Friday, October 10, 2014

Menggapai Kegembiraan dalam Kehidupan


- Bro, nak tanya boleh tak? Hidup aku bercelaru ini. Aku tengok orang lain hidup dia gembira sahaja. 

+.Hidup ini tidak mudah.

- Kalau begitu semua yang kita lalui dalam kehidupan ini semua susah? Macam mana nak berjaya, kalau semua benda susah? Belajar susah, makan susah, kerja susah, semua susah? Fuhhh!!!!

+ Hidup ini tidak mudah dan tidak juga susah.

- Mana satu ini? sekejap susah sekejap senang. Kalau begitu mesti akan ada orang yang boleh tempuh hidup ini dengan mudah dan mesti ada yang akan susah? Huh, cuba jawab?

+ Hidup ini tidak mudah dan tidak juga susah, cuma ia penuh dengan rintangan dan halangan.

- Huh? halangan pulak? Maksudnya apa yang kita buat semua ada halangan? Tak adil!!!! Benda senang boleh jadi susah benda susah lagi jadi susah. Maksudnya hidup kita ini susah. Orang nak rileks sahaja. Tak nak susah-susah ini.

+  Hidup ini tidak mudah dan tidak juga susah, cuma ia penuh dengan rintangan dan halangan. Berfikiran positif, hadapi segala rintangan sebagai satu cabaran dan...

- Wait!!!!!!!!!! Itu rasanya depend pada orang. Kalau orang yang boleh positif oklah kot nak hadapi cabaran. Kalau yang tak boleh macam mana pulak? Kesian dia nanti. Semua cabaran tak boleh dilalui.

+  Hidup ini tidak mudah dan tidak juga susah, cuma ia penuh dengan rintangan dan halangan. Berfikiran positif, hadapi segala rintangan sebagai satu cabaran dan dengan izin Tuhan perjalanan hidup kita akan menjadi indah.

*    *    *    *    *    *    *    *

Dalam kehidupan manusia kita tidak boleh lari daripada pelbagai masalah dan rintangan. Itulah lumrah kehidupan. Namun ia terserah kepada kita untuk melihatnya sebagai satu cabaran atau kesusahan. 

Oleh itu, sentiasalah berfikiran positif kerana pemikiran yang positif akan menjadikan diri kita lebih bersemangat untuk menempuh cabaran dalam kehidupan.

Jom kawan-kawan. Mulakan setiap hari dengan pemikiran yang positif.

"This life has a lot of risk. It requires you to jump."

"Hidup kita satu kisah. Pastikan ia menjadi indah. Benar-benar indah."

" Hidup kita satu perjalanan"

"   :)   "

Rifhan Supian
0058 11/10/2014
UTP, Tronoh

Saturday, August 9, 2014

Kota Raya Ini

Aku ada satu catatan. Catatan yang ditulis oleh hati menggunakan bahasa jiwanya sendiri. Sebelum dilahirkan oleh minda dan pemikiran, alangkah baiknya jika ditapis dulu dalam jiwa.

Norma manusia yang suka akan berjalan. Aku pernah berjalan di suatu tempat yang tidak asing di atas bumi bertuah ini. Ya, aku pernah berjalan di kota yang tidak asing. Namun perjalanan itu bukanlah sekadar berfoya-foya dan bergembira. Daripada berkumpulan, aku suka berjalan seorang. Pasti, seorang, tiada dua atau tiga dan lebih.

Kadangkala rakan taulan selalu bertanya diri ini: "Pergi KL tak ajak.","Kenapa jalan sorang-sorang". Bukan kerana sombong atau meninggi diri. Tetapi di kota tersebut biarlah aku berjalan seorang diri. Kerana aku juga manusia biasa yang inginkan waktu untuk menyendiri. Sekali lagi, bukan kerana sombong, tapi itulah caraku bermuhasabah diri. Atau mungkin juga kerana cintaku pada bumi Kuala Lumpur terlalu tinggi sehinggakan aku sendiri tidak mahu berkongsi. 

Itulah yang aku selalu lakukan apabila aku berjalan bersendirian di kota ini. Muhasabah tentang kelemahan diri dan juga mensyukuri segala nikmat yang Allah beri. Inilah ceritanya. Cerita tempat untuk aku sering melihat kembali diri. Ya, di bumi Kuala Lumpur ini.

