Odisi


17 Tahun yang lalu

Hujan masih lagi turun mendudu membasahi bumi Petaling Jaya. Encik Razak baru sahaja usai mengimamkan solat isyak bersama isterinya. Sudah 10 tahun mereka berkahwin. Namun sehingga kini mereka belum dikurniakan zuriat. Namun, mereka sabar, kerana bagi Encik Razak, anak itu adalah amanah Allah. Jika cahaya mata belum sampai ertinya dia belum bersedia bagi menimang cahaya mata. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil.

 Puan Halimah menyediakan secawan kopi buat suaminya yang masih lagi duduk berteleku di atas sofa ruang tamu. Puan Halimah mengamati wajah suaminya. Sudah 10 tahun mereka berkahwin, dia cukup masak dengan sikap suaminya.

 “ Abang, apa yang abang asyik fikirkan dari tadi? Saya tengok abang asyik duduk termenung. Sekali-sekala saya nampak riak kerisauan di mata abang.” Tanya Puan
Halimah yang duduk di sebelah suaminya.

“ Pada minggu hadapan, abangkan akan pergi menunaikan haji di Mekah selama sebulan. Abang risau, tiada siapa yang akan menjaga kamu. Lagipun, abang tak nak awak berasa sunyi. Apa kata kalau abang hantar awak ke rumah kakak?” Tanya Encik Razak. Puan Halimah hanya tersenyum. Kalau diam itu tandanya setuju. Encik Razak masih lagi menunggu jawapan sambil mencicip teh panas. Seketika kemudian, Puan Halimah mengangguk. Encik Razak membalas dengan senyuman.

Tiba-tiba, loceng rumahnya berbunyi. Encik Razak menapak ke arah pintu rumah dan membukanya. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Tiada. Lalu dia terpandang sebuah bakul di pintu rumahnya. Dia mengamati di dalam bakul itu.

“ Ya Allah..” Dia tertegun sebaik sahaja melihat bayi di dalamnya. Puan Halimah merapati suaminya. Dia juga terkejut melihat ada bayi di dalam bakul itu. Mereka saling berpandangan. Tanpa membuang masa dia membawa bayi itu ke dalam rumah.

“ Abang, siapa agaknya yang meletakkan bayi di rumah kita. Inilah masalah remaja sekarang. Dah dapat anak bukannya tahu nak jaga. Nak jaga air muka sanggup diletakkan budak ini di merata-rata tempat.” Geram puan Halimah. Saban hari ada sahaja terpampang di media massa mahupun media elektronik, semuanya membawa kisah bayi luar nikah yang dibunuh, masalah sosial remaja dan kegiatan sumbang mahram.

“ Okey lagi kalau dia tak bunuh. Nasib baik dia letakkan di tempat yang selamat. Ada kisah remaja hari ini dia letakkan di tempat semak. Apabila dijumpai oleh orang ramai, ada yang dah mati, ada yang dihurung semut dan ada pula yang dihanyutkan di dalam sungai.” Balas Encik Razak. Puan Halimah mengangkat bayi tersebut. Tiba-tiba terjatuh satu nota kecil ke lantai. Encik Razak mengambil nota tersebut dan membacanya.

Selamat Sejahtera
Encik/Puan. Saya merupakan seorang banduan yang akan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Isteri saya pula telah meninggal dunia. Encik, saya harap encik dapat menjaga bayi ini. Jagalah dia seperti encik menjaga anak encik sendiri. Saya merayu kepada encik. Saya tidak mempunyai siapa-siapa lagi yang boleh saya hantar. Lalu, saya mengambil tindakan untuk meletakkannya di rumah sesiapa sahaja. Saya harap encik dapat menjaganya dengan penuh kasih sayang. Jika boleh, semaikanlah dia dengan nilai-nilai Islam yang subur. Saya mohon encik. Moga-moga Allah membalas kebaikan yang encik lakukan.
Yang Benar

17 Tahun Kemudian

Mungkin dirinya tidak merasa panas jika tidak ditambah dengan pijarnya mentari. Kehangatan sang suria benar-benar memaksa penduduk di sekitar Lembah Klang untuk duduk di rumah masing-masing. Keadaan di jalan raya agak meripuhkan. Dengan kenderaan dan motokar yang macet akan membingitkan kepala sesiapa sahaja yang melata di bumi ini.

Remy berjalan seorang diri. Dia mengambil LRT dari rumahnya di Petaling Jaya, menuju ke arah Gombak dan akhirnya berhenti di perhentian KLCC. Hari ini dia ingin menyambut kejayaannya dalam peperiksaan pertengahan tahun dengan Amira. Mereka telah berjanji untuk bertemu di Food Court Signature yang berada di aras tiga Suria KLCC. Kek tiramisu yang ditempah mereka dipotong. Mereka kelihatan sungguh mesra. Adakalanya mereka bergurau senda dan tersenyum mesra.

“ Remy, kalau saya jadi bulan, awak nak jadi apa?” Tanya Amira secara tiba-tiba.

“ Kalau awak jadi bulan, saya jadi bintanglah. Sebab bulan akan nampak cantik bila dipagar dengan bintang.” Jawab Remy. Seketika kemudian dia pula bertanya kepada Amira.

