Lambaian Jabal Rahmah

Dia masih lagi duduk berteleku di atas meja di kelas 5 Delta. Rakan-rakannya yang lain sudah beransur pulang ke rumah masing-masing. Namun, hari ini dia mengambil keputusan untuk pulang lewat ke rumah. Sesekali pandangannya dihalakan ke helaian keputusan peperiksaannya. Secara jujurnya dia masih tidak berpuas hati dengan keputusan peperiksaan tersebut. Jelas, kali ini dia mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan jika hendak dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain.

“ Abang!!” Satu suara datang tiba-tiba di pintu. Dia memandang wajah tersebut. Dia tersenyum. Alangkah indahnya dapat melihat wajah adiknya yang seceria itu. Umpama matahari yang bersinar.

“ Abang tak balik lagi?” Tanya Mariana. Sesekali pandangannya dihalakan keluar kelas. Abangnya hanya menggeleng. Mariana semakin hairan melihat abangnya. Belum pernah dia melihat abangnya sugul. Akhirnya dia terpandang slip keputusan abangnya. Dari situ dia mula mengagak apakah yang bermain di benak fikiran abangnya.

Sebenarnya ada hal lain yang mahu dibicarakan oleh Mariana sebentar tadi. Tetapi melihatkan keadaan abangnya. Dia membatalkan hasratnya itu.

“ Abang, Mariana tahu apa yang membuatkan abang berasa sedih. Tapi tak mengapa. Yang pasti abang dah buat yang terbaik. Jom kita pergi taman petang nanti. Adik belanja abang minum nanti. Lagipun adik dapat keputusan yang cemerlang.” Ujar adiknya panjang lebar. Akhirnya wajah Nazri kembali ceria. Sememangnya dia kagum dengan kecerdikan adiknya. Bukan sekadar cerdik dalam pembelajaran. Namun, cerdik juga mengambil hatinya.

Di suatu persimpangan jalan, kelihatan Zamir dan Jali berbasikal ketika mahu pulang dari sekolah. Sesekali Jali terpandang Zamir yang kelihatan tersenyum seorang diri. Sampai di suatu jalan yang lengang, akhirnya Jali membuka mulutnya.

“ Hai Zamir, dari tadi kau senyum seorang diri sahaja. Ada apa-apa yang boleh kau kongsi dengan aku.”

“ Aku berjaya tumpaskan Mariana.” Jawab dia selamba sambil memberhentikan basikal di tepi jalan.

“ Maksud kau? Kejap. Apa maksud kau tumpaskan dia. Bukankah kau berdua memang bercinta?” Tanya Jali dengan penuh kehairanan. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal tersebut.

“ Maksud aku, aku berjaya pegang tangan dia. Aku berjaya usap rambutnya.” Jali terlopong mendengar pengakuan daripada Zamir. Dia menenung lama ke wajahnya. Mancari satu kepastian di balik mata Zamir. Tiba-tiba dia ketawa.

“ Mariana melawan atau dia merelakan juga?” Tanya Jali kembali.

“ Itu yang aku tak puas hati. Kata bercinta tapi aku nak pegang dia sikit tak boleh.”

“ Kira kau cabul dialah ini.” Jali bertanya lagi. Seketika kemudian, Zamir mengangguk dengan wajah bosan.

“ Kau gila. Agaknya kau ini memang lapar tumbukan abang dia. Pantang adik dia disentuh oleh lelaki lain. Kau belum kenal lagi siapa abang dia. Sekali dia mengamuk, haru biru satu sekolah. Kau berani kau cubalah.” Cabar Jali. Sememangnya dia terkejut dengan tindakan Zamir. Semua lelaki yang pernah cuba menggangu adiknya habis dibelasah oleh abangnya.

“ Kau berdua bercinta, abangnya tahu tak?” Zamir menggeleng. Jali turut sama menggeleng. Namun kedua-dua mereka membawa makna yang berbeza.

“ Tapi tak apa Jali. Tadi itu baru langkah awal.” Zamir membalas pendek. Dia kembali mengayuh basikal meninggalkan Jali.

“ Ei, Zamir, tunggu dulu aku tak faham apa yang kau maksudkan dengan langkah awal.” Tanpa membuang masa Jali kembali mengejarnya.

***************************

Semua pelajar kelas 4 Alfa sedang sibuk dengan slip keputusan masing-masing. Disebabkan pada petang tersebut, guru bermesyuarat, maka tiada sesi pembelajaran pada petang tersebut. Mariana memandang puas keputusan peperiksaannya. Ternyata, segala usahanya selama ini berbaloi. Dia masih lagi duduk di tempatnya di bahagian belakang kelas.

“ Hai Mariana. Seorang sahaja?” Zamir datang mendekatinya. Mariana tersenyum. Pandangan mereka menyatu dalam satu titik.

Jeda

“ Berapa result you dapat?” Tanya Zamir. Dengan wajah tersenyum, Mariana menghulurkan sendiri slip keputusannya. Zamir memandang wajah Mariana dalam-dalam. Dia semakin terpikat dengan wajah Mariana yang cantik. Matanya yang galak. Bibirnya yang menawan, ditambahkan dengan senyuman yang sentiasa tidak lekang di wajahnya. Benar-benar wajah Mariana sudah cukup menggetarkan sifat lelakinya.