Pandang atas, cantiknya. Pandang utara, indahnya. Pandang selatan, bestnya. Pandang barat, megahnya. Pandang timur, lengkapnya. Sungguh cantik, memang cantik kota raya ini. Itulah apa yang aku lihat untuk pertama kalinya.

Aku sering berjalan-jalan di beberapa lorong di sekitar Kuala Lumpur. Ya Allah, sedih pilu, sebak melihat keadaan beberapa manusia yang bergelimpangan di sekitar lorong tersebut. Pakaian lusuh, rambut yang tidak terurus, baju yang koyak menutupi tubuh mereka. Kehidupan mereka bagai kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Tidur di tepi jalan. Yang kaya antara mereka beralaskan kotak dan yang miskin beralaskan lantai. Namun apa yang pasti mereka semua berbumbungkan awan. 

Kadangkala terfikir bagaimana keadaan mereka berpanas. Sudah pasti susah. Bagaimana pula hujan. Juga susah. Tiada tempat berteduh, tiada jaminan hari esok. 

Melihat mereka, aku melihat diri aku. Ya, aku bersyukur kerana rambut ku masih lagi terurus, pakaian yang cantik dan tidak terkoyak. Allah, bukan untuk meninggi diri. Tetapi aku jadikan ia sebagai satu medium untuk aku terus belajar erti bersyukur.

Melihat mereka, sekali lagi aku fikir soal rezeki. Ya, duit aku banyak, boleh dikatakan tergolong dalam golongan yang senang. Apa yang aku pinta semua pasti akan ditunaikan. Tidak seperti mereka semua. Namun disebalik kesenangan itu, terbit persoalan dalam diriku. Apakah yang aku lakukan dengan segala hartaku? Adakah kugunakan ia ke arah jalan yang diredhai oleh Allah? Sekali lagi terhiris, tersentap hati ini. memikirkan persoalan itu. Mengingatkan kembali setiap ringgit, sen dan harta ini adalah milik Allah. Bila-bila sahaja boleh ditarik. Bukan sekadar harta tetapi diri aku juga.

Kuteruskan perjalanan menaiki putra, teksi dan bas. Melihat orang yang masuk bekerja. Melihat betapa gigihnya pekerja awam dan swasta bekerja. Demi mencari sesuap nasi untuk keluarga tercinta. Pergi pagi balik petang dan ada juga malam. Kadangkala ada juga ibu bapa yang tidak sempat melihat anak. Pergi kerja anak sedang tidur. Balik kerja anak sudah tidur. 

Duduk sebentar di mana-mana bangku. Aku berfikir sejenak. Kuatnya mereka melalui detik-detik tersebut. Kadangkala diri ini rasa tidak mampu melalui saat seperti itu. Namun atas kegigihan, mereka laksanakan juga tanggungjawab dan amanah mereka. Cikgu dengan mengajar di sekolah mendidik anak bangsa. Doktor ke hospital dan klinik. Polis bersiap sedia. Ya Allah kuatnya mereka.

Terlalu banyak catatan sebenarnya. Catatan aku di bumi Kuala Lumpur ini cukup mengajar aku erti kehidupan, muhasabah dan sentiasa bersyukur atas segala pemberian Tuhan.

Ya, inilah kehidupan. Tidak ada sesiapa yang dapat meneka apa yang akan terjadi pada hari esok. Segalanya berlaku dengan pantas. Namun, kita cuma mampu berharap akan ada perkara yang baik menanti hari esok.



"Ya Allah, Kau jadikanlah hari ini lebih baik dari semalam. Dan Engkau jadikanlah hari esok dan seterusnya sebagai saat terbaik buat kami semua. Amin.."

Rifhan Supian
0231 10/8/2014
Jurnal#2
Tronoh

Friday, August 8, 2014

Jom, sama-sama cari reda Tuhan

Apabila kita merenung kembali setiap perjalanan yang kita tempuhi dalam hidup, melihat dari kaca mata yang positif, kita akan dapat melihat betapa sempurnanya perjalanan hidup seseorang manusia. Bermula dari saat kelahiran sehingga waktunya untuk kita pulang, setiap perkara dalam diri kita disusun dengan begitu cermat.

Setiap saat yang kita lalui tak semuanya indah namun cukup memberikan makna, melahirkan pengajaran yang boleh kita ambil untuk terus menuju ke depan. Namun, ia bergantung kepada diri kita sama ada ingin melihatnya sebagai peluang untuk maju  atau mengambilnya juga sebagai kesalahan.




