Seakan Gugurnya Daun

Hati diibaratkan daun yang gugur dari sebatang pokok. Daun tidak akan pernah gugur dalam keadaan statik. Tatkala ia gugur ke bumi, angin yang meniup sering kali menukar permukaan daun ke bawah dan ke atas. Jika permukaan yang di bawah ditiup ia pasti akan menghadap ke atas. Begitu juga sebaliknya.
               
Samalah dengan hati. Hati kita umpama daun yang sentiasa berubah kedudukkannya bila ditup bayu. Boleh jadi hati kita hari ini menghadap dan taat akan perintah Ilahi, boleh jadi ia akan berubah sebaliknya. Jika kita tidak ada usaha untuk mempertahankannya. Usaha?
               
Bulan masih lagi setia mengambang. Bintang-bintang masih lagi dengan kerjanya memagari sang rembulan. Suhu masih lagi dingin ditambah pula angin yang sentiasa bertiup. Seorang wanita masih lagi duduk di birai katil selepas menunaikan solat tahajud, hajat dan taubat. Dia membuka laci dan mengeluarkan sekeping surat. Dia membaca. Seketika kemudian air mata dia terus mengalir tanpa dipaksa. Air mata penyesalan. Menyesal terhadap apa yang dilakukan selama ini.

Assalamualaikum, kehapadan Syazwani
Pertama sekali abang nak minta maaf sekiranya surat ini abang titipkan tidak kena pada masanya. Sejujurnya surat ini akan membuatkan atma Syazwani menangis.Abang minta maaf.  Abang harap, surat ini mampu untuk menjadi wakil daripada abang. Wakil menjelaskan beberapa perkara mengenai kita. Kita Syazwani.. Rumahtangga kita.

Sebelum itu, izinkan abang menceritakan sejarah abang. Ya Syazwani. Abang seorang anak polis yang suka berfoya-foya, tidak penuh lagi ilmu di dada. Sejarah abang hitam dengan semua dosa yang telah abang lakukan. Abang dulu kaki botol, judi sampah masyarakat. Itulah kehidupan universiti abang. Kehidupan remaja abang. Sampai satu ketika arwah ayah sudah bosan dengan karenah abang.

“ Iskandar dah besar, hanya kita sahaja yang boleh ubah nasib kita. Bukan orang lain.”

Itulah pesan arwah ayah. Pesan yang terakhir. Pesan arwah ayah yang telah mengubah segala-galanya. Arwah ayah minta abang untuk belajar solat dengan membaca Al-Quran dengan seorang rakannya. Ikutkan hati memang malu kerana terpaksa belajar membaca Al-Quran dan solat pada usia 24 tahun. Pada mulanya, abang hanya pergi dengan tiada langsung keikhlasan di dada. Hanya pergi untuk belajar dan lupa selepasnya. Namun, segalanya berubah tatkala arwah ayah pergi buat selama-lamanya. Abang mula sedar, kata-kata ayah.

Saat itu, abang tekad untuk berubah. Berubah dengan erti kata yang berubah. Abang tidak mahu ayah abang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Abang tidak lagi mahu ayah abang dan keluarga abang malu dengan kelakuan abang. Cukuplah jiran-jiran yang memandang jijik terhadap abang. Namun, kerana kesedaran dan tekad abang cuba untuk berubah walaupun apapun tanggapan masyarakat.Segalanya berubah di suatu petang ketika mak pulang ke rumah dengan wajah yang ceria. Katanya dia sudah ada calon menantu yang sesuai untuk abang. Itulah Syazwani. Abang tahu dan masih segar dalam memori abang, tatkala abang diberitahu oleh mak yang mahukan abang berkahwin dengan Syazwani. Abang terus terima. Abang gembira sayang.

Melalui mak, abang tahu Syazwani dulu bersekolah di SMKA Naim Lilbanat Kelantan. Sekolah agama terkemuka di Kelantan. Membesar dalam atmosfera agama yang subur. Itulah sebab mengapa abang terima Syazwani. Ketika itu Syazwani baru sahaja pulang dari Kanada setelah selesai pengajian di sana dalam bidang Petroleum Geoscience. Akhirnya Allah pertemukan kita. Saat itu abang  gembira. Abang berharap sangat Syazwani boleh tolong abang atau setidak-tidaknya memberikan semangat untuk abang mencari apa yang abang nak selama ini.

Tetapi, abang tidak merasai semua itu. Dua bulan kita bersama, hati abang rasa kosong. Abang tidak diberikan hak sebagai seorang suami. Abang ingat, abang boleh belajar daripada Syazwani. Setiap hari selepas kerja abang akan terus ke Surau Taqwa untuk memperkukuh bacaan Al-Quran daripada seorang ustaz di sana.

Apabila sampai ke rumah Syazwani terus serang abang. Syazwani kata abang ke disko dan berfoya-foya dengan perempuan lain. Syazwani tahu hati abang sedih. Setiap malam abang menangis. Abang tidak dapat kepercayaan dan semangat daripada isteri abang sendiri. Abang tidak tahu lagi bagaimana mahu terangkan hal sebenar kepada Syazwani. Abang sentiasa mendoakan yang terbaik dan berusaha untuk menjadi yang terbaik untuk Syazwani. Namun, apa yang abang buat semua salah di mata Syazwani.

Tanpa pengetahuan Syazwani abang pergi ke rumah mak Syazwani. Hanya ingin meminta nasihat. Mungkin ketika itulah petunjuk sampai. Abang diberitahu, Syazwani sebenarnya tidak mahu berkahwin dengan abang kerana sudah ada pilihan sendiri. Seorang kenalan Syazwani ketika di Kanada dahulu. Dunia seakan menjadi gelap setelah abang mendapat tahu perkara sebenarnya. Dan ketika itu hanya satu sahaja jalan yang abang nampak. Cerai...

Abang mengusulkan hal tersebut kepada mak kita berdua. Ternyata kedua-dua keluarga sedih dengan keputusan abang. Namun, abang meyakinkan mereka mungkin inilah jalan terbaik yang abang akan lakukan. Abang tidak mahu Syazwani curang dengan memikirkan soal lelaki lain selain abang. Tatkala abang memberitahu perkara ini kepada Syazwani, jawapan Syawani cukup menghiris hati abang. Syazwani hanya senyum sambil membalas dengan kata yang bukan-bukan kepada abang. Syazwani mengatakan keputusan ini abang ambil supaya abang dapat berfoya-foya dengan ramai lagi perempuan. Sedih hati abang mendengar jawapan Syawani.