‘ Mariana, kau sungguh cantik sekali. Dengan suaramu yang manja dan lembut, kematangan kau. Segala-galanya. Tiada apa yang dapat memisahkan kita.’

“ Tahniah Mariana.” Ujar Zamir sambil tangannya memegang bahu dan mengusap rambut Mariana. Mariana menepis tangan Zamir. Mariana sudah tidak makin selesa. Dia segera meninggalkan Zamir dan berlalu ke arah rakan-rakannya yang lain.

****************************

Peristiwa di sekolah tadi benar-benar melahirkan satu jiwa yang kusut di hati Mariana. Dia memang tidak sangka Zamir akan bertindak sedemikian. Selama ini, Zamir yang dilihatnya sentiasa tenang, sudah mula menampakkan taringnya. Mahu sahaja dia memberitahu abangnya perihal tersebut. Namun, kerana memikirkan soal abangnya yang memang agresif dan cebisan perasaan kasihan kepada Zamir, dia terus sahaja menguburkan tindakan tersebut.

Disebabkan peristiwa tadi, dia mula memikirkan soal perhubungannya dengan Zamir. Haruskah dia memutuskan segala-galanya. Terlalu banyak benda yang harus difikirkan. Lantas dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia mula menaip sesuatu.

Mariana : Hai, Johan.

Johan : Ya. Mariana ada apa hantar mesej malam –malam begini. Ada apa yang boleh saya bantu.

Mariana : Sebenarnya, saya ada masalah. Apa komen awak saya nak putuskan sesuatu perhubungan yang istimewa. Macam bercinta.

Johan : Saya inipun bukanlah ustaz. Tapi, saya akan cuba jawab dengan semampu yang boleh. Pertama, cuba awak tanya diri awak? Sepanjang awak bercinta dengan dia, ada tak apa-apa faedah yang awak dapat?

Mariana : Faedah? Kalau keseronokkan itu adalah, untuk nak luahkan perasaan. Tapi saya fikir tanpa cinta saya masih mapan untuk berdikari. Kadang-kadang terfikir juga macam buang masa sahaja.


Lama juga Mariana menanti jawapan daripadanya. Selang beberapa minit kemudian, satu SMS masuk ke telefonnya.

Johan : Mariana, jawapannya ada dalam diri awak. Awak mengatakan awak bercinta hanya untuk keseronokan, untuk luahkan perasaan. Awak juga bercakap, hanya buang masa sahaja. Saya nak tanya awak, adakah dalam dunia ini, keseronokan hanya boleh kita dapat melalui bercinta. Pastinya tak. Sebab keseronokan itu boleh datang melalui perlbagai cara. Contohnya, kita dapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Pasti kita akan berasa gembira. Kedua, kalau awak mengatakan awak bercinta untuk meluahkan perasaan. Ingat Mariana, kita masih ada ibu-bapa kita, kita masih ada keluarga kita. Dan yang penting, kita ada Allah Mariana. Dia Yang Maha Mengetahui. Awak tak bagi tahu masalah pun, Allah dah tahu masalah awak. Kalau awak luahkan perasaan terhadap teman lelaki awak, belum tentu dia dapat selesaikan masalah awak. Kembali pada Allah Mariana.

Dia membaca SMS tersebut. Ombak hatinya bercampur baur. Jawapannya mungkin dah ada. Tetapi hatinya sedikit terguris apabila dia membaca SMS tersebut. Seperti ada sesuatu yang menghiris atma hatinya.

Mariana : Johan, adakah awak menyindir saya. Saya tahu, saya bukan pelajar yang bersekolah agama. Saya tak macam awak. Awak bekas pelajar sekolah agama. Kenapa awak cakap mengenai agama dengan saya. Saya betul-betul seakan hilang arah untuk saya bergerak.

Johan : Isy, Mariana. Agama itu bukannya satu ibadah sahaja. Islam itu merupakan panduan kehidupan. Merangkumi pelbagai aspek. Awak suka lagu Maher Zain kan? Cuba awak hayati seni kata dalam lagunya. When you lose your way, to Allah you should turn. As He promise He will always be there. Ingatkan?


Mariana membaca SMS tersebut dengan senyuman. Dia kembali menyeka air matanya. Seketika kemudian, dia menerima satu lagi SMS.

Johan : Mariana, saya nak rehat dulu. Maklumlah esok hari sekolah juga. Assalamualaikum.

Akhirnya, dia sudah pasti akan jawapan yang dia cari selama ini.

“ Mari sini beri aku baca.” Jali merampas surat tersebut dari genggaman Zamir. Mata Jali membulat ketika dia membaca surat tersebut. Seakan tidak percaya. Dia kembali memandang Zamir. Pelajar lain sedang rehat di kantin sekolah.

“ Zamir, rupanya kau bertepuk sebelah tangan sahaja. Akhirnya kau tewas jua Zamir. Kau tewas dengan seorang ratu di sekolah ini. Habislah reputasi kau Zamir.” Jali bersuara.

“ Diam Jali!” Suara Zamir sedikit tinggi. Mukanya merah menahan marah. Ini kali pertama perempuan meminta untuk putus percintaan darinya. Surat itu dikoyakkan. Tiba-tiba sahaja dia menumbuk mejanya. Tangannya digenggam.