“ Amira, kalau saya jadi matahari awak nak jadi apa?” Muka Amira terus mencuka.

“ Tak nak awak jadi matahari. Nanti awak buat saya panas. Saya nak awak jadi salji.” Jawab Amira dengan suaranya yang manja. Kemudian, Remy pula yang kehairanan.

“ Sebab, salji itu warna putih. Macam muka awak. Selepas itu, kalau saya geram saya gumpalkan salji itu saya baling biar pecah. Yeah! Saya menang.” Jawab Amira dengan wajah yang ceria. Remy hanya tersenyum. Tiba-tiba telefonnya berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Dia menatap skrin telefonnya.

Ikhwan.

Ikhwan : Remy, kau ada di mana sekarang? Kau lupa ke hari ini hari aku ada buat majlis hari jadi?

Dia mengetuk kepalanya.

‘ Argh! Macam mana aku boleh lupa ni? Nak balas ke tak? Kalau balas panjang pula ceritanya. Bagaimana pula dengan Amira? Biar sahajalah Ikhwan itu. Di sekolah nantipun jumpa juga. Cakap sahaja yang aku ada hal dengan keluarga.’ Getus atma hatinya.

“ Remy, selepas ini kita mahu pergi mana?”

“ Apa kata kalau kita tengok wayang? Mungkin cerita best-best.” Amira mengangguk tanda setuju. Kemudian mereka menghabiskan minuman mereka dan beredar dari tempat itu.

Puan Halimah masih lagi di dapur bagi menyediakan makanan buat mereka sekeluarga. Encik Razak pula hanya duduk di ruang tamu menonton televisyen. Sesekali Puan Halimah mengerling ke arah jam. Sudah pukul 8 malam, namun Remy masih lagi belum pulang ke rumah. Dia semakin risau. Kebiasaannya Remy pasti akan pulang sebelum maghrib. Dia mendekati suaminya.

“ Abang, mana Remy tak balik lagi. Saya cukup risau. Entah apa-apa lagi yang dia buat di luar nanti.” Tanya Puan Halimah dengan wajah gusar. Walaupun dia tidak mengandungkan dan melahirkan Remy, namun sudah 17 tahun dia membesarkan Remy. Remy itu sudah menjadi sebahagian daripada keluarganya. Remy membesar di depan matanya. Setiap malam sewaktu Remy masih kecil dia pasti akan menemani Remy, membacakan beberapa kisah nabi sebelum tidur.

“ Saya pun tak tahu apa nak jadi dengan budak itu. Kita besarkan dia, kita ajarkan dia dengan nilai-nilai agama namun ini hasilnya. Halimah, adakah sudah sampai masanya kita bagi tahu dia siapa dia sebenarnya? Mungkin dengan cara ini dapat
menyedarkannya.”

“ Abang ini, saya rasa biarlah dia dahulu abang. Saya takut perkara tersebut akan menjejaskan pemikirannya. Lagipun dia nak ambil SPM tahun ini abang. Mungkin bila dia dah besar sikit, dia dah mampu untuk menyara diri sendiri, mungkin itulah masanya.” Ujar Puan Halimah. Dia tidak mahu peristiwa 17 tahun yang lalu menghantui hidup Remy. Dia tidak mahu Remy mengetahui bahawa Remy merupakan anak banduan yang dijatuhkan hukuman mati. Biarlah masa sahaja yang akan menentukan.

Pintu rumah dibuka. Kelihatan Remy memasuki ke dalam rumah.

“ Hei Remy, mana kau pergi? Sudah jam 8. Habis mak kau risau.” Tanya Encik Razak dengan nada yang tinggi. Matanya melihat tepat ke arah Remy. Remy menunjukkan wajah yang sedikit bosan.

“ Mak sahaja risau. Ayah? Tak risau ke mana Remy pergi? Remy jumpa kawan sahaja. Bukan buat apa-apa pun.” Remy membalas. Dia bergerak ke arah tangga.

“ Hei, jumpa kawan takkan sampai malam. Dari tengah hari kau keluar. Lamanya jumpa kawan.” Encik Razak sudah mula berdiri. Remy tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh Encik Razak.

“ Remy, ayah tanya itu jawab nak. Jangan jadi biadap dengan ayah.” Pujuk Puan Halimah lembut. Remy sudah mula rimas dengan situasi tersebut. Ikutkan hati mahu sahaja dia menumbuk muka Encik Razak.

“ Alah.. Ayah berapa kali Remy nak cakap? Remy jumpa kawan sahaja. Ayah ni pekak atau buat-buat pekak?” Remy mula meninggikan suara.

“ Dasar anak banduan. Nah rasakan.” Encik Razak menampar muka Remy. Remy jatuh tersembam ke atas sofa. Titisan darah mula kelihatan di tepi bibirnya. Dia menggengam tangan. Tanpa membuang masa dia terus berlari ke arah biliknya.