Abang ucapkan selamat jalan kepada Syazwani. Semoga Syazwani akan bahagia dengan kehidupan Syazwani selepas ini. Tanpa abang di sisi, pasti Syazwani akan bahagia. Syazwani kelulusan agama dan jurutera pasti akan bahagia bersama dengan orang yang berkelulusan agama juga. Bukan dengan abang yang mempunyai sejarah yang hitam.  Abang maafkan semua kesalahan Syazwani dan abang minta maaf sekiranya abang tidak mampu jalankan tanggungjawab abang sebagai suami.
Iskandar..
2006.

Nurul memerhatikan keadaan sekeliling. Keadaan di bilik guru agak lengang ketika waktu rehat. Dia memegang kemas buku matematiknya. Dia berjalan sambil matanya mengerling ke arah sekeliling. Sudah menjadi kebiasaanya untuk berjumpa dengan cikgu Zharif untuk bertanyakan soalan matematik pada waktu rehat. Kebiasaanya cikgu Zharif akan ada sewaktu rehat. Namun hari ini lain daripada kebiasaan.

               
“Hai Nurul, cari Cikgu Zharif?” Sapa seorang guru perempuan. Nurul memandang dan mengangguk dengan senyuman.
               
“ Tadi cikgu nampak Cikgu Zharif di kantin. Nurul boleh tunggu di tempat dia. Mungkin kejap lagi dia balik. Tadi pun dia baru habis makan.” Ujar guru berusia 40an tersebut. Nurul segera ke meja Cikgu Zharif. Tanpa membuang masa dia segera membuka buku dan mencari nombor soalan tersebut.
              
  “ Assalamualaikum Nurul.” Cikgu Zharif memberi salam perlahan.
             
   “ Waalaikumsalam. Ha, cikgu soalan nombor ini. Saya tak tahu nak buat.” Nurul segera menghulurkan buku tersebut. Zharif memandang sambil tersenyum. Dia mengambil tempat dan mula membaca soalan tersebut. Setelah memberikan penjelasan, Nurul memohon kebenaran untuk pulang ke kelas.
             
   “ Kalau Nurul nak lebih mahir, selalu buat latihan. Kalau tak faham terus tanya ayah Nurul.” Nasihat Cikgu Zharif.
              
  “ Ayah Nurul dah tiada. Mama dengan ayah dah bercerai waktu Nurul kecil.” Balas Nurul. Cikgu Zharif tersentap. Dia tidak menyangka akan hal tersebut. Hatinya menjadi sayu mendengar penjelasan muridnya. Bagaimana Nurul ingin membesar tanpa kasih sayang seorang ayah?
              
  ‘Ya Allah bantulah dia.’
            
    “ Cikgu kahwin dengan mama Nurul boleh? Mama Nurul cantik sangat.” Cikgu Zharif tersenyum kembali melihat telatah Nurul.”
             
   “ Cikgu sebenarnya..”
                “Cikgu!” Suara Kamal yang juga merupakan ketua kelas 2 Kreatif datang ke arah mereka.
                “ Kamal, nasib baik awak datang. Saya nak minta tolong awak sikit.” Cikgu Zharif membelek dan mecari sesuatu. Dia menyerahkan sesuatu kepada Kamal. Nurul hanya memerhatikan mereka berdua.
            
    “Cikgu panggil saya nak bagi kertas matematik? Semua dapat A?” Teka Kamal.
           
     “ Bukan. Saya nak awak bagi ini kepada kawan-kawan dan suruh mereka beri kepada ibu bapa masing-masing.” Kamal hanya mengangguk dengan penuh taat.
            
    “ Cikgu sebelum lupa. Saya nak markah matematik.” Syazwani membuat muka comel.  Zharif hanya membalas dengan mengatakan dia belum lagi habis menanda kertas tersebut. Setelah waktu rehat hampir tamat, mereka berdua segera bergegas ke kelas.

* * * * * * * * *
              
  “ Abang, bawakan saya ke klinik malam ini boleh?” Tanya Syazwani sambil memegang tangan suaminya. Harraz yang sedang bersiap di dalam bilik memandang isterinya dengan wajah yang kasar. Dia terus menolak isterinya sehingga terjatuh ke atas lantai. Matanya mula bergenang apabila ditolak sedemikian.
             
   “Abang nak ke mana abang? Abang nak jumpa perempuan hari itu lagi? Kenapa abang dah berubah? Kenapa abang tak boleh terima Syazwani?” Darah Harraz sudah naik ke muka. Mukanya merah menahan marah mendengar apa yang diucapkan isterinya. Bagaimana isterinya dapat mengagak? Sudah, dia malas mahu memikirkannya! Syazwani memeluk kaki suaminya memohon simpati. Air mata yang cuba ditahan kini mengalir laju. Itulah Harraz. Jejaka yang dikenalinya sejak di Kanada dahulu.

“ Kau tepilah, jangan halang laluan aku. Kalau aku nak pergi mana sekalipun, kau jangan menyibuk.” . Dengan tiada perasaan dia terus menendang kepala isterinya.

Aku? Kau? Mana panggilan yang mereka gunakan dahulu ketika di Kanada dan sewaktu awal perkahwinan mereka dahulu. Dia memandang wajah suaminya. Harraz bergerak ke arah Syazwani. Dia memegang kedua-dua bahu Syazwani dengan kasar. Syazwani mengerang kesakitan diperlakukan sebegitu rupa. Tiada lagi pandangan kasih sayang daripada suaminya. Yang ada cuma kebencian dan dendam.

“Kau tahu kenapa susah aku nak terima kau?” Harraz bertanya dengan nada yang kasar. Syazwani hanya menggeleng. Dia segera menutup matanya. Entah mengapa seakan ada panahan tatkala dia memandang wajah suaminya.

“ Sebab dia.” Jari telunjuk Harraz ditujukan kepada seorang bayi kecil yang sedang tidur di atas katil. Syazwani menggeleng. Apa salah Nurul? Adakah kerana dia seorang yang mempunyai masalah kesihatan? Doktor mengesahkan Nurul mempunyai masalah jantung berlubang.