“ Langkah seterusnya bakal menyusul.” Ujar Zamir. Jali juga turut terdegar apa yang diperkatakan tadi. Zamir terus meninggalkan kelasnya dan bergerak tanpa jihat yang pasti.

“ Ei, dulu langkah awal, sekarang ini langkah seterusnya. Aku pun tak faham. Zamir, tunggu! berapa banyak langkah kau dah tinggalkan aku.” Jali mengejarnya dari belakang.

Suasana di kantin masih riuh rendah. Semua pelajar sedang sibuk membeli makanan. Mariana, Althafunnisa dan Zahara sedang menikmati makanan di satu sudut kantin. Mereka bercadang akan ke tasik yang berdekatan berhampiran rumah mereka untuk mengulangkaji pelajaran. Mariana dapat melihat abangnya. Dia memanggil abangnya. Nazri mendekati mereka.

“ Abang, petang ini saya nak ke tasik. Nak ikut mereka untuk mengulangkaji pelajaran.” Mariana memandang wajah abangnya dengan penuh harapan.

“ Boleh, tetapi kena jagi diri. Sekarang ini, abang risau. Kes penculikan selalu berlaku. Ada duit poket?” Nazri pula bertanya kembali. Mariana hanya tersenyum. Dari senyuman itu, Nazri dapat meneka.

“ Nanti abang bagi. Kalau boleh biar abang hantarkan sekali.”

“ Terima kasih abang.”

Suasana petang yang redup. Terasa indah dengan kicauan burung yang bergema di udara. Zahara dan Althafunnisa sedang duduk di atas tikar yang dihamparkan tepat menghala ke tasik. Sebelum mereka membuka buku, mereka ingin menantikan kehadiran Mariana terlebih dulu.

“ Nisa, aku tengokkan, Nazri itu kacak kan?” Zahara memulakan bicaranya. Tersembur air mineral dari mulut Althafunnisa. Zahara tersenyum kecil melihat gelagat Althafunnisa.

“ Kacak pun, garang macam harimau berantai, panas baran, bertindak tak tentu pasal dan...” Zahara terus meletakkan jarinya di bibir Althafunnisa.

“ Tapi, dia bukannya bertindak tak tentu pasal. Dia akan belasah orang yang ganggu kawan-kawan, adiknya dan mungkin kalau ada orang kacau kau pun. Mungkin dia akan belasah. Bagi aku dia protektif.” Jujur Zahara sambil dia masih lagi tersengih. Althafunnisa yang mendengar kata-kata Zahara hanya tersenyum sahaja. Dia sedar akan perangai Zahara yang sering menggangu dia.

“ Zahara, aku tak fikir pun dengan belasah orang kita akan jadi seorang yang protektif. Kenapa dia tak bagi nasihat dulu. Ingat! Haram bagi kita menyakiti saudara muslim yang lain.” Tegas Althafunnisa. Zahara mati kalam. Dia tahu pasti dia akan kalah jika dia berdebat dengan Althafunnisa. Lebih-lebih lagi apabila Althafunnisa mula mengeluarkan topik agama. Zahara mengalah. Tidak lama kemudian, Mariana pula hadir.

Selepas satu jam di taman tersebut, masing-masing mahu pulang ke rumah. Althafunnisa juga sudah menasihati Mariana akan perihal abangnya. Mariana mengangguk. Dia juga tidak beberapa suka akan tindakan abangnya yang kasar. Mereka bersalaman dan pulang ke rumah masing-masing. Manakala Mariana pula sedang menunggu abangnya di tempat yang dijanjikan. Dia berjalan sambil membelek-belek buku latihan Fizik.

Tiba-tiba tangannya direngut dari belakang. Dia menoleh ke belakang. Zamir. Dia sedaya upaya cuba melepaskan dirinya. Namun, genggaman tangan Zamir lebih kuat.

“ Hei Mariana, kenapa kau nak putuskan hubungan ini? Dengan senangnya kau cakap kau minta putus. Apa, kau ingat aku boleh terima.” Sesekali pandangannya dihalakan ke sekeliling. Tidak orang di sekitar itu.

“ Zamir, lepaskan tangan aku. Suka hati aku lah nak putuskan ataupun tidak.” Mariana meronta-ronta cuba melepaskan diri. Tiba-tiba tangan Zamir mencekiknya dan menjatuhkan Mariana di atas taman tersebut.

“ Hei, ini hukuman untuk kau. Kau cakap, kau nak putuskan hubungan ini ataupun tidak?” Gertak Zamir sambil tangannya terus mencekik leher Mariana. Mariana semakin lemah. Mahu menjerit tidak boleh. Semakin lama, semakin kuat cengkaman Zamir. Zamir tersenyum sambil melihat wajah Mariana.

“ Kurang ajar, rasakan.” Zamir merasakan lehernya disepak oleh seseorang. Dia bangun dan memandang kepada lelaki tersebut. Nazri. Dia sedar, dia sudah mengejutkan gergasi yang sedang tidur. Dia mati langkah.

Dengan pantas Nazri mendapatkan Zamir dan memberinya tiga penumbuk di rusuknya sekali gus membuatkan Zamir terjatuh. Tanpa membuang masa dia terus memijak beberapa kali perut Zamir. Zamir semakin lemah. Mustahil dia akan berhadapan dengan harimau berantai ini.

