Intermeso Sekuntum Sakura


“ Awak jangan nak bohong. Mak kita lagi cantik. Sebab itu ayah kita kahwin dengan mak kita.”
            
    “ Awak nak bagi hadiah ini pada siapa? Awak mana ada mak!”

                “ Tahu tak semalam waktu hari jadi mak kita, ayah kita hadiahkan rantai.”

                “ Mana boleh pinjam basikal ini. Basikal ini mak kita bagilah.”

                Suara rakan-rakannya masih lagi terngiang-ngiang di telinganya. Ali keluar dari kelas 1 Arif dengan wajah yang sugul selepas tamat persekolahan. Hatinya menjadi sebak apabila dicerca oleh rakan-rakannya. Perasaan cemburu melihat rakan-rakannya menceritakan perihal ibu masing-masing sering kali mencengkam atmanya. Dia tidak pernah merasai betapa mesranya dikucup ibu. Dia tidak pernah merasa betapa nikmatnya kasih sayang ibu. Dia tidak pernah merasai semua itu.

                Di selekoh jalan menuju ke rumahnya, dia terlihat Farith sedang berjalan ke kedai ais krim. Dia tersenyum apabila melihat Farith. Satu-satu rakan yang mengenali perasaannya. Dia segera melajukan langkahnya. Dia ingin mengajak Farith untuk bermain bersama-sama pada petang ini. Tiba-tiba langkahnya terhenti tatkala dia melihat seorang perempuan berusia lingkungan 30 tahun ke atas menuju ke arah Farith. Mereka kelihatan mesra. Tiba-tiba Farith terlihat Ali yang sedang memerhatikannya.

                “ Ali jom makan ais krim!”  Jerit Farith sambil dia dan ibunya tersenyum. Air mata kembali bergenang dan akhirnya mengalir di wajahnya yang comel. Dia mengesat matanya. Dia menggeleng dan terus berlari ke rumah. Hujan turun mendudu seakan memahami perasaannya. Sedih.

                ‘ Ya Allah, Kau ampunkanlah dosa-dosaku. Sesungguhnya aku berdosa kepada Mu. Bantulah aku dalam membesarkan Ali. Aku mahu dia menjadi seorang yang berguna kelak. Aku tidak mahu dia akan mengikuti seperti ku dahulu.’ Encik Razmi mengaminkan doanya. Lantas, kenangan tujuh tahun lalu kembali menerjah ruang memorinya.

                Pintu biliknya dikuak. Ali berlari ke arahnya dan terus baring berbantalkan pehanya. Encik Razmi hairan melihat anaknya. Kebiasaannya sewaktu pulang dari sekolah, Ali akan kelihatan ceria, namun hari ini sebaliknya.

                “ Kenapa Ali menangis?” Tanya Encik Razmi ringkas.

                “ Ali rindukan mama. Pa, siapa sebenarnya mama Ali? Dia di mana sekarang? Kenapa dia tak jaga Ali? Kenapa dia tinggalkan kita?” Pertanyaan Encik Razmi dibalas dengan pertanyaan yang paling tidak diinginka olehnya. Bagaimana dia harus menjawab? Bagaimana Ali mula memikirkan soal ibunya.

                “ Mama dah meninggal dunia sayang. Mama meninggal sewaktu melahirkan kamu.” Jawab Encik Razmi ringkas. Baginya biarlah dia berbohong. Dia merasakan belum sampai waktunya lagi dia berterus terang perihal sebenarnya. Lagipun Ali masih berumur tujuh tahun. Dia masih lagi kecil untuk mengetahui perihal ibunya. Biarlah ia menjadi rahsia. Mungkin bila Ali dah besar dia akan menceritakan perkara yang 
sebenar.

15 Tahun Kemudian

                Balqis masih lagi menantikan coaster untuk dia pulang ke rumahnya di Irbid. Dia mengerling ke arah jam. Jam sudah menunjukkan jam 11 malam. Hatinya semakin gusar setelah dia menyedari tiada lagi kereta yang lalu di jalan tersebut. Beberapa orang pemuda Arab yang melepak sambil minum-minum di hadapan Restoran Abu Sayyef menoleh ke arahnya dan bersiul-siul. Hati Balqis menjadi panas apabila menyedari dia mula menjadi bahan perhatian.

                ‘ Hisy!! Aku yang berjubah macam ini ada juga yang nak menggatal. Coaster cepatlah sampai.’ Hatinya menjeit. Dia kembali teringat pesanan ibu bapanya agar dia tidak berjalan seorang diri. Namun, setelah membantu Fatihah mengemas barang untuk berpindah, dia segera ingin pulang ke rumah walaupun sudah lewat malam. Boleh sahaja dia jika dia ingin menumpang rumah Fatihah.
                Tiba-tiba perasaan lain pula muncul. Bagaimana sekiranya rakan-rakannya melihatnya. Lebih-lebih lagi jika siswa yang melihatnya. Seorang exco tertinggi siswi berjalan-jalan pada malam begini. Sudah tentu perkara ini akan dibangkitkan oleh siswa dalam mesyuarat bulanan nanti. Dia segera mengetepikan andaian tersebut.
  
              ‘ Argh! Lelaki memang selalu mencari kesalahan perempuan.’

                “ Assalamualaikum.” Satu suara tiba-tiba datang dari arah belakang di tempat menunggu tersebut. Dadanya kembali kencang. Dia menjawab salam perlahan sebelum memandang ke arah pemuda terbabit dan nama negara pada tag namanya

                ‘ Nasib baik pemuda Malaysia.’ Dia seakan pernah berjumpa dengan pemuda terbabit di kampus. Agaknya siswa baru.
   
             “ Nak ke mana?”

               “ Dawwar Jami’ah”

               “ Seorang sahaja?”

               ‘ Buta agaknya dia ini. Tak nampak aku seorang sahaja di sini dari tadi. Atau pertanyaan itu 
merupakan satu sindiran?’ Dia menggerutu di dalam hati. Tiga warna pada lampu isyarat bertukar-tukar warna bagi mengawal lalu lintas. Keadaan di jalan mula berkurang.

               “ Bahaya jalan seorang-seorang begini. Boleh menimbulkan fitnah. Nanti kalau jadi apa-apa siapa yang susah?”
   