“ Sebab Nurul..”

“ Ya sebab dia ada penyakit. Kau tahu tak dia itu baka kau? Kau tengok sejarah keluarga kau. Ada yang memang berpenyakit sejak lahir. Keturunan aku tiada langsung. Jadi aku tak boleh terima budak itu. Kau tahu tak aku malu dengan keluarga aku.” Bentak Harraz.

“ Abang, Nurul tak bersalah. Ada hikmah mengapa semua ini terjadi. Abang, taubat abang.” Kesabaran Harraz sudah tidak dapat ditahan. Kali pertama dia mendapat tazkirah percuma daripada isterinya. Dia menarik rambut Syawani dan terus menapar pipinya. Syazwani jatuh tersembam ke atas lantai. Mukanya sudah ada tanda lebam.

“ Mak bapak kau tak pernah ajar selama ini? Baik, kalau dia tak pernah ajar mari sini biar tali pinggang aku yang ajar.” Dia terus memukul Syazwani dengan tali pinggangnya. Setelah puas dia segera meninggalkan Syazwani. Ketika itu juga dia melafazkan talak. Hancur luluh hatinya.

* * * * * * * * *
        
        “ Mama!” Jeritan Nurul segera menyedarkan Syazwani daripada memori lamanya. Wajahnya yang sugul kembali ceria setelah melihat anaknya pulang dari sekolah. Biarlah dia cuba untuk melupakan semua kenangan silam. Betul kata orang. Kita akan menghargai seseorang itu apabila kita kehilangannya.

Perkahwinan dia dan Iskandar hanya bertahan dua bulan. Dia masih lagi merasakan dirinya berdosa dengan Iskandar. Kalau daripada dulu dia mengetahui kesungguhan lelaki itu untuk berubah, dia pasti akan membantu. Tahu? Dia sudah tahu. Namun, dia masih lagi tiada kepercayaan terhadap lelaki itu. Hanya kerana Iskandar mempunyai sejarah yang hitam dalam hidupnya. Dalam masa yang sama pula dia sudah menyimpan perasaan dengan Harraz. Kenalannya ketika di Kanada dahulu.

Perkahwinan dia dengan Harraz segala-galanya bermula indah. Namun hanya bertahan untuk dua tahun sahaja. Segala-galanya berubah ketika dia dapat mengetahui bahawa puteri mereka disahkan mempunyai masalah jantung sejak lahir. Kini, kedua-dua mereka telah pergi. Harraz kemalangan sewaktu hari yang sama dia menceraikannya dan Iskandar kemalangan ketika dia dirempuh treler di hadapan mahkamah, selepas proses penceraian mereka selesai.

Tersembur minuman Fikri sewaktu dia membaca akhbar hari ini. Zharif yang duduk di meja nya terkejut dengan kelakuan kawannya.

“ Kau ini kenapa Fikri? Panas ke air yang aku buat?” Tanya Zharif kehairanan. Suasana bilik guru lengang. Zharif masih lagi dengan tugasannya. Selepas menghabiskan penandaan kertas matematik, dia segera menguruskan fail anak muridnya sebagai persediaan untuk hari terbuka sekolah nanti.

“ Okey air yang kau buat. Cuma aku terkejut dengan berita ini. Cuba kau baca.” Zharif memandang sekilas dan tersenyum. Fikri memandang pelik. Berita panas itu hanya dibalas dengan senyuman?

“ Tak apa. Minta Chelsea cuba lagi tahun depan. Apapun aku bangga dengan Liverpool aku. You’ll never walk alone. Akhirnya Liverpool menang juga liga setelah lebih 20 tahun menunggu.” Fikri yang mendengar terus menghantukkan kepalanya perlahan ke atas mejanya.

“ Bukan berita itu. Berita yang ini. Seorang pelajar lulusan sekolah agama antara yang ditangkap dalam serbuan di Lorong Haji Taib semalam.” Ujar Fikri kepada Zharif. Zharif mengambil akhbar ersebut dan membacanya.

“ Dunia sekarang ini Fikri, kalau tiada penghayatan agama takkan ke mana juga jadinya.”

“ Aku pun hairan dengan budak-budak sekarang ini. Duduk sekolah agamapun boleh bermasalah begini. Aku bukan nak salahkan sekolah. Sekolah dah buat yang terbaik tapi tak tahu kenapa tetap boleh jadi begini.” Fikri meluahkan kehairanannya. Zharif kembali mengambil tempat duduknya.

“ Macam yang aku cakapkan tadi. Penghayatan agama dalam diri adalah penting. Tak semestinya seseorang itu belajar di sekolah agama, pasti dia akan berkelakuan baik. Terserah kepada diri, ada juga pelajar harian biasa tapi dia mempunyai penghayatan, kesedaran dan kefahaman terhadap Islam itu sendiri. Seperti iman kita. Iman tak boleh nak diwarisi.” Zharif mengeluarkan pendapatnya.

“ Sebab itu juga kita tengok ada anak imam masjid itu sendiri yang selalu buat masalah. Seperti apa yang aku belajar dahulu. Iman kita ini ada turun dan naiknya. Sebab itu kita mesti perbahrui iman kita ini dengan syahadah.” Fikri pula membalas. Zharif mengangguk tanda setuju. Dia membuka kaca matanya dan meletakkannya di atas buku-buku.

“ Jadi tak hairanlah sekarang ini keluar di dada akhbar ada yang sudah ada gelaran ustaz dan imam tapi kadang-kadang mereka juga yang buat banyak masalah. Sepatutnya golongan seperti mereka ini patut menjadi contoh. Sebab mereka ini golongan yang mulia dalam masyarakat. Wajar untuk menjadi contoh. Tetapi bila hati mereka dah dimasuki oleh syaitan dan dalam masa itu juga pegangan Islam mereka tidak kuat akhirnya masalah akan tetap berlaku.” Ujar Zharif panjang lebar.

“ Itulah, Allah dah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud jika kita ini lari daripada ajaran Allah iaitu Al-Quran, Allah akan jadikan syaitan ini sebagai sahabat baik mereka.”  Zharif mengangguk. Selepas habis membereskan tugasnya, Zharif mohon kebenaran untuk pulang. Hari ini dia akan mengambil ibunya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Ibunya mahu melawat Zharif dan bersiar-siar di Malaysia sempena cuti musim panas di Eropah.