“ Tadi kau cekik adik aku. Sekarang masa untuk kau pula rasa.”

Dia berdiri di sebelah kepala Zamir yang terbaring. Dia terus memijak leher Zamir dan terus mencekik leher Zamir menggunakan tapak kakinya. Mariana bangun dan cuba menghalang abangnya. Dia berlari ke arah abangnya dan menarik jaket Nazri untuk menghalangnya dari terus bertindak begitu. Dengan satu tolakan yang kuat Nazri menolak Mariana menyebabkan adiknya terjatuh ke atas tanah.

“ Allah!” Satu perkataan terpacul keluar dari mulut Mariana ketika tubuhnya jatuh ke atas tanah. Nazri memandang adiknya. Dia tidak menyangka dia telah menolak adiknya sehingga terjatuh. Dia dapat melihat air mata Mariana mula bergenang di tasik matanya, lantas air mata yang bergenang itu berlinang meluncur laju di atas pipi Mariana.

Nazri sebak melihat keadaan adiknya. Tolakkannya tadi dirasakan memang kuat. Itulah kali pertama dia bertindak kasar terhadap adiknya. Itupun dengan tidak sengaja. Dia mendapatkan adiknya yang masih lagi duduk di atas tanah.

‘ Mariana, maafkan abang.’

Bulan masih setia menemani. Nazri sedang duduk di atas buaian di halaman rumahnya. Fikirannya masih menerawang memikirkan perihal sebentar tadi. Adakah apa yang dia lakukan selama ini tidak membantu Mariana, malahan lebih menyakitkannya lagi. Dia memandang ke langit kirmizi di atasnya. Dia dapat melihat beribu cebisan wajah. Dengan visualnya, dia mencantumkan cebisan wajah sehingga terpapar sebuah figura yang menyedihkan. Wajah adiknya sedang menangis. Dia memandang ke bawah.

Air matanya mula berlinangan. Dia cuba mengamati langit di atasnya. Jelas, hanya bulan sahaja yang ada. Kadang-kadang dia merasakan dirinya umpama bulan pada malam tersebut. Dia cuba mengira bintang-bintang. Tiada. Mungkin malu untuk menemani sang rembulan atau merajuk terhadap bulan. Adakah adiknya umpama bintang yang sedang merajuk terhadap bulan?

“ Abang, ada benda Mariana nak cakap.” Mariana muncul di tepinya. Nazri tersenyum. Ternyata, bintang tidak merajuk terhadap bulan.

“ Mengenai petang tadi?” Nazri menyoal kembali. Mariana menggeleng.

“ Saya cuma nak tanya. Kenapa abang sering bertindak kasar terhadap orang? Saya tahu, abang tak suka orang usik saya. Tetapi jangan sampai belasah-membelasah.” Mariana memulakan persoalan.

“ Mariana, kamu tidak faham perangai lelaki. Abang buat, sebab abang nak lindungi kamu. Kalau dibiarkan ia akan menjadi melarat.

“ Kalau betul abang nak lindungi saya, tidak perlu sampai bertumbuk. Bukan saya tidak hargai cuma saya takut suatu masa, orang akan bertindak sesuatu yang buruk terhadap abang. Kalau boleh, berikan amaran dahulu, atau memberikan nasihat. Bukan terus belasah seperti apa yang abang buat sebelum ini.”

“ Kamu bukan tidak kenal sikap abang. Manalah abang tahu bagi nasihat panjang-panjang.”

“ Kadang-kadang saya malu dengan kawan-kawan. Orang lain cakap saya ini adik hantu kacang, adik harimau berantai..Mestilah saya malu. Saya fikir dah sampai masanya abang berubah. Tahun ini abang nak SPM, nanti nak sambung pengajian ke luar negara. Sekiranya abang masih begini, sukar untuk abang teruskan pengajian. Lagipun abang kena ingat. Kita anak yatim piatu. Masyarakat kurang menghargai orang seperti kita.” Luah Mariana dengan wajah yang suram.

“ Abang buat sebab ada sebab tersendiri. Lagipun, biarkan mereka kena belasah. Biar padan dengan muka dia.” Nazri ketawa terkekeh-kekeh. Namun Mariana langsung tidak merasa lucu.

“ Abang!” Mariana separuh menjerit. Wajahnya mencebik lagi. Nazri terdiam. Dia menyelami wajah adiknya dalam-dalam. Hati Nazri tersentuh. Jauh di nubarinya, dia begitu sensitif apabila melihat wajah Mariana sugul ataupun sedih. Namun dia keraskan jua hati supaya tidak menzahirkan perasaan tersebut. Rupa-rupanya kelakuannya selama ini hanya membuatkan diri Mariana semakin terseksa.

“ Mariana, sebenarnya abang pun tidak suka akan diri abang sekarang. Setiap hari, abang bertekad untuk tidak memukul orang lagi. Mariana nak abang berubahkan? InsyaAllah abang akan berubah, Cuma bagi abang masa.” Mariana yang tadi sugul kembali kelihatan ceria.

“ Janji?”

“ Abang janji abang akan berusaha. Tetapi berikan abang masa. Abang tidak akan memalukan kamu lagi. Tetapi seperti apa yang abang cakapkan, berikan abang masa. Dah jangan buat muka lagi. Mariana kan umpama bintang yang bersinar. Mana boleh buat muka macam ini. Abang tak nak tengok adik dalam kelihatan sedih.” Nazri membuahkan azam di hatinya. Memang sudah lama dia tidak mahu bersikap keras. Namun, mulai hari ini dia ingin berusaha. Memang sukar, tetapi tidak mustahil.