             Ayat tersebut sudah dijangkakan akan keluar daripada mulut lelaki tersebut. Suaranya agak lembut namun menusuk. Akhirnya coaster dari arah Hentian Amman betul-betul berhenti di hadapan pondok tersebut. Mereka berdua menaiki coaster tersebut untuk pulang ke rumah masing-masing. Coaster terus bergerak meninggalkan persimpangan Dawwar Nasiem, menyusuri Jalan Eilud-Balad Pusat Rekreasi Irbid di sebelah kanan mereka masih lagi bernyawa. Restoran masih lagi berpengunjung. Begitu juga Pizza Hut di sebelahnya. Saling bersaing menarik pelanggan.
      
          Coaster hampir tiba di Bab Gharbiy. Balqis meraba saku jubahnya. Dia berasa sedikit aneh. Tangannya terus menggagau di saku sebelah kirinya, mencari dompet yang memang sentiasa dibawa. Tiada. Dada mula dihempap debar.
       
         ‘ Ke mana perginya dompet aku?’  Pertanyaan tersebut terus diulang-ulang menujah kotak fikiran. Barangkali tertinggal di Bait Raudhah sewaktu menolong Fatihah tadi. Desisnya menyedapkan hati. Dia tiada pilihan. Sesuatu yang di luar jangkaan harus dilakukan. Meminjam duit pemuda Malaysia tadi. Ya, itu yang harus dilakukan. Dalam situasi sebegini perasaan malu harus dibuang sejauhnya. Kakinya melangkah perlahan ke arah pemandu coaster tersebut.  
        
        “ Sudah dibayar.” Kata pemandu tersebut apabila melihat Balqis berdiri dalam keadaan teragak-agak di pintu. Balqis seakan tidak percaya. Syukur. Sewaktu melangkah turun dia melihat lelaki Malaysia itu masih tercegat di luar coaster.
        
        ‘ Apakah kalimat yang sesuai kuucapkan kepadanya?’
        
        Hening hari membuatkan hatinya sedikit berkecamuk. Rona rindu memancarkan rasa rindu dan pilu di epidermis jiwa. Memugar atma supaya mencicip duka sedalam-dalamnya. Tengah hari ini pijar mentari cukup membahang. Lembah Klang bagai dibungkus warna merah. Dibantai dan dihambat panas tropika. Terang lazuardi di waktu pagi kini bertukar menjadi bebola raksasa. Dada langit beransur menjadi oren. Duha pergi dan menghambat setiap inci Lembah Klang.
          
      Ali masih lagi menatap dua helai kertas yang dipegang kemas di tangannya. Satu surat daripada kawannya Farith yang kini berada di Irbid Jordan. Dan satu lagi surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik. Dari Sungai Gadut dia menaiki komuter ke Kuala Lumpur. Dari situ dia akan bergegas pula ke Stesen LRT untuk ke Kelana Jaya.
         
       Sebelum memasuki bidang ini di IPT, dia telah disarankan oleh ayahnya untuk belajar serba sedikit mengenai muzik daripada seorang kenalan ayahnya iaitu Pak Din yang begitu arif dalam bidang muzik. Ali menaiki teksi setelah sampai di Kelana Jaya. Perjalanan dari Stesen LRT ke rumah Pak Din mengambil masa 10 minit.
          
      Ali menekan loceng setelah sampai di rumah Pak Din. Seorang gadis berusia awal 20an membuka pintu rumah.
        
       “ Assalamualaikum. Ini rumah Pak Din?” Tanya Ali sewaktu dia sampai ke rumah Pak Din. Gadis tersebut mengangguk. Seorang lelaki separuh abad muncul di belakang gadis tersebut.
             
  “ Kamu, mesti anak Encik Razmi. Marilah masuk, kami sekeluarga menanti kehadiran anda.” Ali tersenyum dan segera melangkah masuk. Perabot di dalam rumah teres sederhana itu tersusun dengan rapi. Terdapat tiga bilik semuanya.  Di sebelah ruang tamu itu terdapatnya ruang makan yang sudah dihidangkan dengan makanan.
             
   “ Ali, ini anak pak cik. Zuraidah. Ini pula isteri pak cik, Mak Cik Dina.” Pak Din memperkenalkan Ali kepada semua ahli keluarganya. Kemudian Ali dibawa ke belakang rumah Pak Din. Di situlah tempat Pak Din bermain alat muzik. Antaranya piano dan biola. Selain bermain alat muzik Pak Din juga mahir dalam mencipta lagu. Setelah Pak Din membawa Ali meninjau di sekitar halaman rumah, mereka akhirnya ke ruang makan untuk menikmati makanan terlebih dahulu sebelum bermulanya kelas pertama Ali bersama Pak Din.
        
        Bintang masih lagi setia menemani Balqis di rumahnya yang terletak di Universiti Yarmouk. Memandangkan Balqis merupakan anak kepada pensyarah, maka tidak perlu baginya untuk mencari rumah atau duduk bersama-sama kawan di universiti. Setelah selesai menunaikan solat Isyak, dia hanya duduk di atas katil dan membuka Al-Quran.
           
     Tiba-tiba bacaannya terhenti pada ayat ke 25 surah Al-Qasas. Jeda. Diulang ayat itu sekali. Dua kali. Tiga kali. Seakan ada satu kenangan yang melayang datang sewaktu melafazkan ayat itu.
            
    “ Duduk di mana?”
            
    “ Er..Dekat perumahan pensyarah.”
           
     “ Mari saya hantarkan. Awak jalan depan sikit. Saya akan ikut dari belakang.”
         
       Ayat ke 25 surah Al-Qasas itu diingatinya tatkala pertemuan dia dengan Farith. Ayat yang meceritakan pertemuan Nabi Musa dan puteri Nabi Syuaib di lembay Madyan itu persis pertemuan mereka dahulu di pinggir kampus Universiti Yarmouk. Bezanya Puteri Nabi Syuaib yang malu-malu diminta berjalan di belakang apabila mengundang Nabi Musa ke rumahnya. Sebaliknya, disebabkan faktor malam, Balqis diminta untuk berjalan di hadapan dan Farith akan mengekorinya di belakang untuk menghantarnya pulang. Lebih membahagiakan mereka hampir sahaja bertikam lidah di Dawwar Nasiem.
       