Di dalam bilik Remy hanya baring di atas katil dan memikirkan mengenai perjalanan hidupnya. Dia memikirkan apa yang telah dia lakukan setelah dia hidup selama 17 tahun. Pelbagai persoalan menerjah ruang memori lalu mencarik 1001 kepahitan. Mengapa ayah berlaku begini sejak akhir-akhir ini? Dia mula teringat akan memori dia sewaktu kecil. Ayah selalu membawanya bersiar-siar ke taman. Setiap kali pulang dari kerja ayah akan membelikan biskut Oreo kesukaannya. Kini, segala kenangan bersama ayah kian hilang dilupus masa. Sekejap!

Banduan

‘ Mengapa ayah menyebut bahawa aku anak banduan? Adakah ayah dulu merupakan seorang bekas banduan? Adakah aku mewarisi sikap ayah?  Adakah ayah ada menyimpan rahsia terhadap aku? Argh lebih baik aku tidur. Esok sesi persekolahan akan bermula semula.’ Dia menutup lampu dan dia terus terlena dihambat gelombang delta.

Kring!!! Loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudah bermula bagi pelajar-pelajar di SMK Taman S.E.A Park. Berpusu-pusu pelajar pergi ke kantin bagi membeli sedikit makanan. Ada yang makan di kantin dan ada pula yang menikmati juadah di pondok-pondok di sekitar sekolah. Selain pelajar yang menikmati makanan, ada juga pelajar yang hanya duduk di dalam kelas bagi mengulang kaji pelajaran. Bilik guru menjadi sesak sewaktu rehat dengan keadaan pelajar yang ingin bertanyakan soalan.

Remy sedang menyiapkan latihan Matematik Tambahan cuti sekolah dahulu. Tiba-tiba kepalanya menjadi buntu. Dia memandang ke kiri dan ke kanan bagi mencari idea. Tiada. Dia membaling penselnya ke tepi. Gelagatnya diperhatikan oleh Ikhwan.

“ Hai Remy, pelajar paling pandaipun tak boleh nak selesaikan. Itulah buat kerja last minute. Mana nak sempurna.” Nasihat Ikhwan. Remy masih lagi menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.

“ Ikhwan, aku nak buat kerja last minute, first minute, half time ataupun full time, tiada kena mengena dengan kau. Sibuk sahaja dia ni.” Balas Remy dengan wajah yang sedikit mencuka.

“ Remy, itulah ada ilmu tapi tiada amal. Umpama pohon yang tidak berbuah.” Remy semakin pusing. Keningnya bercantum apabila dia cuba memahami  setiap kalam yang keluar dari mulut Ikhwan. Dia masih lagi ingat akan kata-kata ibunya. Biarlah kalau kita tak nak mengambil nasihat. Tetapi sekurang-kurangnya kita mendengar.

“ Ikhwan, apa kena mengena apa yang kau cakapkan tadi dengan situasi aku sekarang ini?”

“ Remy, sesungguhnya Nabi Muhammad pernah bersabda bahawa kehidupan manusia ini ibarat seorang perantau. Mesejnya di sini adalah kita dilarang sama sekali untuk menangguhkan sesuatu pekerjaan itu.” Jawab Ikhwan ringkas. Remy mengangguk tanda faham. Hadis tersebut ada dalam silibus pendidikan Islam. Ikhwan tersenyum dan menyambung ulang kajinya. Remy masih lagi memandang ke kiri dan ke kanan.

“ Ikhwan, tolong ajar aku soalan ini. Aku tak faham. Maaf, bukan tak faham tetapi tak tahu nak buat.” Tanya Remy jujur.

“ Aku pun tak tahu. Cubalah tanya budak lain. Mana tahu ada pelajar yang boleh tolong.”  Remy segera menoleh ke kiri dan ke kanan. Nak tanya pada Amira, dia tidak mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan. Dia terlihat seorang pelajar di hadapan kelas yang sedang mnegemas mejanya.

‘ Mungkin dia boleh tolong.’ Getus hatinya.

“ Farah, sini kejap!” Panggil Remy separuh menjerit. Gadis berambut lurus itu menoleh ke belakang. Dia terbata-bata apabila Remy memanggilnya sambil mengunyah gula-gula. Belum pernah sebelum ini dia berurusan dengan Remy. Berurusan dengannya umpama menempah maut. Itulah antara tanggapan beberapa orang pelajar terhadap sikapnya yang panas baran.
Namun, disebalik tanggapan orang kepada Remy, masih wujud sikap-sikap dan nilai-nilai yang positif. Kata orang dalam setandan pisang tak semuanya busuk. Begitulah dengan sikap Remy. Walaupun dia dikenali sebagai orang yang baran, kasar namun apabila mereka sudah rapat, Remy akan menjadi sahabat yang paling setia. Dia memberanikan diri bergerak ke arah Remy.

“ Farah, ajarkan aku soalan ini. Itupun kalau kau boleh tolong. Tak boleh tak apa.” Remy memberitahu Farah. Farah hanya memandang wajah Remy. Remy menanti dan.....
Bum!!! Pelajar yang ada di dalam kelas menoleh ke arah Remy.

“ Boleh ke tak?” Tanya Remy sambil menumbuk mejanya. Farah mengangguk. Dia masih lagi tidak percaya yang Remy bertanyakan soalan kepadanya. Remy mendengar penjelasan dengan tekun.