Lima Tahun Kemudian.

Mariana berada di tahun keempat pengajian. Hal ini bermakna dia hanya berbaki setahun lagi bagi menghabiskan pengajiannya di peringkat master dalam jurusan undang-undang. Manakala Nazri sudah berada di semester akhir pengajian di Universiti Amman, Jordan. Di Universiti Putra Malaysia, Mariana menginap satu bilik yang sama dengan rakan-rakannya yang lain. Antaranya, Althafunnisa, rakannya sejak di bangku sekolah lagi.
Walaupun, Nazri dan Mariana dipisahkan dengan beribu-ribu batu jauhnya, namun mereka sering bertanya khabar. Adakalanya Nazri akan menghantar email sendiri kepada rakan-rakan Mariana untuk mengetahui berita tentang adiknya. Semakin lama, Mariana semakin puas melihat perubahan dalam diri Nazri. Nazri yang dahulunya sering mengambil pendekatan agresif, kini tidak lagi.

Althafunnisa dalam perjalanan ke siber kafe di UPM. Baru pagi tadi Mariana memintanya untuk mencetak beberapa tugasan yang telah disiapkan semalam. Kebiasaannya, Althafunnisa akan ke sana bersama-sama dengan Mariana, namun hari ini dia terpaksa pergi seorang diri kerana Mariana akan pulang lewat dari kuliah. Katanya mahu berjumpa pensyarah.

Dia membuka email. Matanya tertumpu kepada satu nama. Nazri. Dia menekan pada nama tersebut. Dia membaca email tersebut dengan basmalah.

Assalamualaikum. Nisa dan Mariana apa khabar?

Saya kini berada di semester terakhir pengajian saya di Amman. Sebenarnya saya ingin menyampaikan satu berita kepada kamu. Tetapi jangan terkejut. Ucapkanlah Maha Suci Allah, Segala Puji bagi Allah dan Allah Maha Besar.

Maha Suci Allah...

Nisa, untuk pengetahuan kamu, ketika tahun-tahun terawal saya di Jordan, saya telah beberapa kali gagal dalam peperiksaan semester. Hal ini menyebabkan saya kini ketinggalan beberapa semester di belakang mereka yang memasuki universiti bersama-sama dengan saya. Ada di antara mereka yang sudah pun kembali ke tanah air dengan segulung ijazah. Namun, saya masih disini. Ketinggalan disebabkan kegagalan yang lalu. Setiap kali saya gagal saya sering membentak dan mengamuk. Saya tidak dapat menentukan apakah hikmah di sebalik Allah memberikan kegagalan kepada saya. Akhirnya, sehinggalah pada suatu hari beberapa orang pelajar baru masuk ke kuliah.
Saya amat terkejut. Akhirnya saya dapat mengenal pasti hikmah kegagalan saya. Kerana saya gagal, saya ketinggalan beberapa semester dan saya dapat bertemu dengan seorang lelaki. Melalui lelaki ini, saya banyak belajar darinya. Terutamanya dalam aspek agama. Mengenali lelaki tersebut, saya mula mengenali Islam. Dan lelaki itu jugalah yang membantu saya dalam usaha saya berubah menjadi lebih baik. Bayangkan jika saya tidak pernah gagal. Saya pasti akan terus ke semester seterusnya. Dan saya tidak akan bertemu dengan lelaki itu. Sungguh hebat bukan perancangan Allah?

Segala Puji Bagi Allah...

Saya telah melalui proses perubahan. Saya kini tidak seagresif dahulu. Saya kini semakin tekun dalam mendalami ilmu agama. Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan lelaki tersebut.

Saya kini berada dalam semester akhir pengajian dan saya berharap untuk menghabiskan pengajian saya secepat mungkin. Saya mahu terus pulang ke Malaysia dan bekerja untuk menyara kehidupan Mariana sehingga dia berkahwin. Kerana itu janji saya kepada arwah ibu bapa saya.

Saya juga bersyukur kerana Mariana berkawan dengan kamu. Dia ada menghantar email kepada saya bahawa dia kini sudah mula belajar bersembahyang atas didikan kamu. Terima kasih Mariana.

Allah Maha Besar!!!!

Namun, ketika saya membuka facebooknya, Mariana masih lagi tidak bertudung. Itu yang menggusarkan saya. Nisa, saya ada satu permintaan. Tolong saya, berikan didikan kepadanya. Terangkan kepadanya mengapa penting baginya untuk memakai tudung dan menjaga mahkotanya.

Dalam email yang lalu, Mariana ada memberitahu kepada saya akan keinginannya untuk ke Mekah. InsyaAllah selepas saya tamat pengajian nanti, saya akan membawanya ke Mekah. Apa yang pasti, saya akan membawanya ke Mekah sejurus saya tamat pengajian. Cuma berikan satu khabar berita kepadanya.

InsyaAllah, saya akan jumpanya di Mekah nanti.

Assalamualaikum.

Nazri, Amman..


