wajah Medina dan dia tersenyum.

Nazri memerhatikan gelagat Arran.

“ Arran, aku rasa kita sudah lewat ini. Lagipun hal hari esok masih belum kita siapkan lagi. Terutamanya dari segi pengiklanan dan pemberitahuan.” Nazri berseloroh.

Tanpa membuang masa Arran hanya mengikuti sahaja. Memang benar masih banyak lagi perkara yang harus diberikan. Terutamanya berkaitan dengan program pada hari esok. Arran meminta diri dan berjalan di belakang Nazri. Seketika kemudian, sambil berjalan Arran menoleh ke belakang. Medina senyum kepadanya. Arran terus mengatur langkah ke Hadayek Helwan.

Dewan Rabbah El-Adawiyah sudah dipenuhi dengan beratus-ratus mahasiswa dari Johor bagi memberikan sokongan kepada kawan-kawan mereka. Selesai sahaja berkumpul di dewan, Affeq dan Arran segera menyerahkan makalah yang dibuat kepada semua yang hadir bagi menyatakan situasi yang melanda sebahagian besar teman-teman mereka.

Selepas itu mereka manunaikan solat Maghrib dan solat sunat secara berjemaah. Ramai orang yang hadir termasuk persatuan-persatuan dari negeri lain. Walaupun mereka bukan berasal dari negeri yang sama, namun mereka tetap menunjukkan komitmen sebagai anak Malaysia.

Amir selaku pengerusi program memberikan sedikit taklimat mengenai perjalanan mereka. Mereka akan berarak ke rumah YDP BKJPM bagi menyerahkan surat bantahan itu sendiri.

“ Encik, kami nak encik keluar dan terima surat ini dengan segera!” Teriak salah seorang dari mereka apabila sampai ke rumah YDP tersebut. Masing-masing berkumpul di pagar rumahnya.

“ Kamu semua nak apa? Baik kamu balik. Letakkan sahaja di depan pintu. Nanti saya ambil.” Encik Raziq selaku YDP BKJPM menjerit dari dalam rumah. Keadaan semakin meruncing. Kelihatan juga chevrolet biru iaitu pihak berkuasa Mesir sedang mengawal keadaan. Surat bantahan itu mempunyai tiga salinan. Satu akan diserahkan kepada Encik Raziq, kedua akan diserahkan kepada Kedutaan Besar Malaysia dan satu lagi akan disimpan.

Nazri bergerak ke depan bagi mengawal keadaan. Lantas dia mengambil pembesar suara dan memulakan ucapannya.

“ Perhatian kepada saudara saudari sekalian. Sekarang ini saya jemput semua exco tertinggi ke depan. Biar kami sahaja yang menemui Encik Raziq. Yang lain tunggu di luar. Harap bertenang.”

Akhirnya setelah keadaan berjaya dikawal, Encik Raziq membuka pintu dan menerima sendiri surat bantaha tersebut. Mereka semua bertahmid dan bersorak gembira. Encik Raziq menjelaskan bahwa dia akan menimbangkan semula cadangan bagi menaik taraf rumah di Hayyu Thamin bagi memudahkan pelajar dari Johor khususnya untuk mengulangkaji pelajaran.

‘ Satu kes dah selesai. Kini tinggal Medina sahaja.’ Getus hati Arran.

************************

“ Medina, kalau Arran itu baik untuk Medina, maka baik juga untuk Abang. Lagipun bagus juga kalau Arran itu sudah melamar kamu. Nanti bila abang dah ke Jeddah, dia boleh menjaga kamu.” Betapa senangnya hati Medina apabila terdengar ucapan tersebut keluar dari mulut abangnya.

Baru pagi tadi Arran memberitahu Marina bahawa dia ingin melamar Medina. Memandangkan juga Arran kini akan menamatkan pengajiannya dan akan membuka firma guamannya sendiri di Kaherah.

“ Arran, saya rasa masih banyak lagi yang perlu saya pelajari di sini. Harap Arran boleh membimbing Medina di sini.” Medina membritahunya.

“ Medina, saya ada satu permintaan sahaja lagi.” Hati Medina tiba-tiba bergetar semula.

‘ Ya Allah, hati telah ku berikan. Apa lagi yang lelaki ini mahu.’ Arran mengambil nafas sedalam yang mungkin.

“ Kita nikah. Kita nikah di sini juga. Seberapa segera yang mungkin.”

*************************

Qabiltu nikahaha wa tazwijaha bi nafsi mahril ala mazkur halan ala kitabillah wa sunnati rasulillah.

Dengan sekali lafaz sahaja. Arran kini sudah menjadi suami kepada Medina. Gadis bermata coklat yang pernah berada satu sekolah dengannya dahulu. Betapa indahnya pertemuan.

Pada malam itu, Arran dan Medina menghabiskan masa di balkoni hotel mereka. Perasaan Malu tiba-tiba menebal. Akhirnya Arran sudah mendapat satu idea. Dia meminta segelas air teh dari Medina. Dia merasai air teh itu.

“ Medina, kenapa air teh ini kenapa tawar sahaja.”