Semua manusia melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang dilahirkan sebagai maksum apatah lagi sebagai malaikat yang suci daripada dosa. Semoga segala kesalahan ini dapat kita sama-sama jadikan pengajaran. Bukan untuk dicaci, bukan untuk dikeji apatah lagi dibenci.

Perjalanan hidup sentiasa berwarna-warni. Kita akan berhadapan dengan pelbagai jenis ragam manusia. Setiap hari berjalan akan sentiasa mematangkan pemikiran untuk bertindak dengan rasional. Dalam hidup ini sentiasa fikirkan soal tanggungjawab, barulah kita akan merasa senang apabila memberi. Bukan memikirkan hak yang tidak berkesudahan.

Lumrah hidup, seseorang akan datang dan pergi. Mungkin untuk seketika atau mungkin juga untuk selama-lamanya. Tapi itu bukan alasan untuk kita terus mengalah dan melupakan erti kehidupan. Jadikan ia sebagai satu cabaran dan juga pemangkin semangat untuk meneruskan kehidupan bagi menjalankan tugas sebagai khalifah Tuhan.

Lupakan soal penghargaan, lupakan soal imbuhan, lupakan soal balasan. Mulakan untuk berfikir mencari keredaan Tuhan. Moga-moga kita semua akan diberi ganjaran syurga kelak.

"Tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada Ku." (Adz-Dzaariyaat: 56)

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." (Al-Baqarah: 30)

Allahumma inni as'aluka ridhaka wal jannah. Sesungguhnya kami memohon keredaan dan syurga Mu. Amin....

Jom rakan-rakan, sama-sama cari reda Tuhan.

Rifhan Supian
0232 9/8/2014
Jurnal#1
Tronoh





Friday, July 5, 2013

Andai Kita Jatuh Cinta

Assalamualaikum....hai semua. Lama dah tak berkongsi di laman ini. Hari ini saya nak berkongsi sedikit perasaan sekiranya kita jatuh cinta. Mesti bestkan? Cuma kali ini kita tukar sedikit. Daripada perasaan cinta sesama manusia kita tukar kepada Pencipta kita.

1. Andai kita jatuh cinta, mesti best dapat surat daripada si dia. Kalau boleh siang malam mesti nak baca surat dia. Sampai berguling-guling atas katil sambil peluk surat si dia. Sebelum tidur kita akan baca. Bangun tidur pun kita akan baca. Sambil baca pula mesti terkenangkan dia...sambil senyum lagi.

Tukar:  Andai kita jatuh cinta kepada Allah, mesti best dapat baca Al Quran, kalam daripada Dia.  Kalau boleh siang malam mesti nak baca. Tapi tak sampai berguling-guling atas katil rasanya. Sebelum tidur kita akan baca (surah Al Mulk). Bangun tidur pun kita akan baca (surah Al Waqiah). Sambil baca mesti rasa gembira. Kadang-kadang sampai berlinangan air mata....umat sekarang tak rasa macam tu ke?

2. Andai kita jatuh cinta, mesti kita terkenangkan dia. Senyuman dia, wajah dia. Dan yang kita akan ingat sekali apa yang dia dah buat pada kita. Kadang-kadang kita akan ingat motivasi dia pada kita....kalau kita rasa down dia bagi semangat pada kita. Segala-galanyakita akan ingat pasal dia...wow bestnya!!!

Tukar: Andai kita jatuh cinta kepada Pencipta, mesti kita terkenangkan dia. Kita memang tak tahu rupa Dia. Tapi kita mesti rasa bersyukur apa yang dia dah bagi pada kita. Oksigen, air, kebahagiaan, rezeki, nikmat Islam dan iman and banyak lagi. Kadang-kadang kita akan ingat motivasi Dia. Di saat kita jatuh kerana manusia, kita akan bangkit disebabkan Dia. Segala-galanya kita akan ingat pasal Pencipta kita....umat sekarang tak rasa macam tu ke?

3. Andai kita jatuh cinta, pergh!!!! Wangi tak terkata bila nak jumpa si dia. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Tak cukup ke hujung kaki kalau boleh nak sampai ke mantel bumi mesti nak smart@anggun. Masa nak berjumpa dah terpacak 1 jam lebih awal.Tak boleh lewat walapun satu detik. Nak dating pula pergh!!! Romantiknya dekat taman bunga.