“ Terima kasih.Nah ambil gula-gula ini.” Balas Remy sambil menghulurkan sebiji gula-gula sebagai upah. Farah mengambil dan membalas dengan senyuman. Dia kembali ke mejanya.  Setelah guru memasuki kelas mereka. Proses pembelajaran dan pengajaran diteruskan seperti biasa.
Suasana petang yang cerah. Sekitar jam 5 petang. Farah, Amira, Rozana dan Mia sedang beriadah di sebuah taman permainan berhampiran dengan kawasan perumahan mereka. Selesai sahaja beriadah mereka mengambil keputusan untuk berehat di sebatang pokok.

“ Farah, kau kata kau nak belanja air?” Seloroh Mia. Farah menunjukkan wajah kehairanan. Matanya yang galak itu membulat sambil bahunya terangkat dan kepalanya menggeleng.

“ Alah setakat air aku boleh belanja.” Jawab Amira. Lantas dia bergerak ke arah gerai berhampiran. Farah segera memanggil bagi memberikan sedikit duit tambahan. Amira menggelengkan kepala. Tiba-tiba, sebutir gula-gula terjatuh.

“ Hei Farah, siapa yang bagi kau gula-gula HACKS itu.” Tanya Rozana sambil tersenyum.

“ Entahlah. Aku pun tak tahu siapa yang bagi ini.”

“ Alah, tak tahu ke atau buat-buat tak tahu?” Tambah Mia. Farah cuba mengembalikan ingatannya sepanjang hari itu. Bagaimana dia boleh mendapat gula-gula ini?

“ Terima kasih.Nah ambil gula-gula ini.” Ingatannya sewaktu dengan Remy kembali menerjah ruang memorinya.

“Remy!!!” Dia menjawab sambil menjerit.

“ Apa? Kau skandal dengan Remy? Biar betul. Dapat jugalah aku tengok si kucing comel dengan harimau berantai ini bersama” Tanya Mia dengan wajah kehairanan. Tidak tahan dengan gurauan itu lantas Farah terus mencubit Mia.

“ Kejap, kenapa kau kata aku ada skandal dengan dia?” Tanya Farah pula?

“ Kau tahu tak? Ada orang cakap ada maksud di sebalik HACKS itu. Maksudnya ‘Hanya Awak Cinta Ku Sayang.’ Sekarang ini dah terbukti kau ada skandal dengan dia? Cerita panas ini kalau kita bawa ke sekolah, mahu meletop sekolah itu.” Balas Rozana.

“ Mana adalah. Dia bagi aku sebab dia bagi aku upah. Aku ada ajar dia waktu di sekolah tadi?”

“ Gosip tambahan! Pelajar paling pandai di sekolah tanya soalan dengan kau? Ei, baik kau jaga-jaga. Mana tahu, dia nak tackle kau.” Tambah Mia sambil mengikat rambutnya. Farah hanya menjulirkan lidah tanda protes.

“ Tapi kan Rozana, Remy sebelum ini pernah bercinta ke?” Tanya Mia kepada Rozana. Farah pula yang fokus kepada mereka. Manusia mana yang mampu untuk menipu hatinya. Sudah lama dia mempunyai perasaan terhadap Remy. Namun, disebabkan dia merasakan dirinya dan Remy bagai galaksi bma sakti dan galaksi lain. Dia hanya menyimpannya di dalam hati.

‘ Remy sedang bercinta ke? Tapi dengan siapa? Eh? Kenapa aku memikirkan persoalan ini? Adakah ini cinta? Hanya Tuhan yang mengetahui’ Monolog hati Farah.

“ Aku tak tahulah. Remy itu seorang yang sukar untuk dijangkakan. Kalau dia bercinta tapi dengan siapa? Kau tahukan Remy itu orang yang kuat menyimpan rahsia. Dah aku malas nak cakap pasal Remy lagi. Buat habiskan suara sahaja. Mana air ini?” Rozana menjawab. Tekaknya semakin haus. Kelihatan Amira sedang dalam perjalanan membawa air untuk mereka.

Para pelajar sedang bergegas pulang ke rumah masing-masing setelah tamat waktu persekolahan. Ada antara mereka yang berbasikal, menaiki motor dan teksi. Farah sedang menunggu teksi untuk pulang ke rumah. Disebabkan ibu bapanya sibuk pada hari ini, dia terpaksa menunggu teksi untuk pulang.

“ Kau tengok Farah tu. Bernafsu aku tengok. Hari ini aku nak kacau dia. Aku nak balas dendam apa yang dia buat terhadap aku dulu.” Jamil memandang Farah yang sedang menunggu di tepi jalan raya.

“ Jamil, apa kau nak buat? Kau jangan buat macam-macam dekat tempat awam. Kau jangan cari masalah di sini.” Nasihat Kareem.

” Untuk pengetahuan kau, ini bukan cari masalah. Tapi aku nak selesaikan masalah. Aku nak balas dendam. Dia dah malukan aku depan orang ramai. Jadi kau jangan masuk campur.”

“ Jamil, cerita 3 bulan lepas kau nak ungkit lagi ke? Sudah-sudahlah. Bawa mengucap.”