Dia menggeliat setelah menjejakkan kaki di Malaysia. Sudah berapa lama dia tidak pulang ke Malaysia. Malaysia baginya masih lagi seperti dulu. Dia berjalan-jalan menolak bagasi mencari kelibat seseorang. Lantas dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan mencari sebaris nama. Zharif.

Belum sempat dia menekan butang hijau pandangannya menjadi gelap. Dia tersenyum. Daripada tapak tangan itu dia mampu untuk meneka.

“ Sudahlah Zharif, dah banyak kali mama kena begini. Tapak tangan Zharif mama dah tahu dah.” Puan Ashrifah meneka sambil memegang tangan anaknya. Zharif masih lagi di belakang ibunya hanya tersenyum. Itu sudah menjadi rutin harian mereka ketika di Merseyside, United Kingdom. Setiap kali Zharif pulang dari kerja dia segera menutup mata ibunya.

“ Mana mama boleh tahu? Mana tahu orang lain.” Tanya Zharif. Dia mengambil bagasi ibunya dan mula berjalan ke arah kereta.

“ Zharif, awak itu anak mama. Dah umur 33 dah. Sejak dari sana selalu buat benda itu.” Zharif hanya tersenyum.

“ Kita balik dulu ya mama. Zharif ada beli apartmen di Subang. Kerja di Petaling Jaya. Jadi cikgu.” Puan Ashrifah mengangguk. Dia tidak kisah asalkan pekerjaan tersebut mampu menyumbang kepada masyarakat. Jika dahulu, Zharif bekerja sebagai pegawai bank di Merseyside.

Dari jauh ada mata yang memandang mereka. Berbaju hitam dan berkaca mata. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan mencari satu nama.

Klik! Butang hijau ditekan.

“ Bos. Bos mesti nak dengar maklumat ini. Terbukti.” Klik! Talian dimatikan.

Suasana Sekolah Kebangsaan Bandar Sunway Petaling Jaya masih heboh dengan kana-kanak yang berlari-lari. Ibu bapa juga hadir sempena hari terbuka sekolah. Hari bersama pelanggan juga dilakukan serentak dengan hari terbuka. Kebiasaanya ibu bapa akan mengambil keputusan pertengahan tahun pada waktu tersebut.

Jam hampir menunjukkan waktu makan tengah hari. Cikgu Zharif kelihatan penat mengadakan sesi perbincangan dengan ibu bapa yang hadir. Namun secara keseluruhannya dia berbangga dengan anak-anak muridnya. Hampir kesemua mereka memperoleh ‘A’ dalam subjek yang diajarnya. Cuma ada beberapa orang yang perlu diberi perhatian yang lebih. Dia menyemak kehadiran ibu bapa untuk kelas 2 Kreatif. Masih lagi ada 2 orang yang ibu bapanya belum hadir. Dia terpaku pada satu nama. Nurul.

“ Ayah Nurul dah tiada. Mama dengan ayah dah bercerai waktu Nurul kecil.  Cikgu kahwin dengan mama Nurul boleh? Mama Nurul cantik sangat.” Terngiang-ngiang lagi kata-kata Nurul di bilik guru tempoh hari.

“ Cikgu, pinjam telefon boleh? Mama lambat sangat.” Kata-kata Nurul mematikan lamunan Zharif. Dia segera mengeluarkan telefonnya dan menyerahkan kepada Nurul. Nurul mendail nombor ibunya. Selepas menghubungi ibunya dia menyerahkan kembali telefon tersebut kepada Zharif dan duduk di kerusi berhadapan dengan cikgu Zharif.

“ Mama kata jalan sesak nak pergi sini. Tapi dia kata dah nak sampai pun.” Ujar Nurul.

“ Mama Nurul kerja apa? Jauh ke dia ke sini?” Tanya Zharif.

“ Oh. Mama kerja di KLCC. Dia kerja dengan Petronas.” Jawab Nurul. Kemudian, ada ibu bapa yang hadir. Nurul segera meninggalkan mereka dan duduk di bahagian belakang kelas. Sesi itu berlangsung lebih kurang lima minit. Cikgu Zharif mengambil kain dan mengelap kaca matanya. Nurul berada di koridor kelas. Dia berlari ke arah ibunya setelah ibunya sampai ke kelasnya.

“ Cikgu mak saya dah sampai.” Ujar Nurul pendek. Syazwani memasuki kelas dan dia terpaku melihat Zharif. Hatinya menjadi sebak tiba-tiba. Dia berjalan perlahan ke arah Zharif. Zharif tersenyum melihat Nurul dan ibunya.

“ Silakan duduk puan.” Zharif menjemput mereka. Zharif mengambil keputusan dan fail milik Nurul untuk dibentangkan kepada Syazwani. Dia memulakan sesi itu dengan membentangkan keputusan keseluruhan Nurul.

 Nurul melihat dan berasa sungguh puas dan dia tersenyum melihat keputusannya. Zharif masih lagi membentang tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Namun tidak bagi Syazwani. Sepanjang perjumpaan itu. Dia tidak mampu untuk fokus. Dia hanya melihat wajah Zharif. Dia dapat rasakan air matanya mula mengalir tanpa paksaan. Wajah seorang lelaki muncul dalam memorinya. Iskandar.

‘Adakah dia Iskandar? Kenapa dia tak kenal aku? Mungkin juga pelanduk dua serupa.’

Tangannya mula menggeletar dan air matanya diseka dan cuba untuk ditahan. Dia tidak mahu Nurul melihatnya dalam keadaan sedih. Dia tidak lagi bersedia untuk itu.

“ Puan. Terharu tengok keputusan anak puan? Untuk pengetahuan puan juga, Nurul satu-satunya pelajar yang mendapat semua ‘A’. Satu permulaan yang baik untuk UPSR. Memandangkan dia baru sahaja darjah dua.” Ujar Zharif setelah dia menyedari Syazwani mula mengeluarkan air mata. Syazwani mengangguk. Setelah selesai mereka bergerak pulang. Syazwani sempat menoleh ke arah Zharif. Ditenung wajah itu lama-lama. Dia meneruskan perjalanan.