         Selesai bertilawah, dia mendengar ibunya memanggilnya turun.
            
    “ Balqis, turun makan. Abi dah sampai.”
            
    “ Baik Umi.”
          
      Balqis segera keluar dari biliknya dan terus ke meja makan. Kelihatan Puan Laura dan Encik Baihaki sudah sedia menanti kehadiran anaknya. Balqis duduk di hadapan mereka berdua.
              
  “ Balqis, bagaimana pengajian kamu hari ini?” Encik Baihaki bertanyakan soalan yang selalu ditanya kepada Balqis. Sebagai seorang yang amat tegas terhadap pelajaran dia tidak mahu Balqis terus lalai dalam menuntut ilmu. Balqis hanya mengangguk dan tersenyum. Puan Laura hanya memandang wajah Balqis dan Encik Baihaki.
             
   “ Abang ini pun. Kalau nak tanya biar selepas makan.” Celah Puan Laura. Balqis sudah mula ketawa.
            
    “ Awak ini, manjakan sangat anak itu. Saya bukan apa. Saya cuma risau sahaja. Maklumlah, dewasa ini remaja kena dapat perhatian yang ketat daripada ibu bapa. Kalau tidak entah ke mana budak-budak sekarang.” Ujar Encik Baihaki. Dia mula menitikkan soal pelajaran kerana dia tidak mahu anaknya sendiri yang akan gagal dalam peperiksaan semester.
           
     “ Balqis..” Panggil ibunya lembut.
         
       “ Balqis dah jumpa calon suami?” Tanya Puan Laura bersahaja. Tersembur air yang diminum oleh Balqis.
         
       “ Awak ini pun. Kalau nak tanya biar selepas makan.” Celah Encik Baihaki dengan menggunakan ayat yang sama dengan Puan Laura sebentar tadi.
        
        “ Umi, biasanya lelaki yang cari perempuan. Macam perigi cari timba kalau Balqis yang cari. Lagipun Balqis masih belajar lagi.”
        
        “ Hei, sekarang ini tiada istilah perigi mencari timba. Kamu lupa kisah Saidatina Khadijah dan Nabi Muhammad. Saidatina Khadijah yang melamar Nabi Muhammad. Umi bukan apa. Umi cuma ingatkan sahaja. Lagipun, umi nak Balqis carilah lelaki yang baik. Umi tak nak Balqis menyesal nanti. Umi tak nak...” Puan Laura menjerit setelah pehanya dicubit oleh Encik Baihaki.
           
     “ Takkan sejarah lama pun awak nak cerita.” Bisik Encik Baihaki. Puan Laura hanya mengangguk. Balqis hanya memerhatikan mereka berdua sahaja dengan wajah yang sedikit hairan. Seketika kemudian dia hanya mengendahkan apa yang diperkatakan. Dia terus mengunyah makanan dengan penuh selera.
              
  Bangi. Ibu kota pendidikan bagi rakyat Malaysia. Di bandar Bangi inilah tersergam dengan megahnya pelbagai institusi pendidikan. Bermula daripada pendidikan rendah sehingga ke pengajian tertieri. Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan satu perkara yang tidak asing di bandar ini. Selain UKM, terdapat juga institusi pengajian lain seperti Universiti Tenaga Nasional, Institut Latihan CIMB, German-Malaysian Institute (GMI) dan Kuala Lumpur Infrasturcture University College.
              
  Selain itu terdapat juga sekolah menengah dan sekolah rendah yang dibina di sekitar bandar ini. Antaranya SMK Jalan Empat, SMK Jalan Tiga, Sekolah Menengah Kebangsaan Reko dan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi. Di Samping itu, sekolah-sekolah persendirian juga dibina. Antaranya TANARATA International School, Sri Ayeesha, Sri Abim dan Sekolah Rendah Agama Islam Bandar Baru Bangi.

Secara keseluruhannya terdapat 13 Institusi pengajian tinggi, lapan sekolah rendah, empat sekolah menengah dan empat sekolah persendirian. Figur ini telah meletakkan Bangi sebagai bandar pendidikan di Malaysia, sekali gus menaikkan nama Malaysia sebagai hab pendidikan di Asia Tenggara.

“ Jom makan!” Suara Hakim memecah kebisuan pada petang sabtu itu.

“ Jom makan. Yang jauh kita rapatkan. Yang dekat pula kita eratkan.” Sambung Zahir pula. Amir dan Furqan segera ke ruangan makan. Masing-masing menunjukkan reaksi kelaparan. Mungkin letih mengulang kaji pelajaran. Ali masih lagi duduk berteleku di meja belajarnya. Sebenarnya dia masih lagi berasa malu dengan teman sebiliknya.

“ Ali, makan jom.” Furqan segera menghampiri Ali. Ali masih lagi menelaah pelajaran. Pada mulanya dia menolak, namun selepas itu dia bersetuju. Buku Undang-Undang Am setebal 350 muka surat itu ditutup. Dia mengemas beberapa buku dan terus ke ruang makan. Rakan-rakan masih lagi setia menanti.

“ Alhamdulillah. Anak raja ini dah sampai. Makan pun nak berjemput.” Ali dihidangkan dengan beberapa kuih dan biskut untuk minum petang. Wajahnya masih lagi sugul. Suapannya menjadi lemah. Beberapa teman menyedari perubahan sikap yang ada pada Ali.

“ Ali, kenapa ini? Teringatkan rumah ke?” Tanya Amir dengan nada yang sopan. Sebagai ketua rumah dan pelajar yang paling senior di rumah tersebut, dia perlu mengetahui keadaan rakan-rakannya. Ali menggeleng.

“ Aku malu Amir. Dari aku kecil sampai sekarang, kebanyakkan orang hanya menghina aku sahaja.” Suara Ali lemah.

“ Orang kaya pun dihina? Orang hina kau kenapa? Aku tengok kau okey sahaja. Tak buat masalah.” Celah Zahir.

“ Aku ini sebenarnya anak yatim. Sejak kecil lagi aku  tidak mendapat kasih sayang daripada seorang ibu. Selama ini, ayah aku yang menyara aku.” Balas Ali. Kini ada sedikit kesayuan dalam nadanya. Rakan-rakan sebilik agak terkejut. Hampir enam bulan mereka mengenali Ali, baru hari ini mereka sedar. Ali tidak pernah bercerita hal ini.