“ Kareem! Sejak bila kau pandai suruh aku mengucap?” Kareem terdiam seribu bahasa.
Remy dan Ikhwan sedang menikmati makan tengah hari di sebuah gerai yang terletak di simpang empat. Ikhwan hanya memandang Remy yang agak gelojoh. Sesekali Ikhwan mencicip teh ais yang ditempahnya. Menikmati minuman sejuk sewaktu tengah hari begini amat seronok bagi kebanyakkan rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi golongan muda seperti mereka.

“ Remy, perlahan sedikit makan itu. Nanti tercekik, siapa yang susah? Aku juga yang susah.” Ikhwan memulakan perbualan. Namun Remy hanya mengambil enteng sahaja apa yang diperkatakan oleh Ikhwan.

“ Remy, kau dengar tak?” Tanya Ikhwan lagi.

“ Ikhwan! Diam! Masa makan mana boleh bercakap. Kau tak belajar adab ke? Sabar, nak nasihat tunggu aku habis aku bayar dulu.” Remy menghabiskan beberapa suapan terakhir dan terus membayar di kaunter. Kemudian dia segera kembali ke tempat duduk. Dia mengeluarkan sapu tangan dan terus mengelap peluh yang mula menitik di dahi.

“ Remy, aku tahu, kau ni anak orang berada. Tapi, tiap-tiap hari aku tengok kau ni asyik makan di luar sahaja. Membazir tau. Mak kau tak masak tengah hari di rumah?” Tanya Ikhwan.

“ Ada. Tapi aku malas nak makan rumah. Kalau duduk semeja dengan mak aku macam artis dia buat aku ini. Semua benda nak tanya. Hari ini belajar apa? Apa perkembangan di sekolah? Cikgu baik atau tidak? Aku naik rimas. Kalau masuk majalah tak apa juga.” Seloroh Remy.

“ Remy, itu tandanya dia sayang kau. Dia nak tahu juga perkembangan di sekolah. Remy, kau patut beruntung masih lagi ada ibu. Ini merupakan nikmat yang Allah bagi kepada kau. Ingat Remy, ibu hanya seorang sahaja. Kau patut bersyukur. Bayangkan mereka yang sudah tiada ibu atau bapa. Mereka menagih kasih seorang ibu dan bapa. Setiap hari mereka menangis mencari ibu dan ayah.” Ujar Ikhwan panjang lebar. Dia tidak mahu rakannya ini terus dengan dunia khayalan. Remy mempunyai segala-galanya. Namun, dia lemah dalam mengamalkan semua ilmu yang dia ada semaksimum mungkin.

“ Dah? Habis tazkirah kau?” Remy tersenyum. Ikhwan hanya mengangguk. Beberapa tegukan air dihabiskan oleh mereka. Ikhwan meminta diri dulu kerana ada beberapa perkara yang ingin diuruskan.

“ Terima kasih Remy belanja aku makan. Lain kali aku belanja kau pula.”

“ Biasa-biasa sahaja. Okey juga kalau tiap-tiap hari aku belanja kau makan. Dapat dengar tazkirah percuma. Susah nak dapat sekarang.” Mereka berjabat tangan dan bergerak ke arah tujuan masing-masing.
Remy melewati langkah di sepanjang jalan. Kehangatan mentari benar-benar menguji kesabarannya. Keadaan di sekitar Petaling Jaya sungguh macet dengan motokar. Tiba-tiba dia dapat melihat Farah yang sedang diganggu oleh Jamil. Lantas dia mempercepat langkahnya ke arah mereka.

“ Jamil, ini bukannya kelab malam.” Remy merapati mereka. Jamil mandang ke arahnya. Dia berasa tidak puas hati. Setiap kali dia ingin mengganggu Farah. Pasti akan ada sahaja halangan.

“ Jamil, aku ini teman lelaki Farah. Kau dah puas dengar daripada mulut aku.” Jamil terlopong. Farah memandang ke arah Remy. Seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya tadi. Teman lelaki? Remy mengenyitkan mata agar Farah juga akan berlakon sebagai teman wanitanya. Farah mengangguk faham.

“ Apa? Farah, patutlah kau tidak mahu terima aku. Rupanya kau bercinta dengan mamat ini.” Jamil seakan tidak percaya. Lantas dia beredar daripada tempat tersebut. Dia tahu, jika dia bergaduh, sudah tentu kekalahan akan menjemputnya dan dia akan dimalukan sekali lagi di tempat awam.

“ Hari ini hari kau Remy.”

“ Hari ini hari Khamis.” Balas Remy selamba.
Farah mengucapkan terima kasih atas pertolongan yang telah dihulurkan oleh Remy. Remy menjemput Farah untuk menikmati minuman di warung tadi. Tanpa membantah Farah hanya mengikut sahaja Remy.

“ Mia, tengok dekat kedai itu. Sudah terbukti Mia. Farah ada skandal dengan Remy.” Mia, Rozana dan Amira memandang ke tempat Farah dan Remy berada. Amira seakan tidak percaya. Dalam diam-diam dia merasakan dirinya diduakan. Namun jauh di sudut hati, dia masih lagi meletakkan kepercayaannya kepada Remy. Mungkin dia yang terlalu cemburu.