“ Ha? Tawar. Medina rasa sepeti biasa sahaja. Biar Medina rasa.” Medina mengambil gelas tersebut dan menghirupnya sedikit.

“ Seperti biasa sahaja. Tidak ada apa yang tawar sedikit. Cuba abang rasa.”

“ Masih tawar sayang. Kamu letak gula tak? Atau lidah kamu yang tidak dapat merasa.”

“ Mari sini Medina rasa sekali lagi. Kita tengok, lidah siapa yang tidak dapat rasa.”

“ Macam biasa sahajalah bang. Lidah abang itu yang tidak dapat merasa manis air ini.”

“ Medina, cuba kamu julurkan sedikit lidah kamu ke dalam air tersebut dan kocakannya sedikit.” Dengan rasa taat kepada suaminya, Medina menurut sahaja.

“ Dah. Mari sini abang rasa air itu.” Arran menghirup air teh tersebut. Dan meminumnya sehingga habis.

“ Manis pula air ini. Betul, jika bidadari dapat mengubah rasa sesuatu air, maka air teh ini juga berubah apabila dikocakkan dengan lidah kamu, bidadariku.”

Arran hanya tersenyum manakala Medina menunjukkan muka merajuknya. Tidak lama kemudian, Medina mengejar suaminya keliling balkoni. Mereka melagukan melodi cinta paling indah dalam sejarah manusia. Sambil mengharapkan pahala berjihad kepada Allah dan lahirnya generasi yang menaikkan kalimah Allah di muka bumi.

*************************

Musim Luruh 2015, Iskandariyah, Mesir.


Sudah lebih kurang sebulan mereka bergelar suami isteri. Namun perkahwinan mereka seakan diberkati. Semakin hari semakin sayang. Semakin pandai pula Arran bergurau mengenakan Medina. Pada musim luruh tahun tersebut mereka mengambil keputusan untuk berbulan madu di Iskandariyah sambil menghirup ketenangan angin mediteranean.

Suatu hari mereka baru sahaja habis menunaikan solat maghrib dan hajat secara berjemaah. Selepas Medina mengaminkan doa yang telah dibaca oleh Arran, Medina duduk bersila di atas sejadah dan membuka kain telekungnya. Arran masih romantik sehingga dia berbaring berbantalkan peha Medina. Medina pula mengusap rambut Arran.

“ Abang, adakah abang sanggup sehidup semati bersama saya?” Medina bertanya kepada suaminya. Arran memandang Medina sambil berbaring berbantalkan peha Medina. Arran hanya terdiam dan seketika kemudian dia menggeleng. Medina agak terkejut. Namun diteruskan pula soalan kedua.

“ Adakah Medina merupakan insan yang paling abang sayang di dunia ini?” Soalan kedua ditanya namun Arran tetap memberikan respons yang sama.

“ Apa buktinya abang sayangkan Medina?” Arran menggeleng lagi. Tiba-tiba kelopak matanya bergenang. Pertama kali Arran melihat mata coklat isterinya digenagi dengan air.

“ Sayang, abang tak habis jawab lagi. Baiklah sekarang abang akan jawab, kenapa abang tak sanggup sehidup semati dengan sayang. Sebab abang percaya pada takdir. Kalau kita sama-sama meninggal, siapa yang akan mendoakan antara kita jika kita meninggal. Dan abang tak mahu sayang atau abang sendiri membunuh diri. Kerana hukumnya berdosa besar. Ingat ini amanah dalam cinta kita. Jangan sesiapapun membunuh diri jika salah seorang meninggal. Janji?” Ujar Arran. Medina mengangguk.

“ Kedua, insan yang paling abang sayang tentulah ibu abang. Mungkin sayang lupa. Biar abang terang. Sesungguhnya syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu.”

“ Dan soalan yang terakhir, abang akan membuktikan cinta abang melalui teguran sekiranya sayang melanggar perintah Allah. Abang tidak boleh membuktikan cinta melalui perkara materialistik. Fahamkan? Kita solat berjemaah ini pun abang kira sebagai tanda cinta abang kepada sayang.” Ujar Arran panjang lebar sambil memegang pipi isterinya. Tiba-tiba Arran mengeluarkan buku catatan yang lama dicarinya.

Dia ingin membuka buku catatan tersebut. Namun dihalang oleh Medina. Sambil tersenyum dia membuka halaman belakang. Terdapat satu tandatangan di situ. Arran mengambil sebatang pen dan mengukir tandatangannya dan ditunjukkan kepada Medina.

Sama.

Kini Medina sedar, dia kini menyimpan diari milik suaminya sendiri. Medina agak terharu.

“ Sebentar, abang cuba bacakan yang pertama.” Belum sempat dia membacanya, tiba-tiba Medina jatuh tersembam ke atas lantai.

Medina dibawa ke hospital. Tiba-tiba sahaja Arran merasakan Kota Iskandariyah yang dipenuhi dengan cahaya menjadi gelap gelita. Bulan madu mereka yang indah semua bagaikan kristal yang pecah dan menjadi palitan cat kelabu. Setelah satu jam menunggu akhirnya doktor yang merawat isterinya keluar.