“ Habis kenapa hari ini kau sedih. Selama ini ceria. Hampir setiap malam kau hiburkan kami dengan gesekan biola.” Ujar Zahir.

“ Walaupun, aku ini anak yatim. Aku masih ada prinsip. Aku tidak mahu orang bersimpati pada aku. Kalau boleh biarlah kedukaan aku ini hanya Allah sahaja yang tahu. Aku tak nak kawan-kawan aku bersedih.”

“ Ali, kalau begitu apa gunanya kami di bilik ini? Apa gunanya kita solat berjemaah setiap hari? Apa gunanya kita adakan usrah setiap hujung minggu? Tak mengapa Ali. Kita kan sudah berjanji? Semua masalah kita kongsi bersama.” Pujuk Hakim.

“ Ali, sesungguhnya Allah ada berfirman.”

“ Bukankah Dia Yakni Allah mendapati engkau wahai Muhammad yatim piatu lalu Dia memberikan perlindungan.”

“ Kalau kau ingat Nabi Muhammad pun anak yatim. Orang kafir terus menghina Nabi. Tapi Allah turunkan ayat ini untuk tabahkan hati Nabi. Sabar Ali. Allah akan bersama-sama dengan orang yang sabar.” Ujar Furqan. Ali akhirnya tersenyum dan jiwanya menjadi sedikit tenang. Mungkin, dia merasakan selepas keberangkatan Farith ke Jordan, hatinya menjadi sepi. Namun, kini tidak lagi.

Lima Tahun Kemudian
           
    Farith ditemani oleh Hashim, Zainal dan Anfal ke rumah Dr. Baihaki. Dua hari lepas dia ada berjumpa dengan Dr. Baihaki dan Puan Laura bagi menyatakan keinginannya untuk melamar Balqis. Segalanya dilakukan tanpa pengetahuan Balqis. Memandangkan kedua-duanya telah menamatkan pengajian dan Farith akan pulang ke Malaysia dan bekerja dengan Petronas, dia ingin membawa Balqis untuk pulang ke Malaysia.
         
       Puan Laura membawa Balqis ke ruang tamu rumah. Farith dan rakan-rakannya hanya ditemani oleh Dr. Baihaki. Bagi Ibu bapa Balqis, Farith merupakan seorang pilihan yang tepat dan bagi mereka juga Balqis dan Farith adalah sekufu.
          
      “ Assalamualaikum. Maafkan saya Ustazah Balqis sebab mahu bertemu dan bercakap dengan ustazah pada malam ini. Untuk pengetahuan ustazah, perkara ini sebenarnya saya sudah fikirkan sebelum peperiksaan lagi.” Farith memulakan bicara sambil matanya memandang ke arah bawah. Balqis diam mendengar. Tidak terucap dengan pelbagai bahasa.
      
          “ Saya sedar ustazah. Saya sebenarnya memang tak layak untuk ustazah.” Sambung Farith.
      
          “ Jangan cakap begitu. Sebenarnya saya yang tidak layak untuk ustaz. Saya seorang yang degil. Berani balik seorang dulu pada waktu malam.” Balqis pula bersuara menafikan.
    
            “ Ustazah ingat lagi peristiwa lima tahun yang lepas? Sebenarnya semenjak itu, saya mula mengenali ustazah.”
       
         ‘ Masakan boleh dilupakan.’ Namun jawapan itu hanya terkunci di dalam mulut. Tidak mampu untuk dizahirkan.
          
      “ Ustaz Farith, mengapa ustaz pilih saya?” Tanya Balqis pula. Dr. Baihaki dan Puan Laura hanya memandang mereka sambil tersenyum. Sesekali pandangan Farith dihalakan ke rakan-rakannya.
       
         “ Rasulullah berpesan, sekiranya mahu memilih calon isteri. Carilah perempuan yang ada empat ciri. Saya yakin, Ustazah Balqis mempunyai ciri yang empat itu.”
      
          Memanglah lelaki ini pintar berbicara. Hati manakah yang tidak bergetar mendengar untaian kalimat berdasarkan dalil selunak itu.
      
         “ Ustazah, tidak akan ada habisnya jika kita saling bercakap sebegini. Saya tak mahu dilambung angan-angan yang tidak kesampaian. Saya rasa tak wajar sekiranya kita berlegar-legar dengan persoalan yang tidak memberi manfaat. Biarlah kita terus kepada mauduk. Err. Boleh saya tahu bagaimana dengan hati ustazah?” Darahnya sudah naik ke muka. Matanya terpejam. Bagaimana Balqis mahu manjwab soalan umpama itu.
     
           “ Saya ulang. Bagaimana dengan hati ustazah?”
   
             Mungkin Farith masih lagi ragu dengan matlamatnya pada hari ini. Barangkali juga dia tidak mengerti betapa sukarnya untuk Balqis menghadapi saat begini.
    
            ‘ Tuhan, apakah kata-kata terbaik untuk ku lafazkan ini?’ hati Balqis berbisik.
      
          “ Ustaz, apakah ertinya ustaz datang ke sini pada malam ini?” Sepi menakluki suasana. Farith gugup. Balqis hilang kata-kata. Mungkin itulah jawapan yang terbaik meluncur tidak semena-mena. Terasa kepalanya lapang walaupun dada semakin kencang.
       
         “ Alhamdulillah. Allah, Kau makbulkan doaku. Terima kasih ustazah.”

“ Saya sedar siapa saya ustaz, saya juga berharap ustaz dapat menerima saya seadanya. Banyak dosa yang telah saya lakukan. Saya harap Ustaz dapat membimbing saya.”

Entah mengapa dadanya dihentak secara tiba-tiba. Dalam menerima cinta manusia, cinta kepada tuhan juga tidak boleh diabaikan. Dia berharap Farith akan membuatkan atmanya menjadi tenang. Kecintaan kepada tuhan akan lebih kental.

“ Ustazah...” Sekali lagi hatinya seakan berbisik.

“ Percayalah pada saya. Saya memang mahu melamar ustazah menjadi isteri saya. Kalau boleh saya ada satu permintaan.  Debar Balqis semakin rancak. Hati telah ku serakan, apa lagi yang lelaki ini mahu?

Farith terdiam sebentar. Dia mengembuskan nafas menunjukkan dia yakin dengan ucapannya nanti.