Mariana tersenyum setelah membaca email tersebut. Kini dia mempunyai satu lagi tanggungjawab yang besar. Hampir 30 minit berlalu, dia tersedar yang dia perlu untuk mencetak beberapa tugasan yang telah dikirimkan kepadanya oleh Mariana. Lantas dia segera mencetaknya. Selepas itu, dia bergegas pulang ke asrama.

“ Mahu ke mana Mariana?” Althafunnisa yang sedang duduk di atas katil bertanya setelah melihat Mariana mengenakan beberapa pakaian dengan kemas.

“ Tidak ke mana-mana Nisa. Aku tengah cuba mengenakan jubah yang abang aku poskan dari Jordan.”

“ Oh. Jubah berbentuk abaya ini.” Althafunnisa mendekati Mariana.

“ Mariana, tadi abang kau ada hantar email pada aku.” Mariana menoleh ke arah Althafunnisa. Dia tersenyum.

“ Apa yang dia tulis? Adakah dia akan menamatkan pembelajaran. Adakah dia akan pulang ke Malaysia?” Tanya Mariana dengan penuh gembira.

“ Abang kau dalam semester akhir pengajian. Dan, abang kau cakap, dia akan bawa kau ke Mekah sejurus dia tamat pengajian di sana. Tetapi dia ada satu permintaan.” Mariana melompat kegirangan. Terbayang Masjidil Haram yang dirinduinya.

“ Apa permintaan dia?” Tanya Mariana kembali.

“ Dia minta kau pakai tudung.” Jawab Althafunnisa ringkas.

“ Ha?” Mulut Mariana terlopong.

Sudah seminggu Mariana memakai tudung ke kelas. Beberapa orang rakan suka dengan perubahan yang dipamerkan oleh Mariana. Althafunnisa merupakan teman yang paling gembira melihat perubahan pada Mariana. Ternyata, usahanya selama ini tidak sia-sia. Mungkin, jika ibu dan ayah Mariana masih hidup, mereka merupakan insan yang paling bahagia.

Namun, ada juga rakan yang tidak suka dengan perubahan itu. Ternyata walaupun ramai yang suka akan perubahannya, namun masih ramai yang memandang negatif terhadapnya. Setiap hari ada sahaja tohmahan yang dilemparkan kepadanya. Lelaki-lelaki yang meminati wajahnya dahulu terus tidak pandang lagi akannya. Bagi mereka, perempuan yang bertudung ini merimaskan dan tidak moden.

Mariana berlari meredah hujan sambil menangis ke asrama. Hatinya hancur apabila setiap hari dia diejek dan diketawakan. Ramai rakan-rakan yang tidak mahu bergaul dengannya lagi. Sampai sahaja di biliknya, dia terus membuka tudungnya dan melemparkannya ke arah dinding. Dia cuba untuk mencari semangat yang semakin hilang dalam dirinya.

Dia membuka tingkap dan memandang ke langit yang redup. Hujan turun renyai-renyai seakan bersimpati juga dengan keadaannya. Dia memandang ke arah langit. Seakan ada sekeping wajah yang memandang mereka dengan pandangan yang redup. Seredup langit pada waktu itu. Dia meneliti langit itu. Ya. Wajah ibu bapanya.

“ Mariana kan umpama bintang yang bersinar. Mana boleh buat muka macam ini. Abang tak nak tengok adik dalam kelihatan sedih.” Dia masih ingat kata-kata abangnya lima tahun yang lepas. Dia teringat akan abangnya. Di saat begini, ketika dia susah abangnya pasti akan berada di sampingnya.

“Awak suka lagu Maher Zain kan? Cuba awak hayati seni kata dalam lagunya. When you lose your way, to Allah you should turn. As He promise He will always be there. Ingatkan?”

Tiba-tiba figura Johan menerjah ruang memorinya. Di manakah lelaki itu sekarang?

Dia mencapai tudungnya dan mengoyakkannya dengan tangannya. Tiba-tiba Althafunnisa memasuki bilik dan melihat Mariana dalam keadaan sedih. Dia terpandang akan tudung yang sudah terkoyak itu. Dari situ dia mula memahami apa yang membuatkan hati Mariana sedih.

Althafunnisa segera duduk di sebelah Mariana. Dia segera mendakap Mariana yang masih lagi sedih.

“ Nisa, aku tak tahan lagi dengan situasi ini. Setiap hari mereka hanya menyindir aku. Mereka kata aku ustazah murahan, pakai tudung nak tarik perhatian lelaki. Aku dah tak tahan Nisa.” Luah Mariana dalam keadaan tersedu-sedan di bahu Althafunnisa.

“ Mariana, pedulikan sahaja apa yang mereka nak cakap. Yang penting kau ikhlas Mariana. Kau sendiri yang beritahu aku, yang kau memang nak berubah. Kau mahu mengikuti jejak abang kau. Kau kena tabah Mariana. Ingat, ramai serikandi Islam yang pernah mengharungi dugaan yang lebih teruk lagi. Namun, mereka mempunyai semangat yang kental.” Ujar Althafunnisa sambil menggosok-gosok bahu Mariana.

“ Mariana, walaupun ramai yang tidak suka kau bertudung, mereka benci kau kerana kau bertudung. Percayalah, kau melakukan sesuatu yang Allah suka. Hayati kata-kata ini Mariana, kita tidak perlu gusar jika ada yang tidak suka akan kita. Kerana apa? Kerana masih ada orang yang akan menyukai kita. Dan kita perlu risau sekiranya Allah membenci kita. Kerana apa? Sekiranya Allah membenci kau, tidak ada satu makhluk pun yang suka kita. Ingat kata-kata ini Mariana.”

