Warkah Cinta Teratak Syurga

Angin sore masih lagi meniup menampar pipi Nadiah. Sambil menghirup teh panas di balkoni rumahnya yang menghadap pinggir pantai Dubai, dia masih lagi terpaku menatap surat yang baru diterimanya dari Malaysia. Namun, tiada alamat pengirim tertera di lembaian surat. Namun dia tahu bahawa surat tersebut ditulis oleh ahli keluarganya. Air mata mula mengalir tatkala dia menghabiskan beberapa kalam di surat tersebut. Namun segala-galanya sudah terlambat!

Nadiah, pulanglah ke teratak kita. Teratak yang dulunya pernah menjadi istana buat keluarga kita. Masih ingatkah lagi? Masih ingatkah lagi teratak itu? Tatkala hujan, terdengar bunyi air hujan jatuh menitis ke atas atap yang diperbuat daripada zink karat itu. Apabila atap tersebut bocor, air hujan akan masuk ke rumah kita dan menghempas ke atas tanah yang menjadi lantai teratak itu.

Pernah dahulu kau berkata kepadaku. Kakak, nanti bila Nadiah dah besar, kita tak akan rasa lagi hujan menitis ke dalam rumah kita lagi. Kita akan hidup dalam sebuah rumah banglo yang besar. Saya akan bawa kakak ke luar negara. Kita tak akan makan lagi ubi, nasi dicampur dengan garam dan air kosong. Ketika itu kita akan memakan makanan yang sedap dan lazat. Lantai rumah kita akan dihiasi dengan marmar putih dari Pergunungan Alps. Bukan tanah yang kita ambil hasil daripada sedekah Pak Rahmat depan rumah.
Ketika itu adik masih kecil. Adik baru berumur lima tahun dan pada masa itu, kakak juga masih berumur 14 tahun. Kakak bangga dengan adik. Adik berjaya mendapat semua itu. Hasil daripada usaha adik. Adik kini menjawat Ketua Eksekutif di syarikat perkapalan Dubai. Adik mempunyai rumah yang indah. Cukup berbeza dengan teratak yang entah bila akan runtuh ini. Semakin lama, garis garis usang masih lagi ada di papan teratak kita. Adik juga mempunyai suami yang kaya raya. Tahniah adik. Ikhlas daripada kakakmu,

Dianah.

Namun, itulah manusia. Itulah bahayanya kejayaan yang gemilang. Kadang-kadang dengan kejayaan yang ditempa, manusia leka dengan tanggungjawabnya. Kakak berharap surat daripada kakak ini, akan menyedarkan mu wahai adikku sayang. Dalam warkah ini kakak, akan menceritakan sejarah hidup kita sekeluarga.

Di hari yang indah pada ketika itu, kakak sedang bersama-sama ibu menganyam ketupat di luar teratak kecil kita. Tiba-tiba sebuah kereta polis berhenti dihadapan rumah. Keluarlah seorang ibu sambil mengendong anaknya yang ketika itu masih baru lahir. Ketika itu kakak baru berusia sembilan tahun. Kakak tidak mengerti apa yang dilakukan oleh ibu tersebut bersama mak. Selepas itu polis tersebut berlalu pergi. Namun dalam dokongan emak, terdapat bayi yang baru lahir. Itulah Nadiah.

Wahai adikku Nadiah,

Adik sebenarnya hanyalah seorang adik angkat kepada kakak. Ayah kakak meninggal dunia di hari kakak dilahirkan. Ibu kandung adik terpaksa menjalani hukuman penjara selama tiga tahun, namun Allah masih sayangkan ibu adik. Ibu kandung adik pergi menghadapnya setelah tiga bulan dia di dalam penjara. Berita itu sampai kepada kami. Akhirnya kakak gembira. Kakak kini telah mempunyai seorang adik yang comel. Itulah Nadiah. Nama Nadiah itulah yang kakak berikan kepada adik. Kalau adik sedar nama kita tidak jauh beza. Itulah bukti betapa kakak begitu sayang kepada adik.