“ Kita nikah, kita nikah di sini. Kita nikah seberapa segera mungkin.”
   
             Peperiksaan akhir semesta sudah selesai pada pagi tadi. Pada petang itu pula akan diadakan mesyuarat di peringkat jawatankuasa mengenai program amal bagi mengutip derma untuk Yayasan Penyelidikan Kanser. Amir dan Izhar merupakan salah seorang dari ahli mesyuarat tersebut.
    
            Keputusan mesyuarat juga telah bersetuju untuk melantik Ali sebagai konduktor kepada pasukan orkestra Universiti Kebangsaan Malaysia. Namun, masih ada beberapa mahasiswa yang membantah keputusan tersebut.
         
       “ Aiman, kenapa Ali pula yang akan mengetuai orkestra pada hari tersebut.” Tanya Eddi.
         
       “ Eddi, kau suka atau tak. Kau kena suka. Sebab ini adalah keputusan majoriti. Semua ahli bersetuju.” Jawab Aiman selaku pengerusi jawatan kuasa tersebut.
              
  “ Aiman, kau tahukan setiap tahun aku yang mengetuai orkestra. Tambahan pula aku ini pengerusi persatuan. Malu aku nanti.”
           
     “ Bagilah peluang kepada Ali. Lagipun, nama Ali itu universiti yang cadangkan.” Balas Aiman. Eddi masih lagi tidak berpuas hati. Kelihatan Izhar sedang bergerak ke arah mereka.
            
    “ Ha Izhar. Nanti bagi tahu Ali. Suruh dia buat persediaan. Dia ada masa sebulan untuk buat latihan.”  Izhar mengangguk dan mereka berpecah ke arah haluan masing-masing.
            
    Segala-galanya bagaikan mimpi. Tidak semena-mena dilamar mengejut. Seterusnya melafazkan ijab dan kabul. Kini, berjalan dipimpin suami sambil menghirup keindahan Amman. Segalanya sungguh tidak terjangkau. Langkah diperlahankan. Genggaman tangan dileraikan. Mereka melabuhkan punggung di sebuah bangku.
           
     “ Balqis, sedar tak sedar dah dua minggu kita bersama.” Balqis tersenyum. Farith melafazkan dahulu apa yang terlintas di fikiran Balqis.
         
       “ Rasa macam tak percaya, seperti bermimpi bahawa abang kini sudah ada di sisi Balqis.” Hampir separuh hari mereka bersiar-siar di Amman. Tiba sebelum tengah hari tadi dan berjalan-jalan di Balad. Selesai sahaja bersolat Zuhur dan menikmati makanan tengah hari di Restoran Al-Quds, langsung ke pusat beli belah. Kini, selepas matahari kian condong ke barat dalam cuaca sejuk, mereka masih lagi menikmati keindahan tinggalan seni bina Rom di Jordan.
          
      “ Hah, abang terlupa. Balqis kan dahulunya degil. Berani betul berjalan malam seorang diri.” Farith menyeringai.
             
   “ Abang ini! Macam mana pula Balqis boleh tertinggal beg duit di rumah Fatihah dulu.” Jerit Balqis sambil tangan kirinya mencuit lengan Farith. Tawa mereka pecah bersama.
            
    “ Abang takkan melupakan saat pertemuan itu. Masa pertama kali bercakap dengan Balqis, geram juga. Orang dengan niat baik nak tegur dia. Dia buat tak tahu sahaja. Nasib baik ada abang. Abang ikhlas tau bayar duit tambang itu.” Balqis tergelak kecil. Angin sejuk mediterranean masih lagi menampar pipi mereka. Menekup muka dengan tapak tangan. Balqis sendiri tidak boleh melupakan peristiwa di pondok di Dawwar Nasiem. Orang yang dikecamnya dengan kalimat berbisa akhirnya menjadi insan yang paling dicintainya.
              
  Farith berdiri sambil menggenggam tangan Balqis. Balqis turut sama berdiri. Farith memegang bahu Balqis dan menghalakan Balqis tepat ke hadapannya. Kini mereka saling berpandangan dan mata mereka bertemu dalam satu titik.
            
    “ Balqis, abang rasa abang nak kita berbulan madu di negara abang sahaja di Malaysia. Lagipun, mak dan abah abang dah tak sabar nak jumpa menantunya di sana. Kalau boleh bawa sekali umi dan abi sekali. Dapatlah mereka berkenalan dan mengukuhkan silaturrahim. Bukankah itu tanggungjawab kita bersama sebagai suami isteri.” Balqis mengangguk tanda setuju.
             
  “ Terima kasih Balqis sebab sudi terima cinta abang. Abang sayang Balqis.” Satu ciuman dihadiahkan kepada pipi kanan Balqis.
                
“ Abang cintakan Balqis.” Satu ciuman lagi dihadiahkan ke pipi kiri Balqis.
             
   “ Jika diizinkan Allah, kita bercinta sampai di syurga ya.” Satu ciuman lagi dihadiahkan ke dahi Balqis. Mata Balqis terbeliak. Belum pernah dia merasakan kemanisan cinta seperti ini. Matanya yang digenangi air kini telah menumpahkan air matanya. Musim sejuk yang mengigil yang dirasakannya di Amman akan ditempuhi dengan kehangatan kasih sayang seorang suami.
             
   Telefon Farith berbunyi. Terpapar sebaris nombor yang tidak dikenali. Dia menekan butang hijau.
        
        “ Assalamualaikum ini Farith? Aku Ali.” Farith mati kalam. Dia tidak menyangka setelah lima tahun dia akhirnya dapat bercakap semula dengan Ali walaupun di dalam telefon.
          
      “ Waalaikumsalam. Aku Farith. Kau apa khabar?”
            
    “ Alhamdulillah sihat. Bagaimana dengan pengajian kau. Bila kau akan pulang ke Malaysia?”
          
      “ Aku baru sahaja tamat belajar. Aku pun sudah bernikah. Nanti aku akan pulang ke Malaysia.” Ali seakan tidak percaya.
           
     “ Baguslah kalau begitu. Ali, kalau boleh aku nak jemput kau ke Dewan Filharmonik Petronas. Aku akan buat persembahan orkestra di situ. Nanti aku beri tahu kau mengenai butiran majlis tersebut. Nanti kita cerita lagi. Aku kena gerak dulu. Ada hal sebentar. Assalamualaikum.”
             