Mariana berhenti menangis. Dia melepaskan dakapannya dan memerhati wajah Althafunnisa. Rakannya sejak di bangku sekolah ini tidak putus-putus memberi semangat kepadanya. Dia segera mengambil kain tudung yang baru sahaja dikoyakkan. Lama dia memerhatikan tudung tersebut. Dia membaca satu sulaman pada hujung tudung itu.

‘ Abang Sayang Adik’

Dia berasa kesal. Kerana itulah tudung yang abangnya kirimkan. Dia menatap kembali tudung tersebut, dan dia terus menarik kain tudung itu ke dakapannya.

Enam Bulan Kemudian.

Mekah kini berada pada musim sejuk. Althafunnisa dan Mariana kini sudah berada di Mekah. Namun, Mariana masih lagi sedih kerana abangnya tidak dapat bersamanya. Abangnya hanya menghantar duit untuk urusan perbelanjaannya bagi melawat tanah haram itu. Namun, dia tetap terharu tatkala dia melihat kaabah buat kali pertama di hadapan matanya sendiri. Dia berdoa tidak putus-putus meminta agar dosanya yang lalu diampunkan oleh Allah. Bagai tiada tanda noktah dalam doanya.

Selepas melaksanakan tawaf dan mengerjakan solat sunat di Masjidil Haram, mereka ingin melawat tempat-tempat bersejarah di sekitar Mekah. Mereka akhirnya sampai ke Jabal Rahmah. Tempat pertemuan Adam dan Hawa setelah 100 tahun mereka berpisah. Althafunnisa dan Mariana mengambil peluang untuk mendaki bukit tersebut. Kelihatan beberapa pengunjung di sekitar itu. Ada juga peniaga-peniaga yang tidak melepaskan peluang menjalankan perniagaan di kaki bukit tersebut.

Mariana kelihatan tercungap-cungap ketika mendaki bukit tersebut. Althafunnisa sudah berada di depan. Althafunnisa melihat Mariana, dia berasa kasihan melihat Mariana. Timbul rasa kesal di hatinya kerana dia yang mahu mengajak Mariana mendaki bukit itu. Sampai sahaja di puncak, Mariana segera menadah tangan dan berdoa. Sekali lagi menyaksikan air matanya mengalir. Sesudah itu dia lantas mengaminkan doanya dan terus menyeka air matanya.

Tiba-tiba pandangannya menjadi gelap. Dia merasakan ada satu tangan yang halus menutupi matanya.

“ Nisa!” Dia separuh menjerit dan menoleh ke belakang. Namun, dia terkejut. Adakah itu abangnya atau dia sedang berhadapan dengan malaikat? Dia menatap wajah abangnya dalam-dalam. Wajah abangnya kini lembut. Sudah tidak serupa dengan lima tahun lalu. Sewaktu abangnya digelar harimau berantai di bangku sekolah dahulu.

“ Abang, Mariana rindu pada abang.” Dia segera mencium tangan abangnya.

“ Syukurlah pada Allah Mariana. Maha suci-Nya yang telah mempertemukan Adam dan Hawa di sini. Dengan kuasanya juga, dia mempertemukan kita di sini. Di sini jugalah tempat arwah ibu dan arwah ayah berjumpa pertama kali dahulu.” Ujar Nazri sambil mengelopakkan senyuman kepada adiknya. Althafunnisa segera menghampiri mereka berdua.

“ Alhamdulillah. Harimau berantai dah jumpa dengan kucing comel.” Gurau Althafunnisa. Nazri hanya tersenyum. Mariana terus mencubit Althafunnisa.

“ Nisa, terima kasih kerana menjaga adik saya selama ini. Terima kasih banyak-banyak.” Ucap Nazri. Selepas itu dia menolehkan pandangan ke Mariana.

“ Assalamualaikum.” Tiba-tiba seorang lelaki muncul bersama mereka. Mereka terkejut. Zamir?

“ Waalaikumsalam.” Jawab mereka serentak dengan penuh senyuman kepada Zamir. Ternyata, tidak ada lagi perasaan dendam antara mereka. Althafunnisa juga terkejut. Seakan tidak percaya.

“ Nazri, Mariana. Alhamdulillah. Selepas bertahun-tahun. Inilah masa yang sesuai. Saya memang menantikan saat ini. Akhirnya doa saya dikabulkan oleh Allah untuk bertemu kembali bersama kamu berdua. Di saat ini, kita bertiga bertemu kembali. Tetapi dalam situasi yang berbeza. Dengan itu, saya ingin meminta maaf atas dosa dan kesilapan yang saya lakukan.” Ujar Zamir dengan penuh kekesalan. Nazri menghampiri dan memerhatikan Zamir.

“ Mir, jangan risau. Aku dah lama maafkan engkau. Engkau tidak perlu risau. Tiada lagi dendam aku kepada kau. Aku juga ingin meminta maaf kerana bertindak kasar kepada engkau dulu.” Nazri menarik Zamir ke dalam pelukkannya. Zamir memerhatikan Mariana seperti mengharapkan sesuatu. Mariana tersenyum dan mengangguk. Tanda kemaafan diberi walaupun tidak dizahirkan dengan kata-kata.