Nadiah,

Kakak tidak buta. Kakak tidak pekak. Kakak masih dianugerahkan mata dan telinga. Sehinggakan kakak tidak pernah melupakan tanggisan adik. Tanggisan adik kerana panasnya teratak kita. Kakak tidak boleh melupakan saat adik mula belajar berjalan. Dan, kakak tidak pernah lupa tentang kepulangan ibu kita ke rahmatullah. Pada masa itu, kakak sudah berjanji dengan ibu, bahawa kakak akan tetap menjaga adik. Walau sesusah mana sekalipun.
Kakak mengambil keputusan untuk berhenti belajar pada usia kakak 16 tahun. Hanya semata-mata untuk menguruskan adik yang tercinta. Untuk menguruskan persekolahan adik yang ketika itu baru menginjak darjah satu. Langit kakak tidak pernah ceria dan hati kakak juga tidak pernah tenang. Di subuh yang hening, sebelum menunaikan solat subuh, kakak akan pastikan sarapan untuk adik sudah siap, buku-buku adik, pakaian persekolahan adik. Selepas adik bersarapan, kakak akan menghantar adik ke sekolah.

Masih ingatkah? Perjalanan adik ke sekolah, kita akan berjalan di atas paip air yang besar. Dan ketika itu, kakak akan memimpin tangan adik. Kita akan berlari menyelamatkan diri daripada balingan batu kerana mereka menghina kakak, hanya kerana kerja kakak mengutip sampah setiap hari di kawasan kampung. Apabila kita sampai di kawasan berpaya, kakak pasti akan mendokong adik. Kerana kakak tidak mahu kasut adik kotor. Naluri seorang kakak memang mahu melihat adiknya sentiasa kemas ke sekolah. Kakak tidak mahu baju sekolah pembelian kakak dengan bantuan Pak Rahmat itu kotor.
Selepas, menghantar adik, kakak tidak terus pulang. Bahkan untuk menyara adik sekolah, kakak akan terus ke kedai Tauke Lim untuk bekerja di kedainya. Setiap hari tangan kakak melecet kerana mengangkat guni-guni. Badan kakak sakit. Namun kakak tidak pernah menjerit dan menangis meminta simpati dan kasihan. Kakak masih lagi mempunyai maruah. Di kala malam pula kakak akan menulis cerpen dan puisi. Itulah sahaja bakat yang kakak ada.
Dengan adanya bakat itu, kakak mula menulis dan menghantarkan karya kakak ke semua majalah yang sanggup menyiarkannya. Moga-moga ia akan menambahkan lagi hasil duit kakak.

Wahai Nadiah.

Sesungguhnya Tuhan itu memang mulia Nadiah, Ketika adik darjah lima, karya kakak mula tersiar di arus perdana. Pelbagai imbuhan kakak dapat daripada pihak penerbitan. Walaupun tidak lumayan, tetapi sedikit sebanyak dapat menambahkan lagi duit kakak untuk menyara adik. Lalu, dengan bantuan Tauke Lim, kakak cuba untuk mendapatkan pen dan kertas yang berkualiti. Kakak mula bercita-cita untuk menulis novel. Bukan untuk populariti, tetapi sebagai sumber rezeki.

Nadiah, kakak sungguh gembira tatkala adik mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan ditawarkan ke Sekolah Tun Fatimah di Johor Bharu. Dengan perasaan bangga kakak bercerita mengenai adik kepada Pak Rahmat, Tauke Lim. Mereka begitu berbagngga dan Tauke Lim juga memberikan kakak upah yang lebih. Dia juga mahukan Nadiah berjaya dan memastikan bahawa kakak akan terus menjaga adik. Saat itu, kakak mula mengimbau kata-kata adik yang kita akan duduk di rumah banglo, makanan yang sedap dan lantai marmar dari Pergunungan Alps. Saat itu kakak merasakan kehidupan kita akan berubah.

Di perhentian bas Kangar, kakak menangis pertama kali selepas enam tahun mata kakak membeku. Semestinya seorang kakak akan berbangga melihat kejayaan adik-adiknya, walaupun jauh di sudut hati kakak, kakak tidak mahu membiarkan Nadiah pergi. Namun, untuk melihat Nadiah berjaya, kakak merelakan pemergian Nadiah. Memang, penghijrahan merupakan satu perintis ke era kegemilangan. Setiap daripada manusia itu memang terpaksa berhijrah jika ingin kejayaan. Kakak memeluk Nadiah erat-erat dengan dua tangan kasar kakak. Masakan kakak akan lupa saat itu. Itulah perpisahan pertama kakak dengan Nadiah sejak ibu pergi.