   Klik! Butang merah ditekan.
           
     Pak Din yang hanya berkain pelikat dan berbaju putih itu keluar dari dapur sambil memegang secawan kopi. Di sebelah tangannya itu, dia memegang not lagu ciptaan Ali. Pak Din membawa not itu ke piano dan mula memainkannya. Mak Cik Dina dan Zuraidah terus ke arah mereka sebaik lagu itu dimainkan. Pak Din hanya mengangguk. Sesekali dia mengambil pen dan memurnikan not itu. Dicubanya semula dengan not yang dibuat pembetulan itu.
           
     “ Tahniah Amir. Belum pernah Pak Din melihat seorang seniman muda sepertimu mampu untuk menghasilkan lagu seperti ini. Tidak ada liriknya?”
            
    “ Pak Din sebenarnya lagu ini saya buat khas untuk majlis di Dewan Filharmonik Petronas itu nanti. Ia akan diiringi dengan orkestra.” Ujar Ali. Pak Din mengangguk tandanya setuju.
           
     “ Ali, kenapa nadanya agak sedih? Hampir menangis saya. Apa tajuk lagu ini?” Celah Azizah pula.
        
       “ Entah. Soal tajuk itu. Saya ingin ayah saya sendiri yang akan tentukan. Lagipun ini lagu atas sokongan dari ayah. Apa yang penting saya nak Pak Din dan sekeluarga hadir ke majlis itu nanti. Sebelum itu, ini tiketnya.” Ali menghulurkan tiga tiket untuk Pak Din sekeluarga.
           
     “ Ali, ini baju melayu yang kamu inginkan sangat. Mak Cik buatkan untuk kamu. Dan kain songket ini pula ditenun oleh Azizah.” Hati Ali berbunga tatkala dia menerima sepersalinan baju melayu hitam. Apa yang menariknya ia dijahit sendiri oleh Mak Cik Dina.
            
    “ Betul kamu tidak mahu ikut kami ke Johor Baharu esok?” Tanya Pak Din.
           
     “ Betul Pak Din. Lagipun petang ini saya perlu kembali ke Bangi. Sebab nak uruskan pasukan orkestra saya. Apa-apa pun terima kasih sebab bantu saya selama ini.” Setelah bersalaman dan menikmati sedikit jamuan Ali terus bergerak ke stesen komuter ke UKM.
           
     Selesai sahaja latihan pada malam itu, Ali mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke bilik. Dia ingin menikmati sendiri malam di UKM sebelum dia akan keluar dari universiti ini. Di setiap jalan di UKM dia lalui dan pelbagai kenangan datang ke memorinya. Adakalanya dia tersenyum sendiri.
            
    Sinaran lampu kereta menyinar dari belakang. Ali masih lagi meneruskan perjalanan. Kereta tersebut meluncur laju ke arah Ali. Ali melihat ke arah belakang. Ali terkejut apabila dia melihat sebuah kereta bergerak laju ke arahnya. Dia cuba untuk melarikan diri ke tepi dan akhirnya kereta tersebut melanggar sebahagian daripada badannya. Dia jatuh tersungkur ke atas tanah. Pandangannya gelap dan zulmat.
              
  Keadaan menjadi tidak menentu di hospital. Ali terbaring dan dia dibawa ke bilik pembedahan. Semua rakan sebiliknya turut berada di situ. Mujurlah Ali dijumpai oleh seorang pelajar yang turut lalu di kawasan tersebut.
          
      Ali dibawa masuk ke bilik pembedahan. Semua rakan-rakannya bergerak ke arah doktor untuk mengetahui keadaan Ali. Tidak lama selepas itu Encik Razmi datang ke arah mereka.
        
        “ Doktor, saya ayah kepada Ali. Tolong selamatkan anak saya. Dia satu-satunya anak saya. Cakaplah seberapa banyak kos pembedahan saya akan bayar.”
        
        “ Encik, sekarang ini bukan soal wang. Tapi, kami perlukan tandatangan encik di surat laporan ini dahulu.” Doktor memberikan laporan kepada Encik Razmi. Encik Razmi membacanya dengan teliti. Secara spontan dia memukul dahinya. Tidak percaya dengan laporan tersebut. Amir, Hakim, Izhar dan Furqan berpandangan sesama sendiri setelah membaca laporan tersebut.
          
      Ali membuka mata. Panahan lampu putih seakan pedang yang mencucuk matanya. Dia dapat melihat wajah Furqan, Amir, Izhar dan Hakim di sebelahnya. Mereka tersenyum melihat wajah Ali yang sudah mula sedar.
           
     “ Syukurlah Ali, kamu sudah sedar selepas tiga hari. Untuk pengetahuan kamu, kamu dilanggar dengan kereta sewaktu berjalan kaki di kampus.” Ujar Hakim.
           
     “ Tidak mengapalah asalkan kamu selamat. Dengar cerita orang yang melanggar kamu itu sudah ada dalam tahanan polis.” Amir pula mencelah.
           
     “ Kita tengok dahulu sama ada kamu mampu ataupun tidak mengetuai orkestra nanti. Kalau kamu tidak mampu pihak jawantankuasa sudah ada mencalonkan penggantinya. Kita doakan yang terbaik Ali. Kalau kamu cepat sembuh, dan boleh mengetuai orkestra, perancangan tidak akan diubah. Ia adalah pengalaman seumur hidup. Antara jemputan yang hadir ialah orang-orang kenamaan.” Ujar Izhar. Wajah Ali kelihatan sayu. Terbayang wajah Pak Din dan keluarganya. Kemudian ayahnya Encik Razmi masuk ke wad Ali.
             
   “ Ali, bagaimana keadaan kamu. Syukurlah kamu dah sedar?” Tanya Encik Razmi yang memakai baju melayu dan bersongkok itu.
            
    “ Alhamdulillah ayah. Sihat. Kenapa ayah memakai baju melayu?”
          
      “ Ali, untuk pengetahuan kamu, Pak Din dan keluarganya kemalangan di Machap sehari selepas kamu dimasukkan ke hospital dalam perjalanan ke Johor Baharu. Mereka dirempuh oleh treler di lebuh raya.” Jawab Encik Razmi. Muka Ali kelihatan sedih. Air mata mula berlinang di pipi.
           