* * * * * * * * *
               
Syazwani hanya duduk di sofa dan menonton televisyen. Hari esok merupakan hari yang dinantikan untuknya. Hari dia akan bebas daripada kehidupannya sebagai seorang isteri. Sekali-sekala kedengaran bunyi seseorang sedang berkemas di atas.

Iskandar sedang sibuk mengemas barang-barang peribadinya. Pedih hatinya terpaksa berpisah. Namun apakan daya. Dia dan Syazwani sudah tidak sehaluan. Dia tidak mahu Syazwani terus memikirkan soal lelaki lain. Dia juga tidak mahu menyeksa Syazwani. Sejak mereka berkahwin ada sahaja perkara yang akan dibangkitkan oleh Syazwani.

Dia bertekad untuk memulakan hidup baru. Baru semalam ibunya mendaftarkannya untuk sambung belajar di peringkat master dalam pengajian akauntan di Merseyside. Hal ini bermakna esok selepas sahaja proses penceraian, dia akan terbang ke United Kingdom.

“ Iskandar, ingat apa yang ustaz nasihat selama ini. Pergi mana-mana ingat Allah. Di Malaysia ini tuhan kita Allah. Di sana nanti Allah juga tuhan kita. Di mana-mana sekalipun. Jangan tinggal solat. Rajinkan baca Al-Quran. Sesekali hayati apa yang kamu baca. Sesekali kamu dah berada di atas sejadah, jangan kamu tinggalkannya.” Nasihat ustaz Zubir sebentar tadi masih lagi disematkan dalam hatinya. Berat dia ingin melepaskan Iskandar pergi. Dia menghadiahkan senaskhah Al-Quran dan sehelai sejadah kepada Iskandar.

“ Mesti selepas ini Syazwani gembirakan?” Syazwani melihat suaminya yang baru sahaja berkemas. Syazwani mengangguk.

“ Kenapalah abang pergi tanya. Mestilah Syazwani gembira. Tak perlu bersama abang. Lebih-lebih lagi dengan orang seperti abang ini. Mana layak dengan Syazwani. Syazwani orangnya baik. Sekolah agama dan berlatar belakangkan keluarga yang warak. Abang cuma..” Dia mematikan kata-katanya. Syazwani dapat mengesan kesayuan pada suara Iskandar.

“ Abang tak tahu Syazwani. Setiap hari abang berusaha untuk jadi yang terbaik. Tapi ada saja perkara yang menyebabkan kita tak sehaluan. Apa yang abang buat semua salah di mata Syawani. Nanti esok, Syazwani ambil saja rumah dan kereta. Abang akan pergi jauh daripada Syazwani. Semoga Syazwani bahagia selepas ini. Satu lagi abang nak bagi tahu. Abang tak pernah tipu Syazwani.” Sambung Iskandar lagi. Dia meletakkan sehelai surat di atas meja. Dia berharap semoga surat itu akan menjadi wakilnya untuk memberitahu perkara yang sebenar.

* * * * * * * * *
       
         “ Mama, kenapa ini? Nurul tanya dari tadi tak jawab.” Syazwani tersedar dari memori yang lama. Dia berasa sunyi walaupun dia berada di tengah-tengah keriuhan mereka yang berada di kedai makan tersebut. Dia menoleh ke arah anaknya.
      
          “ Sayang tanya apa tadi?” Entah mengapa pertemuan dengan cikgu Zharif sebentar tadi mengembalikan memori lamanya bersama Iskandar. Mereka bukan hampir serupa. Tetapi mereka memang serupa. Yang membezakan mereka adalah Cikgu Zharif berkaca mata dan Iskandar pula tidak.
        
        “ Nurul tanya hari sabtu ini mama kerja tak?” Dia benar-benar terlupa. Dia membuka telefonnya. Dia mengangguk.
       
         “ Nanti hari Sabtu ini mama hantar awak ke rumah mak cik Umairah. Jangan nakal-nakal duduk sana pula.” Nurul hanya mengangguk.
      
          “ Nurul, siapa nama cikgu tadi?” Kini giliran Syazwani pula bertanya. Syazwani memandang ibunya sambil menggigit sudu.
      
          “ Cikgu Zharif.” Balas Nurul ringkas. Syazwani hanya mengangguk. Bagaimana dia mahu memastikan perkara tersebut. Semua kenangan dan gambar Iskandar telah dibuang dan dibakar.
      
          Pinggangnya mula terasa sakit. Keadaan di pejabat hanya tinggal beberapa orang sahaja. Hari ini cukup penat bagi Syazwani. Dia terpaksa menguruskan beberapa hal yang berkaitan dengan sumber manusia. Dia mengerling ke arah telefonnya yang kini menunjukkan angka enam petang. Baru pagi tadi dia mendapat arahan daripada Petronas Carigali untuk ke offshore selama dua minggu. Dia mengeluh perlahan.
   
             Dia tersedar yang ada beberapa panggilan telefon masuk sejak lima petang tadi. Dia terlupa yang sejak tadi dia meletakkan telefonnya dalam keadaan silent mode ketika mesyuarat tadi. Dia cuba untuk mendail nombor tersebut.
        
        “ Assalamualaikum Syazwani. Ini Umairah. Nurul tadi mengadu sakit dada. Adik hantar dia ke klinik. Kemudian klinik terus tolak dia ke hospital. Doktor kata dia kena serangan jantung.” Tersentap Syazwani mendengar.
      
          “ Akak cepat sikit datang. Doktor kata dia kritikal. Kami di Hospital Kuala Lumpur ini.” Syazwani terus berlari ke arah kereta yang diletakkan di bawah Suria KLCC. Dia membuka pintu dan cuba mengidupkan enjin. Akibat tergesa-gesa kunci keretanya patah ketika dia cuba menghidupkan enjin. Dia menjadi panik.
       
         “ Ya mama. Ya Zharif nak balik dah ini. Zharif beli barang sekejap. Mama kemas barang dulu malam ini. Esok penerbangan kita ke Langkawi. Okey mama. Assalamualaikum.” Dia mematikan talian. Dia berjalan ke arah keretanya sambil menjijit barang-barang yang baru dibeli sebentar tadi. Dia memasuki ke dalam kereta dan mula memandu.
     