Tukar: Andai kita jatuh cinta kepada Yang Maha Esa, mesti kita pakai wangi dan bersih lagi suci tak terkata bila nak menunaikan solat. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki mesti nak smart@anggun. Masa nak solat fardu tak cukup rasanya nak lima kali. Kalau boleh nak up lagi dengan yang sunat..Tak boleh lewat walapun satu detik. Nak buat pula di taman syurga..  umat sekarang tak rasa macam tu ke?

4. Andai kita jatuh cinta semua benda susah jadi senang. Kalau boleh kita sanggup berkorban apa saja untuk si dia. Masa, tenaga, wang tu tak payah cakap. Confirm. Lautan api sanggup direnangi lagi.

Tukar: Andai kita jatuh cinta kepada Allah, pasti semua benda jadi senang. Solat, puasa zakat dan ibadat semua rasa mudah dan tenang bila dilaksanakan. Allah tak minta pun kita  berenang lautan api. Cukuplah sekadar kita melakukan segala suruhan Dia dan meninggalkan segala larangan-Nya. Bestkan???? Umat sekarang tak rasa macam tu ke?

Fuhhh banyak benda lagi sebenarnya rasa bila kita sedang bercinta.... tapi yang lain minta pembaca untuk sama-sama fikirkan.... Assalamualaikum dan selamat beramal... :)

Cintakan bunga...akan layu....
Cintakan manusia...akan mati....
Cintakan Allah...kekal abadi....
Itulah cinta...cinta yang sejati...








Friday, October 26, 2012

Demonstrsi IOM : Indikator Utama Cinta Kita???

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Baru-baru ini, seluruh dunia Islam digemparkan dengan filem Innocence of Muslim(IOM). Filem ini dikecam hebat di seluruh dunia kerana mempunyai elemen-elemen yang menghina junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Bukan kali ini sahaja kita digemparkan dengan filem yang menghina Rasulullah, namun sebelum-sebelum ini kita pernah dikejutkan dengan penciptaan karikatur yang menghina kesucian Islam secara amnya dan Nabi Muhammad secara khususnya. Tatkala karikatur dan filem terbabit disiarkan, 2 billion umat Islam di serata dunia bersatu, mengutuk tindakan dan filem terbabit, mahukan mereka yang bertanggungjawab dihukum bunuh, mengebom kedutaan Amerika Syarikat, berdemonstrasi. Terdapat pelbagai pengajaran yang kita boleh ambil daripada situasi ini. Antaranya, mengapa kita umat Islam sering kali diserang sebegitu rupa? Apakah dengan hanya demonstrasi itu merupakan tanda utama cinta kita dan penyelesaian utama kepada masalah ini?

  Bagaimana Ia Boleh Berlaku? Pasti ada diantara kita yang tertanya-tanya mengapa kita umat Islam sahaja yang diserang? Jawapan yang cukup mudah. Kerana kita umat Islam pada hari ini hidup berpecah belah. Yang menyedihkan kita bukan sedikit, tapi ramai. Selari dengan apa yang diucapkan oleh Baginda Nabi Muhammad. Daripada Tsauban r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati.” (Riwayat Abu Daud) Sedar atau pun tidak itulah realitinya yang berlaku pada hari ini. Kerana kita tidak lagi berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar, membuatkan musuh-musuh Islam sering kali menyerang kita. Jika tidak dengan tentera dan jet, mereka akan menyerang kita dengan media. Tahukah anda? mereka sebenarnya tahu mereka akan dikecam, tetapi mereka sengaja ingin menggangu sensitiviti umat Islam. Kerana mereka tahu selepas itu umat Islam akan kembali berpecah belah

  Apa tindakan Kita Tidak dinafikan, demonstrsi yang berlaku di seluruh dunia ini juga merupakan tanda cinta kita kepada Rasulullah. Sehinggakan ada ayat yang mengatakan : Dengan darah dan jiwa kami, kami membelamu ya Rasulullah. Ya. itu juga merupakan tanda cinta kita kepada Nabi. Namun tahu ataupun tidak, perkara paling senang dan yang paling utama bagi menunjukkan cinta kita kepada Nabi Muhammad adalah dengan mengamalkan segala sunnahnya. Agak kecewa, jika kita tanya orang yang berdemonstrasi itu, adakah dia mengamalkan suunah nabi? jawabnya tidak. Cukup kecewa. Mengapa sukar untuk kita mengamalkan sunnah Nabi. Sedangkan sunnah Nabi merupakan tanda cinta kita yang utama kepada Baginda. Analoginya cukup mudah. Kalau kita meminati K-Pop, kita akan meniru seluruh gayanya. Dari cara berpakaian sehinggalah gaya rambut. Kalau cintakan Nabi. Buatlah apa yang Nabi suruh. Biarlah orang yang berdemonstrsi itu dengan caranya. Kerana itu juga menunjukkan semangat cinta kepada Baginda. Tetapi apa tindakan kita? Ikutlah sunnahnya. "Aku tinggalkan kamu 2 perkara. Kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya. Iaitu Alquran dan sunnahku." Fikirkan..