“ Di kesempatan ini juga aku ingin ajak kamu semua ke majlis akad nikah aku. Ini kad jemputannya.” Zamir menghulurkan kad itu kepada Nazri. Mereka berjabat tangan. Zamir perlu pulang segera ke hotel kerana malam ini merupakan penerbangannya pulang ke Malaysia.

Mariana mengambil kad jemputan itu dan membaca alamat. Ternyata, tidak begitu jauh dengan rumahnya. Nazri memandang Zamir yang sedang menuruni bukit itu sehingga hilang dari pandangannya. Sementara itu Althafunnisa dan Mariana sedang membaca kad itu dengan tekun. Tiba-tiba mereka terkejut melihat nama pengantin perempuan di dalam kad tersebut.

“ Zahara!” Ucap Mariana dan Althafunnisa bersama-sama.

“ Mariana, abang ada hal yang ingin abang katakan.” Mariana patuh dan segera mendekati abangnya. Althafunnisa segera mengikutinya.

“ Sebenarnya abang tidak berniat untuk menentukan hala tuju Mariana. Sebenarnya, abang mahu menjodohkan Mariana dengan seseorang yang pernah membantu abang ketika di Jordan. Abang bukan apa, apabila kamu sudah berkahwin nanti. Abang berasa lega sedikit. Kerana insyaAllah masa hadapan Mariana akan terjamin. Apapun keputusannya terserah kepada kamu.” Mata Mariana membulat. Althafunnisa memandang ke wajah Nazri.

“ Abang, saya hanya menuruti sahaja kata-kata abang. Kerana saya tahu, abang buat yang terbaik untuk saya. Sekiranya baik untuk abang, baik jugalah untuk saya. Cuma saya nak tahu siapa lelaki yang pernah membantu abang itu?” Mariana menyoal kembali. Hatinya berdebar-debar.

“ Lelaki itu juga pernah membantu kamu dahulu. Untuk pengetahuan kamu, abang pernah membuka SMS kamu. Kamu meminta pendapat daripada lelaki itu. Dan apabila abang membaca SMS itu, hati abang sudah terpaut untuk menjodohkan kamu dengan....”

“ Johan abang?” Mariana menyambung dengan senyuman. Nazri mengangguk dan tersenyum. Mariana segera memeluk abangnya. Kemudian, dia memeluk pula Althafunnisa. Air mata terharu mula mengalir. Dia bersyukur kerana mendapat abang seperti Nazri. Althafunnisa mengucapkan tahniah dan selamat kepada Mariana. Kemudian Althafunnisa meminta izin untuk mengambil angin di sekitar Jabal Rahmah.

“ Habis, bagaimana dengan abang? Abang juga perlukan seorang isteri untuk menjaga abang?” Soal Mariana. Nazri hanya tertunduk ke bawah.

“ Soal abang. Biar abang yang uruskan. Sebab, sekarang abang nak cari pendapatan dahulu. Abang nak persiapkan diri untuk menjadi seorang lelaki yang berguna dahulu. Lagipun Mariana tanggungjawab abang sekarang. Abang mahu pastikan Mariana akan dapat seorang suami yang betul-betul bertanggungjawab. Barulah abang akan fikirkan soal abang.” Ujar Nazri. Mariana hanya mengangguk faham.

“ Mariana, abang pasti, jika arwah ibu dan ayah ada, pasti dia akan bangga melihat kita. Berkat doa mereka, akhirnya kita dapat menikmati kehidupan yang baik seperti sekarang. Mari kita berdoa di Jabal Rahmah ini. Menurut sejarawan, di sini lah tempat Allah menerima taubat nabi Adam A.s. Disebabkan itu ia dipanggil Jabal Rahmah, iaitu Bukit yang penuh dengan rahmat.” Mariana menuruti dengan penuh akur. Dia berdoa agar kehidupan keluarganya akan penuh dihiasi dengan kerahmatan Allah. Kehidupan yang akan dihiasi dengan warna-warna ketakwaan.

Mariana melemparkan pula pandagannya kepada Althafunnisa yang berdiri di tebing bukit itu. Seakan ada sesuatu harapan di hatinya. Sebolehnya, dia juga mahukan Althafunnisa menjadi kakak iparnya. Namun, mungkin sudah tidak ada jodoh, atau jodoh yang belum sampai.

Kemungkinan juga Allah tidak membenarkannya. Siapa tahu, mungkin Allah telah mencaturkan jodoh yang lebih baik dari Althafunnisa kepada Nazri. Dan Allah juga akan mempertemukan Althafunnisa kepada seseorang yang lebih baik dari abangnya.

Sesungguhnya perancangan Allah tiada siapa yang tahu. Itulah kehidupan tiada apa yang pasti melainkan Dia Yang Maha Kuasa. Tiada siapa yang mampu mengagak apakah yang akan terjadi hari esok. Semuanya di bawah kuasa-Nya. Apa yang pasti, dia hanya mampu berdoa agar kehidupannya akan menjadi lebih baik selepas ini.

“ Ya Allah, kasihanilah ibu bapaku sepeti mana mereka mengasihani aku sejak aku kecil.” Dia mengaminkan doanya.


TAMAT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...