           Dari jauh dia dapat melihat seorang wanita sedang berdiri di tepi kereta sambil menangis. Seperti sedang cuba untuk meminta pertolongan. Dia mengamati wajah wanita tersebut. Sah! Ibu Nurul. Dia menghampiri dan memberhentikan keretanya.
    
            “ Puan ibu Nurul? Ada yang boleh saya bantu?” Tanya Zharif memulakan bicaranya.
     
           “ Cikgu, boleh bantu saya cikgu? Nurul masuk hospital dan kunci kereta saya patah. Tolong saya Iskandar. Dia kritikal sekarang ini.” Dia menangis dan terus menutup mulutnya kerana tersasul menyebut nama Iskandar. Zharif juga terkejut dan menjemput Syazwani untuk masuk ke dalam keretanya. Berdasarkan rekod kesihatan Syazwani sihat walafiat. Dia terus memecut keretanya.
    
            “ Sabar puan. In Shaa Allah kita akan sampai sebentar lagi. Mungkin ini ujian daripada Allah puan. Bertenang ya puan.”
    
            Zharif mengambil kotak tisu dan memberikannya kepada Syazwani yang masih lagi teresak-esak. Fikirannya masih lagi kusut memikirkan soal Nurul. Satu-satu anaknya bersama Harraz. Nurul tidak pernah mengalami masalah serangan jantung walaupun dia disahkan jantung berlubang sejak kecil. Zharif cuba menenangkan keadaan. Dia juga berasa sedih dengan keadaan yang menimpa anak muridnya. Dia membuka kaca matanya dan Syazwani tetap memandangnya. Dia terpana dan terkesima melihat wajah Zharif yang persis Iskandar ketika membuka kaca mata. Dia menenung lama wajah insan di sebelahnya. Dia juga keliru sama ada Zharif ataupun Iskandar.
   
             Tayar kereta berdecit menandakan Zharif sedang memberhentikan kereta secara mengejut. Dua buah kereta menahannya. Zharif keluar dan bergerak ke arah kumpulan lelaki terbabit. Belum sempat dia berkata apa-apa mukanya ditumbuk. Syazwani terus panik melihat aksi di hadapannya.
   
             “ Bos, ada seorang lagi di dalam kereta.” Jerit salah seorang daripada mereka.
   
             “ Tangkap juga. Rampas semua telefon bimbit dan dompet. Kau, pandu kereta dia.” Arahan ketua tadi segera dilaksanakan.

* * * * * * * * *

Iskandar memerhati keadaan sekeliling. Baru sebentar tadi dia menerima panggilan daripada Jamal untuk berjumpa dengannya. Dia mengerling ke arah jam. Sudah 15 minit dia menunggu namun kelibat Jamal masih lagi tidak nampak. Dia bersandar pada keretanya.

“Iskandar!” Satu suara datang dari arah belakang. Dia menghampiri Jamal. Iskandar menghulurkan tangan untuk berjabat namun ditepis kasar oleh Jamal. Jamal mendengus geram.

“ Kau tahu kenapa aku nak jumpa kau di sini?” Iskandar mengangkat bahu sambil menggeleng kepala.

“ Sebab aku nak balas dendam atas kematian ayah aku.” Iskandar terkejut dengan penjelasan Jamal. Hal ini bermakna dia yang akan menjadi mangsa. Ayah Jamal mati ketika ayahnya melakukan serbuan terhadap premis dadah ayahnya. Berlaku tembak-menembak antara pihak polis dan penjenayah. Akhirnya kedua-dua mati di tempat kejadian.

Tanpa membuang masa Jamal segera mengeluarkan pisau dan terus menghunus ke arah Iskandar. Iskandar sempat mengelak dan berlaku pergelutan antara mereka. Jamal menendang perut Iskandar menyebabkan dia tersungkur di atas jalan.

Inilah masanya. Pisau Jamal dikeluarkan dan dia terus cuba menikam Iskandar. Iskandar mengelak sedikit namun pisau tersebut tertikam di bahu kanannya. Iskandar mengerang kesakitan. Tiba-tiba siren polis berbunyi. Tanpa membuang masa Jamal segera melarikan diri. Hatinya masih lagi tidak puas. Dendamnya masih belum terbalas. Dia mahukan Iskandar mati.

* * * * * * * * *
           
     Zharif tersedar daripada pengsan. Kepalanya pening. Dia cuba mengamati mimpinya tadi. Iskandar? Siapa dia Iskandar? Mengapa wajah mereka sama? Dia tidak ingat apa-apa lagi. Dia duduk termenung dalam keadaan gelap. Dia cuba menyusun kembali sejarah hidupnya. Adakah dia mempunyai adik kembar? Dia hanya mengetahui yang dia dan ibunya menetap di Merseyside. Itu sahaja. Dia cuba untuk bergerak namun dia sedar yang tangannya sedang diikat pada sebuah tiang.
              
  “ Nurul, maafkan mama. Iskandar maafkan saya kerana tidak mempercayai awak dulu. Jangan tinggalkan saya lagi. ” Dia terdengar suara Syazwani yang sedang mengigau. Sayu hatinya. Tangan Syazwani juga turut terikat. Nama Iskandar juga turut dia dengar. Siapa Iskandar sebenarnya? Apa kaitan dia dengan Iskandar? Mengapa mama tak pernah beritahu dia akan hal ini? Nurul? Ya bagaimana keadaan Nurul sekarang. Tadi dia dalam perjalanan menghantar Syazwani ke hospital.
       
         Pintu bilik tersebut dibuka mengejutkan mereka berdua. Syazwani yang baru tersedar terpinga-pinga. Muncul beberapa orang masuk ke bilik tersebut. Salah seorang menepuk tangan. Zharif mengamati wajah salah seorang daripada mereka. Dia dapat mengecam seseorang yang serupa dalam mimpinya. Jamal.
          
      “ Selamat kembali Iskandar.” Zharif cuba untuk melawan namun terus dihalang oleh pembantu Jamal.
              