     “ Dia ada di mana? Kejap Ali nak keluar tengok dia.”

“ Ali, tidak ada seorangpun yang selamat. Ayah baru balik dari majlis pengkebumian mereka.” Ujar ayahnya. Dia menjerit sewaktu dia menggerakkan badannya. Seakan ada satu kesakitan yang menyerang. Hakim, Amir, Izhar dan Furqan berpandangan. Sedih, simpati dan kasihan seakan diramunkan untuk membentuk setitis air mata kepayahan melihat keadaan Ali.
              
  Ali memandang mereka semua. Kemudian menoleh pula kepada ayahnya. Dia sudah merasakan sesuatu? Kenapa? Dia menyelak kain selimut yang menutupi badannya dengan perlahan. Dia terkejut. Kedua-dua kakinya terpaksa dipotong dari lutut hingga ke tapak kakinya kerana hancur sewaktu dilanggar kereta.
            
    Dia terbaring lemah. Air mata yang tadinya turun kini bertambah laju. Dia mati kalam seribu bahasa. Dia telah kehilangan ibu, Pak Din sekeluarga dan kini kedua-dua kakinya. Impiannya musnah. Jika boleh dia ingin melihat wajah Pak Din sekeluarga yang gembira melihat dia menjadi konduktor orkestra pada hari tersebut. Dia dapat melihat melihat wajah Pak Din yang berbangga dengan kejayaan anak didiknya dan melihat kejayaan anak bangsa. Kini, mengetuai orkestra pada hari tersebut mungkin samar. Apakah selepas dihina kerana anak yatim, dia akan dihina sebagai orang cacat?
            
    Dulu, kehidupannya agak suram. Namun selepas kehadiran rakan-rakannya, kemajuan prestasti akademik, kehidupannya bagaikan pelangi. Walaupun tidak bercahaya dan terang seakan mentari, namun pelangi tersebut tetap berseri. Kini, warna-warna pelangi hilang satu persatu menjadi palitan cat kelabu.
             
   Dewan Filharmonik Petronas sudah dipenuhi dengan jemputan. Amir, Hakim, Furqan dan Izhar sudah mengambil tempat. Begitu juga dengan Farith dan Balqis yang baru sampai di Malaysia bersama Dr Baihaki serta Puan Laura. Acara dimulakan dengan kata alu-aluan. Persembahan Ali merupakan persembahan terakhir.
             
   Di belakang pentas, dia sedang membuat persiapan terakhir. Ali sedang mengetuai latihan bersama 25 ahli orkestranya. Ayahnya juga berada di situ.
             
   “ Ayah, cuma ada satu kekurangan. Lagu ini tidak berjudul. Boleh ayah tolong berikan judul?”
              
  “ Dengan iramanya yang sedih dan mampu meruntunkan perasaan sesiapa yang mendengarnya. Ayah memberikan namanya Sakura Yang Hilang.” Spontan terkeluar daripada mulut ayahnya. Ali hairan.
              
  “ Kenapa ayah memberika nama tersebut.”
             
   “ Sakura merupakan bunga kesukaan ibumu.” Itu sahaja yang mampu dijawabnya. Ali mengangguk faham. Tiba-tiba pasukannya dipanggil untuk membuat persembahan. Inilah saatnya.
              
  Pasukannya sudah berada di atas pentas. Ali yang berpakaian baju melayu hitam masuk ke pentas sambil disorong di atas kerusi roda oleh petugas pentas. Jemputan berdiri dan menepuk tangan sewaktu Ali masuk. Dia memulakan lagu. Akhirnya dia masuk ke lagu terakhir. Lagu ciptaannya sendiri yang berjudul Sakura Yang Hilang. Dia menggerakkan tangan ke atas dan ke bawah mengikut alunan lagu. Para jemputan amat tertarik. Tidak pernah mereka mendegar lagu seperti ini. Ada dalam kalangan jemputan yang mula berbisik. Akhirnya persembahan tamat setelah 28 minit. Lima lagu kesemuanya.
              
  Jemputan memberikan tepukan gemuruh. Ali disorong keluar selepas memberikan isyarat hormat. Dia dapat melihat Farith yang melambai ke arahnya dari arah tempat duduk. Begitu juga rakannya yang lain. Dia berasa puas. Walaupun tiada Pak Din dan keluarganya, dia tetap berbangga dengan dirinya.
              
  Ayahnya menanti dengan penuh bangga. Dia mendakap Ali sepuas-puasnya. Izhar dan rakan-rakannya masuk ke bilik dan mengucapkan tahniah. Menurut Izhar ramai orang kenamaan mahu bertemu dengan Ali seusai majlis ini. Ada wakil daripada badan-badan penerbitan sudah mula memikirkan untuk menerbitkan lagu ini. Hasratnya untuk berkecimpung dalam bidang seni mungkin sudah tercapai.
               
  Ali bergerak ke tandas. Dia terbatuk-batuk dan kepalanya mula pening. Dia cuba untuk mencapai ubat di atas meja di bilik tersebut. Tangannya tidak sampai. Dia cuba untuk menolak badannya. Dia terjatuh dan kepalanya terhantuk di lantai dan pengsan.
           
     Encik Razmi, Amir, Furqan, Hakim dan Izhar kini sudah berada di sisi Ali. Ali pengsan dan tidak sedarkan diri. Doktor mengesahkan bahawa ada lebih dari satu darah beku di otaknya akibat kepalanya terhentak sewaktu dilanggar kereta dahulu. Pada mulanya tidak ada darah beku dikesan di otak. Farith, Balqis Dr Baihaki dan Puan Laura ke hospital. Farith ingin bertemu dengan Ali setelah mendengar berita yang Ali dikejarkan ke hospital. Encik Razmi dan rakan-rakan Ali keluar daripada bilik untuk ke bilik doktor bagi membincangkan masalah Ali. Dia melalui koridor dan dia bertembung dengan Farith.
              
  “ Laura!” Satu nama keluar daripada mulut Encik Razmi setelah dia melihat perempuan tersebut. Sudah bertahun-tahun dia mencari dan menunggu Laura, bekas isterinya yang diceraikan. Akhirnya, dengan kuasa Allah mereka dipertemukan semula dengan situasi yang berbeza. Laura kini sudah mempunyai suami, menetap di Jordan, memiliki seorang anak perempuan dan seorang menantu. Berbeza dengannya. Laura melihat wajah bekas suaminya.
           