Benar wahai adik,

Malam itu Nadiah meninggalkan kakak dalam kesedihan dan sendirian di teratak usang. Nadiah tidak mendengar lagi bunyi zink tatkala hujan menimpa ke atasnya ataupun tidur di atas tilam papan berselimutkan koyakkan kotak. Pada malam itu, Nadiah tinggalkan teratak kita untuk Kakak huni sendirian.
Ya. Memang benar, Nadiah mungkin tidak mengerti apa itu kesunyian. Tetapi kakak mengerti. Nadiah mungkin tidak mengetahui apa itu khali. Tapi kakak mengerti. Rasa kesedihan yang membucas dalam diri ini memaksa kakak untuk menulis bagi melampiaskan perasaan sediah dan rindu kakak. Setiap malam selepas kerja, kakak tidak terus tidur. Tetapi dengan ditemani lampu minyak tanah yang kakak kutip dari sebuah tempat pelupusan sampah, kakak akan menulis. Setiap hari kertas akan menjadi teman kakak. Banyak cerpen yang kakak hasilkan sehingga belum pasti entah mana akan kakak hantarkan. Dalam masa yang sama, kakak beransur-ansur menyiapkan novel tidak kurang juga puisi-puisi bertemakan kemanusiaan.

Kakak berharap pulangan daripada penulisan kakak ini akan membantu pembiayaan adik di sekolah menengah dan juga adik di universiti nanti. Kakak juga pasti yang adik akan belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai hasrat ibu. Setiap bulan kakak akan menghantar surat agar Nadiah akan sentiasa mengingat kakak dan juga asal-usul kita.
Lima tahun berlalu dengan begitu perlahan sekali buat kakak. Sejurus Nadiah habis SPM, nadiah akan pulang bercuti selama empat bulan di teratak kita. Pada hari Nadiah akan pulang, kakak minta cuti dari Tauke Lim bagi menjemput Nadiah di perhentian bas kangar. Kakak amat berbangga pada ketika itu. Perasaan gembira menjelira dalam diri tatkala mendapat tahu bahawa adik akan bercuti selama empat bulan. Banyak pengalaman adik belajar di Sekolah Tun Fatimah adik ceritakan pada kakak. Dengan kegembiraan yang kakak ada, semangat kakak untuk menulis kian bertambah. Idea datang berbondong-bondong. Akhir Februari novel kakak juga sudah diterbitkan.

Namun hati kakak sekali lagi menjadi walah ketika mendengar adik akan menyambung pelajaran di Colorado, Amerika Syarikat untuk mendalami jurusan stratergi perniagaan. Segalanya hilang dan inspirasiku terhenti di situ ketika memikirkan adik akan pergi jauh lagi dari sebelumnya.

Nadiah,

Kakak sering kali termenung membuang pandangan ke sawah padi di belakang teratak kita. Sehinggakan ada kalanya kesunyian dan kesepian hanyalah diutuskan untuk menemani kakak sahaja. Segala duka keperitan dan kepayahan hanya untuk kakak sahaja yang hurung. Kakak memiliki sekeping hati yang hanya untuk dihuni oleh segala bentuk panahan kesunyian. Adik, beribu kali kakak jatuh, kakak bangun sendiri. Ketika hati kakak sedih atau kecewa, kakak pujuk sendiri. Luka berdarah di hati kakak, akan kakak ubatinya sendiri. Tanpa memikirkan dan mengharapkan bantuan orang. Demi menggapai wawasan ibu yang mahu melihat adik berjaya.

Novel kakak ‘Lambaian Madinah’ telah diterbitkan hanya beberapa hari sahaja adik akan ke Colorado. Dengan wang yang kakak simpan, segala urusanmu telah dibereskan. Di Lapangan Terbang Kangar, sekali lagi kakak melambai ke arah mu dengan tangan yang terketar-ketar. Di situlah titik hidup kita berpecah. Sekali lagi adik tinggalkan kakak di teratak usang kita. Pesawat 304-A itu bukan sahaja membawa jasadmu, tetapi bersama dengan hati....Maka kita pun terpisah.

Selepas dua tahun kita berpisah, hati kakak menjadi tak menentu. Duit perbelanjaan adik tetap kakak hantar walaupun kakak tahu adik punyai wang biasiswa sendiri. Sehinggalah di tahun yang kelima, adik kembali menghubungi kakak bagi menyatakan bahawa adik mahu berkahwin dengan seseorang sejurus tamat pengajian adik di sana. Walaupun kakak, terkejut namun kakak tetap bangga apabila adik dapat bertemu dengan seseorang. Kakak dapat tahu bahawa suamimu seorang yang berada dan kaya. Keluarganya dihormati. Kakak doakan adik bahagia. Semua wang kakak akan hantar bagi urusanmu di sana. Sehinggakan wang kakak pada ketika itu hanyalah ada RM 52 sehinggakan kakak terpaksa berhutang dengan Pak Rahmat dan Tauke Lim.