  “ Siapa Iskandar? Aku Zharif! Jadi kau nak balas dendam sekarang? Maaf kau salah orang.” Jamal hanya tersenyum. Dia menepuk tangan. Salah seorang pembantunya mengambil sebilah pisau. Dia cuba melawan dan meronta-ronta ketika dipegang oleh beberapa orang. Salah seorang daripada mereka terus mengoyakkan kemeja Zharif. Jelas parut lama itu masih ada di bahu kanannya!
            
    “ Kau tak ingat parut itu. Aku yang tikam. Cuma masa itu kau bernasib baik.” Ujar Jamal. Dia menyalakan rokoknya. Syazwani melihat parut itu. Sah! Dia Iskandar.
            
    “ Bos Syazwani ini macam mana?” Tanya salah seorang daripada mereka.
         
       “ Oh ya. Sebelum aku terlupa. Mungkin ada berita buruk untuk kau.” Dia segera mengambil telefon bimbit Syazwani dan menunjukkannya kepada Syazwani.

1852       : Kakak ada dekat mana? Jauh lagi ke?
1900       : Kakak, Nurul semakin kritikal. Dari tadi asyik sebut sahaja nama kakak. Kakak cepat sikit. Doktor kata harapan tipis.
1915       : Kak, maafkan kami kak. Doktor kata dia tak mampu buat apa-apa. Nurul dah disahkan meninggal dunia.

               Syazwani terus menangis. Hatinya hancur. Satu-satu anaknya telah pergi selama-lamanya. Zharif yang mendengar turut sedih mendengar berita anak muridnya. Lebih-lebih lagi tanpa ibunya di sisi.
              
  “ Kau jangan bimbang Zharif. Seorang ibu akan lakukan apa-apa sahaja untuk selamatkan anaknya. Aku baru telefon mak kau. Kalau dalam masa dua jam mak kau tak hantar sejumlah wang yang aku minta, kau akan terus hidup itupun kalau kulit kau kalis peluru. Dan lagi satu. Akhirnya mak kau mengakui kau adalah Iskandar. Mak kau kena mengaku untuk selamatkan kau. Kalau dia tak mengaku dah lama aku tembak kau. Ya sudah semestinya. Kalau tidak buat apa aku simpan orang yang salah.”
           
     “ Hei Syazwani, ini bekas suami kau untuk dua bulan dahulu. Nasib kau juga bergantung pada ibunya.” Jamal dan yang lain terus keluar dari bilik itu. Kebenaran telah tersingkap. Kini tiada lagi Zharif. Hanya Iskandar. Iskandar terbaring sayu. Sukar untuk dia menerima berita tersebut. Mengapa mama tidak pernah cerita? Syazwani adalah isterinya dahulu? Dia kembali merenung Syazwani. Entah mengapa ada perasaan lain datang hinggap ke dalam hatinya melihat wajah Syazwani.

* * * * * * * * *
            
    “ Lambat balik hari ini. Pergi mengaji lagi? Atau dengar tazkirah dengan perempuan lain?” Syazwani segera menyerang Iskandar yang baru sahaja masuk ke dalam rumah.
            
    “ Abang baru ke klinik tadi. Abang kena tikam tadi di bahu ini. Nasib baik tak kena jantung.” Ujar Iskandar sambil memegang balutan di bahunya. Dia segera duduk di atas sofa.
             
   “ Dah agak dah. Betulkan apa yang aku cakap selama ini? Kalau betul kau pergi masjid takkan jadi begini. Ini mesti pergi tempat-tempat tak elok. Takkan orang masjid itu nak serang kau pula.” Hancur hatinya mendegar apa yang diucapkan Syazwani. Namun air mata cuba ditahan.
         
       “ Kau tahu, perkara paling malang dalam hidup aku bila kena kahwin dengan kau. Alasannya kau nak berubah dan macam-macam lagi. Kalau bukan sebab mak dan ayah, aku tak ingin kahwin dengan kau.” Syazwani terus menyerang dengan kata-kata yang tajam. Dia segera melangkah dan masuk ke biliknya meninggalkan Iskandar seorang.
          
     Proses perceraian baru sahaja usai. Sedih hati Iskandar. Kini, dia bukan lagi suami kepada Syazwani setelah mereka sah berpisah dengan talak satu. Ahli keluarga mereka juga turut bersedih. Antara mereka yang hadir ialah ibu Syazwani dan Puan Ashrifah.
      
          “ Jangan putus hubungan dengan keluarga mak cik ya Iskandar. Selalulah datang jenguk mak cik. Mak cik sedih dengan apa yang telah berlaku.” Ujar Puan Hasliza. Sungguh berat hatinya ingin melepaskan Iskandar. Iskandar berjalan dengan perasaan sayu.
    
            “ Iskandar!!” Jerit Puan Ashrifah. Iskandar menoleh ke belakang. Dia dapat melihat satu cahaya putih datang menghampirinya. Bunyi tayar berdecit dan....

* * * * * * * * *
              
  Iskandar tersedar daripada tidurnya. Dia sudah mendapat segala jawapan.  Syazwani masih lagi di sebelahnya dengan air mata yang masih lagi bergenang. Syazwani tidak tahu apa perasaan dia ketika ini. Dia baru sahaja mendapat tahu Nurul telah pergi menerima dakapan Ilahi. Dalam masa yang sama, dia dipertemukan kembali dengan Iskandar. Perasaan bersalah masih lagi wujud. Semuanya berlaku dengan pantas.
             
   “ Syazwani.” Sapa Iskandar perlahan. Syazwani memerhatikan Iskandar.
             
   “ Takziah.” Sambungnya lagi. Syazwani mengangguk.
             
   “ Anggap ini sebagai satu ujian daripada Allah. Memang setiap yang bernyawa akan merasai mati. Tapi itu juga tak bermakna kita yang masih hidup ini kena berputus asa. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita hanya perlu letakkan kepercayaan kita kepada Allah dan bertawakal setelah kita berusaha.” Syazwani tersenyum. Begitu juga Iskandar.
             
   “ Okey sudah cukup dua jam.” Pintu bilik dibuka. Jamal menghampiri mereka dengan pistol yang sudah ada di tangannya. Dia mengacukan pistol tersebut ke arah Iskandar kerana itu merupakan sasaran utamanya. Dendamnya hampir terbalas.
           
     ‘Ayah, saya sudah balas dendam.’ Monolog Jamal dalam hatinya. Belum sempat picu ditarik. Kedengaran bunyi siren polis di luar.
             