Amira pulang ke rumah dalam keadaan sugul. Setelah tiba di rumah, dia terus ke bilik tanpa menghiraukan sesiapa. Dia menghempaskan tubuhnya di atas katil. Peristiwa lalu hadir ke dalam memorinya.

“ Remy, kalau saya jadi bulan, awak nak jadi apa?”

“ Kalau awak jadi bulan, saya jadi bintanglah. Sebab bulan akan nampak cantik bila dipagar dengan bintang.”

“ Amira, kalau saya jadi matahari awak nak jadi apa?”
“ Tak nak awak jadi matahari. Nanti awak buat saya panas.”
Bulan tak semestinya akan terang selalu. Bulan tak semestinya akan bersinar selalu. Kini dia dapat merasakan bulan tidak seindah seperti dulu. Bintang yang memagari bulan telah hilang satu persatu. Lantas dia mengambil telefon dan menelefon Remy. Butang hijau ditekan.

“ Remy, awak ada di mana?” Amira memulakan percakapan.

“ Hai Amira, saya baru sampai di rumah. Apa cerita sekarang?”

“ Tak, sebenarnya lama saya tak berbual dengan awak. Apa kata kalau hari sabtu ini kita keluar macam dulu. Lama kita tak keluar?”

“ Sabtu ini? Sabtu ini saya ada janji nak main futsal. Apa kata kalau hari Ahad?”

“ Okey, jangan lupa hari Ahad di Twin Tower KLCC.” Amira mematikan talian. Apa yang pasti mereka tidak akan jumpa pada hari Ahad. Amira ingin membuat kejutan kepada Remy. Dia ingin melihat Remy bermain futsal seperti dulu. Dia juga ingin membawa biskut Oreo dan milo ais kesukaan Remy. Dia pasti tiada apa-apa hubungan istimewa antara Farah dan Remy.

Yeah! Hatinya kembali berbunga.

Remy dan rakan-rakannya berehat di tepi gelanggang selepas sahaja bermain. Walaupun penat, namun sekali-sekala dapat bermain merupakan satu perkara menyeronokkan. Tambahan pula, otak yang cerdas bermula daripada badan yang cergas. Buat apa jika kita hanya tumpukan kepada pelajaran, namun aspek lain entah ke mana. Dia bergerak ke arah gerai-gerai yang menjual minuman. Tiba-tiba dia merasakan pandangannya menjadi gelap. Rupa-rupanya matanya ditutup dari belakang. Dia pusing ke belakang.

“ Surprise!!!” Jerit Farah sambil tersenyum. Remy membalas senyuman. Dia tidak menyangka bahawa Farah juga datang ke tempat futsal tersebut.

“ Awak pun main futsal juga?” Tanya Remy ringkas.

“ Sebenarnya saya hantar adik saya. Dia selalu main futsal di sini. Awak memang selalu main futsal di sini?” Tanya Farah pula.

“ Kadang-kadang sahaja. Nak lepaskan sedikit tekanan. Awak tunggu kejap. Saya nak beli air.”

“ Eh tak apa. Saya sebenarnya dah belikan air untuk awak.” Farah menghulur secawan air.

Amira memerhatikan keadaan di sekeliling. Ramai orang bermain futsal hari ini. Kepalanya menoleh ke kiri dan ke kanan bagi mencari kelibat Remy. Dia memeriksa barangan yang telah dibeli olehnya sebelum datang ke tempat tersebut. Alamak. Dia tertinggal milo ais. Hanya Oreo sahaja yang ada. Lantas dia bergerak ke arah deretan gerai bagi membeli secawan milo ais. Langkahnya terhenti apabila dia melihat Remy dan Farah sedang mesra berbual.

Krak!! Dia dapat merasakan istana kristal yang dibinanya bersama Remy kian retak. Hanya menunggu masa untuk pecah. Memang benar, apa yang diceritakan oleh rakan-rakannya. Remy mempunyai hubungan dengan Farah. Kelopak matanya mula digenangi dengan air mata. Dia tidak menyangka bahawa Remy akan menipunya.

Bulan masih setia menemani. Amira sedang duduk di atas buaian di halaman rumahnya. Fikirannya masih menerawang memikirkan perihal sebentar tadi. Dia memandang ke langit kirmizi di atasnya. Dia dapat melihat beribu cebisan wajah. Dengan visualnya, dia mencantumkan cebisan wajah sehingga terpapar sebuah figura yang menyedihkan. Wajahnya yang sedih seakan terpapar di bulan.  Dia memandang ke bawah.

Air matanya mula berlinangan. Dia cuba mengamati langit di atasnya. Jelas, hanya bulan sahaja yang ada. Kadang-kadang dia merasakan dirinya umpama bulan pada malam tersebut. Dia cuba mengira bintang-bintang. Tiada. Mungkin malu untuk menemani sang rembulan atau bulan itu memang ditakdirkan untuk tidak ditemani bintang. Adakah dirinya umpama bulan yang tidak akan ditemani bintang.

Telefonnya berbunyi. Dia memandang skrin yang memaparkan satu nama.

Remy.

` Butang hijau ditekan.