Namun Nadiah.

Selepas adik berkahwin, adik seakan melupai kakak. Hari semalam bagaikan tidak pernah adik kenang. Kakak dapat tahu bahawa adik pulang ke Malaysia pada tahun berikutnya. Namun, adik terus menetap di Bangi bersama keluarga suami adik. Ketika berita itu sampai, kakak menangis semahu-mahunya. Mahu sahaja kakak mengambil tiket bas ke Bangi bagi menjengukmu. Namun masalah kesihatan menjadi penghalang utama bagi kakak. Mengapa Nadiah? Adakah kerana adik takut akan kemiskinan ini? Adakah adik malu untuk kembali ke teratak buruk kita? Adakah adik risau bahawa kakak akan menjatuhkan maruah adik? Melalui Tauke Lim kakak dapat tahu bahawa adik akan bekerja di Dubai dan akan terus menetap di sana. Sekali lagi dunia akan menjadi gelap. Mulai hari itu kakak tidak mampu bangun. Segala kerja penulisan telah kakak tinggalkan. Kakak berhenti kerja.

Kakak menyayangimu Nadiah. Jika adik mahu kakak pergi, kakak akan menjauhi dari adik. Jika adik mahukan kehormatan, kakak sanggup melutut. Malah nyawapun akan kakak beri jika itu yang adik pinta. Terima kasih adik, kerana telah memenuhi wawasan ibu. Bencilah kemiskinan yang kakak ada! Namun, kakak hanya mahu adik tahu bahawa kasih sayang kakak bagaikan laut yang tidak pernah kering sekalipun kemarau melanda. Kasih sayang kakak bagaikan masa yang sentiasa berlari. Semenjak ibu pergi, adik sudah bertapak kukuh di hati kakak.

Kerana sayang, kakak coret dan tintakan kiriman terakhir untuk adik. Semua royalti cetakan ketiga novel Lambaian Madinah kakak kirimkan. Kerana kakak sudah penat hidup. Kakak sudah tidak tegar melalui hari-hari yang pedih ini. Tuhan berikan kakak ketumbuhan di usus. Dan..Doktor mengesahkan yang kakak akan mati.

Mulai hari ini, sajak Tabir Subuh, Jendela Bayu, Sinar Harapan dan Sayangnya Adik tidak akan ada lagi di persada media. Inilah titik terakhir. Pun begitu, kematian kakak tidak akan mengeringkan lautan kasih sayang terhadap adik. Adik tidak akan menemui kakak lagi di dunia ini. Nisan kakak akan sentiasa menantimu jika adik datang bila berubah hati. Kakak tidak akan membencimu kerana kakak sudah memaafkan adik. Kembalilah dengan hati yang rela.

Nadiah,

Dengan tangan kakak yang terketar-ketar, tubuh kakak yang mengering, kakak coretkan surat ini kepadamu. Kakak serahkannya kepada Tauke Lim kerana dialah yang layak menguruskan surat ini. Ketahuilah jika kiriman ini sampai, kakak sudah tidak ada lagi. Hidup kakak susah dan sunyi. Mati juga sunyi.

Kakak tidak pernah miskin cinta. Kakak tidak pernah gagal memberi. Kakak tidak pernah gagal dalam melunaskan tanggungjawab. Nadiah, terima kasih kerana telah menggembirkan kakak dulu. Terima kasih kerana telah memenuhi wawasan ibu. Terima kasih atas kejayaan ini. Kakak tidak pernah kecewa, malahan kakak tetap bangga dengan diri kakak. Kakak mengenali siapa sebenarnya kakak. Kakak merupakan seorang yang miskin, namun tidak pernah gagal memberi. Nadiah, adik adalah inspirasi kakak. Nadiah telah menjadi simbol dan bukti kewujudan kakak. Kakak puas bila sentiasa mengenang diri ini. Terima Kasih Nadiah...

Dianah Syaliza.
Kakak.


Dengan hati yang kesal Nadiah hanya mampu memandang pantai indah di hadapannya. Ya, kini dia telah ada segala-galanya. Banglo yang menghadap pantai. Lantai marmar. Chendeliar yang besar di tengah rumah. Namun dia sedar walaupun dia memiliki segala yang diidamkan namun dia telah kehilangan seseorang yang berjasa buat seluruh hidupnya. Dia kesal.

‘ Kak Dianah

‘ Maafkan Nadiah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...