     “ Laura, lelaki ini yang kamu ceritakan dulu.” Tanya Dr Baihaki. Laura mengangguk. Mereka yang ada seakan tidak percaya. Bermakna Ali bukan anak yatim. Ibunya masih ada lagi.
            
  “ Laura saya minta maaf atas kesilapan saya dahulu. Saya menyesal Laura. Laura hanya diam. Tidak tahu apa peraaannya kini. Seakan perasaan marah masih ada dalam diri Laura. Suasana agak senyap seketika.
           
     “ Umi, saya nak jumpa Ali dahulu di wadnya.” Suara Farith memecah suasana senyap itu. Puan Laura dan Dr Baihaki membenarkannya.
           
     “ Ali yang membuat persembahan tadi di dewan tadi?” Celah Encik Razmi. Farith mengangguk.
          
      “ Ali itu anak pak cik. Pak Cik baru sahaja keluar dari wadnya.” Farith mengucapkan terima kasih dan dia masuk ke wad Ali.
        
        Air mata Puan Laura tumpah sewaktu mendengar kalam Encik Razmi. Dia tidak menyangka anak muda yang membuat persembahan orkestra itu tadi merupakan anak yang ditinggalkan lama dahulu setelah dia diceraikan dan memulakan kehidupan baru di Jordan.
         
       “ Razmi, sebenarnya saya sudah lama memaafkan kamu. Saya harap kamu mengambil pengajaran terhadap apa yang kamu lakukan.” Puan Laura mula bercakap setelah lama membisu. Kini, Encik Razmi sudah bertekad.

Dia tidak akan menyembunyikan kebenaran. Dia tidak mahu menceritakan kepada Ali sewaktu dia kecil dulu. Apabila Ali mula membesar, dia masih lagi mencari waktu yang sesuai. Kini setelah ada bekas isterinya yang juga ibu kandung kepada Ali, masanya sudah tiba. Apabila Ali sudah mula sedar dan dan keadaannya mula stabil. Dia akan menceritakan perkara sebenarnya. Ali pasti gembira apabila dapat mengetahui bahawa ibunya masih lagi hidup.
      
          “ Laura, Ali telah menghadiahkan lagu terakhirnya tadi kepadamu. Tajuknya Sakura Yang Hilang.” Puan Laura gembira. Begitu juga Dr Baihaki dan mereka yang lain. Puan Laura sudah tidak sabar bertemu dengan Ali.
     
           “ Ali pasti akan mencipta satu lagi lagu. Barangkali, tajuknya Sakura Kembali Mekar.” Dr Baihaki berseloroh. Semua yang ada ketawa dan gembira. Balqis masuk ke wad.
     
           “ Apa yang doktor kata?” Tanya Dr Baihaki mecelah.
    
            “ Sebenarnya saya dalam perjalanan tadi ke bilik doktor.” Mereka bergerak ke bilik doktor. Balqis muncul di balik pintu dan meminta mereka masuk dengan segera. Puan Laura dan En Razmi masuk ke dalam wad tersebut. Begitu juga yang lain. Mereka melihat Farith yang duduk sambil menangis. En Razmi melangkah ke arah Ali. Dia memeriksa nadi, nafas dan denyutan nadi. Tiada.
       
         Suasana hening seketika. Doktor masuk ke wad setelah dipanggil oleh Izhar. Doktor memeriksa Ali. Setelah memeriksa, doktor melangkah ke arah Encik Razmi. Puan Laura turut menghampiri mereka.
     
           “ Maafkan saya Encik Razmi. Saya sudah buat yang terbaik. Nanti sila ke pejabat untuk uruskan pengambilan jenazah.” Doktor meninggalkan mereka. Puan Laura menangis dan segera memeluk Dr Baihaki. Hatinya sayu melihat wajah anaknya yang tidak berkaki tersebut. Dia masih ingat lagi kali terakhir dia mendukung Ali. Ketika itu Ali masih muda. Tidak sampai setahun umurnya. Wajah ceria Ali masih lagi terpaku dalam memorinya.

 Farith memeluk tubuh Balqis. Air mata mula berlinangan. Setelah berpisah sekian lama, dia ingin sekali bertemu dengan Ali. Balqis menenangkan suaminya. Dia tidak menyangka perbualan dalam telefon tempoh hari merupakan perbualan terakhirnya dengan Ali.

Amir, Hakim, Izhar dan Furgan berpelukkan sesama mereka. Mereka merupakan antara insan yang rapat dengan Ali. Segala masalah dikongsi bersama. Ali sering mengatakan bahawa dia teringin berjumpa dengan ibunya. Bagi Ali, ibunya telah pergi menemui Ilahi. Namun, ibunya sebenarnya masih hidup.

“ Maafkan ayah Ali. Ayah bukan berniat untuk membohongi kamu. Tetapi ayah tunggu masa yang sesuai. Namun, kamu pergi pada masa ayah nak ceritakan kepada kamu.” Encik Razmi memeluk tubuh anaknya. Puan Laura menghampiri mereka. Puan Laura merendahkan badannya. Dia mengusap rambut Ali.

“ Ali, InsyaAllah nanti Ibu akan cari kamu di syurga.”  Ujar Puan Laura setelah mencium dahi anaknya. Encik Razmi segera menutup seluruh badan Ali dengan selimutnya. Ali telah pergi menemui Ilahi beberapa minit setelah Encik Razmi dan rakan-rakan Ali meninggalkan wad untuk pergi menemui doktor. Sepanjang hidupnya Ali tidak pernah mengetahui siapakah ibu dia sebenarnya. Baginya ibunya telah pergi menemui Ilahi. Hakikatnya Ibunya kini masih lagi hidup.

Mungkin inilah perkara paling perit yang terpaksa ditanggung oleh Ali. Selepas ini, tiada lagi kelibat Ali yang akan mengetuai pasukan orkestra. Sekali lagi negara tercinta ini kehilangan seorang bakal seniman muda yang mungkin kalau dengan izin-Nya, seabad dari sekarang baru akan diketemui lagi. 


TAMAT

                

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...