“ Hai Amira, macam mana esok? Pukul berapa kita boleh jumpa?” Kedengaran suara Remy yang ceria di hujung talian.

“ Oh. Awak dah puas dengan Farah tadi, esok awak nak puas dengan saya pula?” Suara Amira melahirkan 1001 rasa pelik di hati Remy. Belum pernah Amira bersikap sedemikian dengannya.

“ Amira, apa yang awak cakapkan ini? Saya tak faham. Kenapa awak tiba-tiba berubah sikap?”

“ Jangan nak buat tak tahu. Petang tadi saya ke gelanggang futsal. Saya nampak awak dengan Farah. Dulu, saya nampak awak minum bersama-sama dengan dia. Mia beritahu dia selalu duduk bersama-sama awak di kelas. Apa ini semua Remy?” Amira seakan ingin mencetuskan satu argumentasi.

“ Amira, saya tidak tahu dia ada di gelanggang futsal. Dia hanya menghantar adiknya sahaja. Dia selalu ajar saya di kelas bila cikgu tiada. Takkan itu pun awak nak cemburu. Saya dah cakap awak tak perlu datang ke gelanggang.”

“ Kenapa saya tak boleh datang. Supaya awak dapat bersama dengan dia? Saya tak nampak awak dan awak boleh memperbodoh saya? Saya percayakan awak selama ini dan begini awak balas?”

“ Amira nanti dulu sa...”

“ Cukup Remy. Awak dengar sini. Mulai hari ini. Tiada apa-apa hubungan lagi
antara kita. Terima kasih untuk segala-galanya. Selamat tinggal Remy.” Butang merah ditekan. Talian putus.

“ Amira!!!” Beberapa kali dia cuba menghubungi Amira namun masih tidak diangkat.

Pintu biliknya dibuka. Kelihatan Encik Razak berada di muka pintu.

“ Remy, dah malam ini. Terjerit-jerit. Tak tidur lagi ke?” Tanya Encik Razak. Remy hanya memandang wajah Encik Razak.

“ Ayah, ayah boleh tak jangan masuk campur urusan saya. Saya bencilah.”

“ Hei Remy, apa nak jadi dengan kau ini? Belajar tinggi-tinggi tapi melawan cakap orang tua.”

“ Ayah, kenapa ayah nak marah. Saya jadi beginipun sebab sikap ayah. Ayah dulukan banduan. Banyak buat masalah. Ayah tak sedar diri!”

“ Kurang ajar. Kau yang tak sedar diri! Kau tu yang anak banduan. Nah rasakan!” Tangan Encik Razak hinggap di pipi.

“ Hei. Kau dengar sini, buat pengetahuan kau. Kau bukan anak aku. Ayah kau dulu banduan yang dijatuhkan hukuman mati. Ayah kau letak kau di hadapan rumah aku.” Rahsia yang disimpan oleh keluarganya 17 tahun yang lalu kini tersingkap. Remy seakan tidak percaya. Lantas dia segera mengambil kunci motor dan terus bergerak keluar dari mulutnya. Dia meluncur laju tanpa jihat yang pasti.

Kini, dia sedar. Dia telah kehilangan segala-galanya. Amira, Ibu dan bapa kandungnya. Dia telah kehilangan percintaan, kasih sayang dan kekuatan. Segala-galanya telah pergi. Dia terus memecut laju. Satu sinar terang muncul di sebelah kanannya. Bunyi hon treler segera menyedarkannya. Sebuah treler melanggar Remy. Dia merasakan dirinya tercampak dan dia jatuh terhentak pada sebuah batu. Penglihatannya terus kelam dan zulmat.

“ Remy, bangun.” Satu suara cuba untuk menyedarkannya. Tatkala dia membuka mata, satu panahan cahaya putih menyerang retina matanya. Pedih! Dia cuba melawan untuk membuka matanya. Akhirnya dia sedar. Dia menoleh ke kiri. Farah.

“ Syukur Remy awak selamat.” Ucap Farah.


“ Farah, saya dekat mana? Apa yang berlaku?”

“ Remy, awak di Hospital Kuala Lumpur. Awak kemalangan semalam. Sebuah treler melanggar awak. Kata doktor, kepala awak terhentak dengan batu. Mujurlah pendarahan di kepala awak berjaya dibuang dalam pembedahan.”

“ Remy sebenarnya ada sesuatu yang saya ingin katakan. Tetapi saya malu. Saya tinggalkan surat ini untuk awak. Bila awak dah sembuh, bacalah. Saya harap awak dapat menerimanya. Dia meminta diri dan terus pulang ke rumah. Remy masih lagi terbaring. Kata-kata Encik Razak masih lagi bermain di kepalanya.

Dia menggagahkan diri untuk mengambil surat tersebut. Dia membuka dan
membacanya.

Hai, Remy. Seorang lelaki yang selalu membantu diriku. Remy, ingatkah satu ketika dulu, ketika engkau memanggil namaku dengan separuh menjerit. Meminta aku untuk mengajar mu satu soalan. Tahukah engkau betapa diriku ketika itu amat gugup? Aku tidak menyangka, bahawa pelajar terbaik sekolah meminta pertolongan daripadaku. Remy, tahukah engkau sebenarnya cukup berbeza dengan pelajar lain, walaupun engkau merupakan pelajar harapan sekolah namun engkau tidak segan silu untuk bertanya kepada pelajar lain. Betapa mulianya dirimu.