“ Puan, bagaimana dengan keadaan isteri saya?” Arran bertanya kepada doktor.

“ Isteri awak mengalami pertumbuhan darah putih yang sangat aktif. Sehingga kini sel darah putih itu tidak terkawal dan memakan sel-sel lain yang ada di dalam badannya. Ia mengakibatkan isteri awak akan menjadi lemah dan akan sering kali pitam dan seterusnya koma. Namun, dalam kes isteri kamu ini, bilangannya terlampau banyak sehinggakan membawa kematian.”

“ Ada harapan kalau ingin membuat pembedahan?”

“ Setakat ini, tidak ada caranya bagi merawat kes kritikal seperti isteri kamu ini. Namun, jika kamu terus memberikan semangat kepadanya. InsyaAllah dia mampu hidup lebih lama lagi. Beginilah. Jumpa dengan isteri kamu. Berikan sedikit kekuatan kepadanya.”

Arran memasuki unit rawatan rapi yang menempatkan isterinya. Baru sekejap tadi dia membeli belah bersama dengan isterinya. Baru sekejap tadi, dia mengangkat isterinya ketika menonton satu pertunjukkan di lorong Iskandariyah. Patutlah kebelakangan ini dia sering kali melihat Medina seakan lemah, kadangkala pitam. Baru sahaja Arran mahu mengimpikan cahaya mata kerana menyangka Medina hamil.

Dia menghampiri Medina dan duduk di sebelahnya. Seketika kemudian Medina terjaga. Dia melihat suaminya bersama diarinya.

“ Abang, boleh abang janji sesuatu?”

“ Tidak. Sayang pasti akan sembuh. Kuatkan semangat. Jangan mudah berputus asa.”

“ Abang, berjanjilah dengan Medina. Kalau masanya sudah sampai, walaupun kuatpun semangat seseorang itu, tetapi Medina akan pergi juga abang. ” Pohon Medina.

“ Abang, selepas ini mungkin abang akan berasa kesunyian selepas Medina pergi. Namun, Medina tidak mahu abang kesunyian. Carilah seorang pengganti Medina. Boleh. Abang jadikan ia sebagai satu amanah dalam percintaan kita.” Pinta Medina. Manakala suaminya hanya mengangguk. Air mata mula tumpah di atas pipi masing-masing.

“ Abang, setiap malam, sebelum saya tidur, abang pasti akan membacakan beberapa tafsir ayat Al-Quran, sehingga saya tertidur di atas dada abang. Abang, boleh atau tidak, kalau abang membacakan sedikit sahaja buku catatan abang itu?” Suaminya mengangguk. Dia membuka diari tersebut.

Catatan 1. Mac 2008

Musim Bunga mula menjelma. Musim peperiksaan, kian terasa. Biasanya pada waktu ini aku bungkam di kamar sendiri. Namun malam ini, aku mahu keluar dari kebiasaan. Aku mahu belajar. Namun apabila aku mahu mulakan pelajaran. Pasti akan ku teringat, seorang gadis bermata coklat. Dia merupakan pelajar tingkatan 2. Aku pula di tingkatan 5. Gadis itu sering kali mengelopakkan senyuman kepadaku. Ya Allah, adakah ini cinta? Tidak. Aku cuba melawan perasaan. Mengatakan itu bukanlah cinta. Namun, atas kehendak Allah apa-apa sahaja boleh berlaku dengan kun fayakun sahaja. Dan apa yang paling pasti, kepada-Nya kita semua akan dikembalikan.


Pada ayat terakhir itu. Kedengaran kalam tiada tuhan selain Allah. Dia melihat mata isterinya terpejam. Diperiksa nadinya, tiada. Ketika itu hanyalah air mata sahaja yang mengalir. Arran mencium dahi isterinya yang sudah tiada. Akhirnya dia menangis di atas tangan isterinya. Masih terngiang-ngiang apa yang diucapkan oleh isterinya dulu.

“ Abang, selepas ini mungkin abang akan berasa kesunyian selepas Medina pergi. Namun, Medina tidak mahu abang kesunyian. Carilah seorang pengganti Medina. Boleh. Abang jadikan ia sebagai satu amanah dalam percintaan kita.”

‘ Medina, berikanlah abang masa untuk menyempurnakan amanah cintamu.’

Musim Sejuk 2020, Malaysia Airline System.


“ Begitu ceritanya Encik Arran?” Tanya Encik Zaki. Arran hanya mengangguk. Air mata sudah mengalir di pipinya.

Kapten kapal baru sahaja mengumumkan bahawa mereka akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan kini dia sudah memasuki ruang udara Malaysia. Arran baru sahaja balik dari melaksanakan umrah.

Selesai sahaja pendaratan semua penumpang dibenarkan untuk keluar dari pesawat.

“ Encik Arran, adakah Encik Arran dapat menyempurnakan amanah cinta Medina?” Encik Zaki bertanya.

Arran mengesat air matanya. Seketika kemudian, Arran mengangguk.

“ Ya. Ini isteri saya Mecka. Dan ini pula anak saya Aqsa. Alhamdulillah, saya dapat menyempurnakan amanah cinta Medina.

TAMAT



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...