   “ Bos, adik bos, Fatimah dah lari. Mungkin dia yang laporkan kepada polis.” Ujar salah seorang daripada mereka. Jamal berang dengan kelakuan adiknya yang belot. Dia segera keluar. Kedengaran kejadian tembak menembak telah berlaku. Syazwani dan Iskandar mengambil peluang untuk melarikan diri dan terus bergerak ke arah polis.

Setahun Kemudian
               
 “ Aku terima nikahnya Seri Syazwani Binti Rahman dengan mas kahwinnya sebanyak RM 80 tunai.”
                
Syazwani tersenyum gembira apabila terkenangkan memori akad nikahnya. Sudah dua kali dia mendengarnya. Jika sepuluh tahun yang lalu dia mendengar dalam keadaan penuh benci. Tetapi 12 bulan yang lepas dia dengar dengan penuh kesyukuran dan kasih sayang terhadap Iskandar.
                
Dia sudah berjanji kepada dirinya yang dia akan menjadi isteri yang taat dan solehah. Jika dulu dia langsung tidak mempercayai Iskandar, tetapi tidak lagi kini. Dia ingin segera membuang segala kenagan hitam yang lalu.
         
       Selepas kejadian penculikan itu, Iskandar terus diberitahu oleh ibunya. Selepas sahaja dia bercerai, Iskandar telah terbabit dalam satu kemalangan dirempuh treler. Namun nasib baik umurnya masih lagi panjang. Namun Iskandar telah hilang ingatan.

 Ibunya terus membawanya ke luar negara untuk membolehkan Iskandar melupakan segala memori pahitnya. Zaman silamnya serta alam perkahwinannya semua akan dilupakan. Identiti baru diberikan kepada Iskandar dengan memakai nama Zharif. Akhirnya Iskandar dapat menerima berita itu dengan hati yang tenang.

Syazwani melepaskan rambutnya dan dibiarkan sahaja ke paras pinggang. Dia bersolek ringkas dan bersiap dengan perhiasan yang hanya boleh ditatap suaminya. Dia mengeluarkan kek coklat dan meletakkannya di atas meja makan serta sekeping gambar di sebelah kek coklat tersebut. Dia tersenyum puas. Pintu apartmen mereka diketuk. Hatinya berbunga ingin menyambut kepulangan Iskandar.

Iskandar tersenyum melihat wajah isterinya. Tiada lagi bebelan dan yang ada kini hanyalah senyuman sewaktu dia pulang dari kerja. Jika semua pelukis di dunia ini bersatu sekalipun, masih belum mampu mereka melukis wajah secantik itu. Baginya wajah isterinya adalah karya agung ciptaan Allah. Iskandar terus memeluk Syazwani dan mengucup ubun-ubun Syazwani.

“ Abang ada lupa apa-apa ke hari ini sayang?” Tanya Iskandar dalam keadaan berbisik. Syazwani terus mengunci pintu apartmen dan menarik tangan suaminya ke dapur. Iskandar pelik dengan adanya kek di atas meja. Dia melihat jam tangannya.

“ Hari jadi sayang bukan. Hari jadi abang pun bukan. Ulang tahun perkahwinan pun bukan. Sebenarnya apa sayang?” Syazwani menunjukkan gambar di sebelah kek tersebut. Iskandar mengambil gambar tersebut. Itu merupakan gambar ultrasound. Syazwani segera masuk ke bilik meninggalkan suaminya kerana malu. Iskandar tersenyum dan mengejar Syazwani. Syazwani segera mendakap suaminya dan menyorokkan mukanya ke dada Iskandar. Entah mengapa terasa ada satu kedamaian di sana.

“ Syazwani mengandung ya sayang?” Syazwani tersenyum begitu juga Iskandar. Setelah hampir setahun mereka berkahwin akhirnya mereka dikurniakan cahaya mata pertama.

“ Kalau dari dulu kita begini kan seronok. Kalau tak dah ramai dah anak kita.” Iskandar tersenyum nakal. Syazwani mencubit lengan suaminya.

“ Abang, sayang nak minta maaf. Sebab dulu sayang selalu lukakan hati abang. Sayang selalu tuduh abang yang bukan-bukan.” Ucap Syazwani. Dia mengambil tangan suaminya dan mengucup dengan penuh kasih sayang. Iskandar membawa Syazwani untuk duduk di birai katil. Dia menggengam erat tangan isterinya.

‘ Semoga gugurlah dosa daripada tapak tangan kami ini ya Allah.’ Doa Syazwani dalam hati.

“ Sayang, berapa kali abang nak cakap. Abang dah lupakan segala-galanya. Sayang, hati diibaratkan seperti daun yang gugur dari sebatang pokok. Daun tidak akan pernah gugur dalam keadaan statik. Tatkala ia gugur ke bumi, angin yang meniup sering kali menukar permukaan daun ke bawah dan ke atas. Jika permukaan yang di bawah ditiup ia pasti akan menghadap ke atas. Begitu juga sebaliknya.”

“ Samalah dengan hati. Hati kita umpama daun yang sentiasa berubah kedudukkannya bila ditup bayu. Boleh jadi hati kita hari ini menghadap dan taat akan perintah Ilahi, boleh jadi ia akan berubah sebaliknya. Sebab itu sentiasalah perbaharui iman kita dengan syahadah. Sebab iman kita ini ada turun dan naiknya.” Ujar Iskandar panjang lebar.

Iskandar segera mengucup dahi dan ubun-ubun isterinya dengan tenang. Sambil mengharapkan keredaan dan pahala berjuang di jalan Allah. Syazwani membaringkan kepalanya di atas riba Iskandar.

“ Sayang nak tahu sesuatu tak? Abang ada dua benda nak cakap ini.” Tanya Iskandar tiba-tiba. Syazwani mengangguk.

“ Pertama abang cintakan sayang.” Syazwani tersenyum. Dia segera mengucup pipi Iskandar.

“ Sayang cintakan abang juga. Kejap yang kedua apa?”

“ Abang lapar. Jom kita makan.” Ketawa mereka pecah bersama. Iskandar segera mendokong Syazwani ke meja makan. Mereka berpandangan dan tersenyum bahagia.

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Mu ya Allah

TAMAT
               




1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...