Aku masih ingat lagi tatkala dirimu membantuku ketika aku diganggu oleh pelajar lain. Di saat aku dalam kesulitan engkau hadir sebagai pembantu. Ya, ramai yang memandang serong terhadap dirimu. Namun, disebalik baran dan kekasaran yang kau lakaukan. Aku dapat melihat wujudnya sikap protektif dalam dirimu. Engkau suka membantu orang yang berada dalam kekasaran.Terima kasih Remy.

Remy, hatiku menjadi semakin berbunga apabila kau menghadiahi aku sebiji gula-gula HACKS. Kata orang, gula-gula itu ada maksudnya. Hanya Awak Cinta Ku Selamanya, aku sedar, aku tidaklah layak untuk bersamamu dan menjadi teman hidupmu. Namun ku pohon untuk kau memberikan aku peluang untuk bersama denganmu. Aku berharap engkau tidak akan menghampakan harapanku. Ya, memang tingkah ku ini pelik. Namun, Remy setiap hari kau datang dalam hidupku. Remy, aku sudah tidak tahan lagi. Ketahuilah Remy Farah amat mencintai Remy...Sedalam-dalamnya...

Remy melipatkan kembali surat ini. Hatinya menjadi semakin bingung. Buat masa kini dia tidak mahu menerima sesiapa selain Amira. Dia akan cuba untuk kembali menawan hati Amira.  Amira hanya salah faham. Antara dia dengan Farah hanya kawan biasa. Namun, Farah telah meletakkannya dalam situasi serba salah. Tatkala Amira telah pergi, Farah pula hadir ke sisi. Namun perlukah dia menyendiri hingga dia menemukan jodohnya nanti.

Pintu bilik diketuk dan Ikhwan muncul di balik pintu. Ikhwan bergegas ke hospital setelah mendapat tahu bahawa Remy kemalangan. Dia menghampiri katil Remy.

“ Ikhwan, betul cakap kau. Ibu dan ayah kandung merupakan nikmat yang telah Allah beri. Sebenarnya aku anak yatim piatu Ikhwan.  Aku tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu dan ayah kandung.” Remy memulakan percakapan.

“ Sabar Remy. Remy, ingat tak hadis nabi. Sesungguhnya hidup manusia ini diibaratkan sebagai seorang perantau. Dunia ini ibarat tempat persinggahan buat seluruh umat manusia. Di atas dunia inilah kita harus mencari bekalan untuk hari akhirat kelak. Remy, percayalah jika kau renungkan kembali. Kau kini sedang merantau. Merantau di satu odisi penuh berhikmah. Kau kini sedang mengembara.”

 “ Jangan risau Remy pintu taubat buatmu belum tertutup. Nasihatku, selepas ini, pulanglah ke rumah orang tua kau. Walaupun mereka bukan keluarga kandung kau, namun mereka telah membesarkanmu. Sekurang-kurangnya kau dapat merasai nikmat Islam dan kehidupan bersama mereka.”
Remy kini sedar. Dia cuba untuk menyusun semula kehidupannya. Baru dia terfikir, dalam perantauannya di bumi ini, sudah berapa lama dia tidak menunaikan solat. Sudah berapa lama dia tidak berpuasa. Dia amat merindui detik-detik ketika dia belajar solat. Dia amat merindui air sembahyang yang membasuh anggota badannya. Dia merindui segala-galanya.

Dia terpandang akan surat Farah. Dia mengambilnya dan membuka halaman belakang. Dengan ucapan dengan nama Allah, dia menuliskan sesuatu di belakang surat tersebut.

‘ Hanya Allah Cinta Ku Selamanya (HACKS)’
Ya, dia akan membuka satu odisi baru. Buat masa ini, dia tidak memerlukan cinta Amira mahupun Farah. Dalam odisi ini dia hanya memerlukan cinta Allah. Cinta manusia itu hanya akan hadir selepas kita mencintai Allah. Ucapan cinta hanya untuk insan yang bergelar isteri. Namun, odisi ini masih lagi dalam perjalanan yang sama. Perjalanan yang akan membawanya dan umat manusia mencari makna hidup bertuhankan Allah. Sebuah odisi yang akan mempertemukannya dengan keredaan Allah dan kedamaian yang hakiki.

Di sebelah kirinya dia melihat Amira yang seakan setia menanti cintanya kembali. Di sebelah kanannya pula dia melihat Farah yang masih mengharapkan jawapan daripadanya. Di hadapannya pula, dia dapa tmelihat sebatang jalan yang berliku. Sebuah odisi pengorbanan, percintaan dan perjuangan yang memerlukan ketabahan bagi mengukuhkan dirinya sebagai khalifah Allah di muka bumi. Dia juga berharap agar Amira, Farah dan rakan-rakan yang lain akan turut serta dalam odisi ini.

“ Ya Allah bantulah aku untuk melalui odisi ini ke gerbang taubat-Mu. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk-Mu...Amin...”

TAMAT

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...