Friday, August 17, 2012

Dia Anak yang Soleh

Dengan nama Alla yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Dia anak yang soleh. Tajuk terbaru untuk post kali ini. Moga-moga kisah ini akan kita jadikan sebagai tauladan dalam hidup kita. alkisah... Pada suatu hari Nabi Musa pernah bertanya kepada Allah mengenai siapakah temannya yang akan bersama-samanya di syurga kelak. Lalu Allah menyuruh Nabi Musa untuk pergi ke sebuah pasar. Sesudahnya sampai di pasar tersebut, Nabi Musa berjumpa dengan seorang lelaki yang turut berniaga di pasar tersebut. Pendekkan cerita, Nabi Musa telah meminta daripada lelaki tersebut untuk menjadi tetamu di rumahnya. Apabila sampai di rumah, lelaki tersebut meminta Nabi Musa untuk berehat sebentar sambil dia menyediakan makanan. Di satu sudut rumah Nabi Musa ternampak seorang perempuan tua yang sakit. Selepas itu Nabi Musa melihat lelaki tersebut mengambil makanan dan menyuapkan kepada ibunya dan menolong ibunya untuk duduk, baring dan sebagainya. Nabi Musa agak terkejut apabila setiap pertolongan pemuda tersebut, pasti akan terkumat-kamit mulut ibunya. Selesai memberi makan kepada ibunya, Nabi Musa pun bertanya kepada pemuda tersebut siapa perempuan tua itu. Lalu pemuda tersebut menjawab bahawa perempuan tua itu merupakan ibunya. Setiap hari sebelum dan selepas berniaga dia akan memberi makan kepada ibunya terlebih dahulu. Nabi Musa bertanya perihal mulut ibu pemuda tersebut yang sering terkumat-kamit ketika pemuda tersebut membantu ibunya. Lalu pemuda tersebut menjawab itu merupakan doa ibunya kepada anaknya. Ibunya sering kali berdoa " Ya Allah sesungguhnya anak aku ini merupakan anak yang soleh. Kau jadikanlah dia teman kepada Nabi Musa di syurga kelak." Lalu Nabi Musa pun berkata "Demi Allah, sesungguhnya aku adalah Musa, dan engkau adalah temanku di syurga kelak" Pengajaran : InsyaAllah setiap pertolongan kita kepada ibu bapa kita, Allah akan membalas dengan kebaikan yang berlipat ganda.

Sunday, March 11, 2012

Memaknakan Persahabatan

Setiap orang di dunia ini memerlukan teman. Tidak kira jika seseorang itu tua, dewasa, remaja, kanak-kanak mahupun bayi sekalipun. Ya, bayi juga mempunyai kawan. Jangan ingat bayi tidak mempunyai kawan. Segala patung permainan itulah dia akan menganggap sebagai kawan. Persahabatan memberikan 1001 makna persahabatan dalam diri seseorang khususnya para remaja.



Remaja yang masih terkapai-kapai bagi mencari identiti yang sebenar amat penting dalam menilai seseorang teman itu. Hal ini kerana, disebabkan rakan kita boleh ke syurga dan kerana kawan juga kita akan ke neraka. Persahabatan dapat menjadikan hidup kita sentiasa tenang, hal ini kerana apabila kita susah kita ada tempat untuk kita mengadu. Jaga-jaga, kalau nak mengadu masalah sebaik-baiknya biarlah yang sama jantina. Takut lain pula yang akan berlaku. Kan? Kan? Kan?

Renung-renungkan....

Maka, carilah rakan-rakan yang dapat memandu kita ke jalan yang baik dan diredai oleh Allah S.W.T.



Wasiat Luqman Al-Hakim :

“Hai anakku! Duduklah bergaul dengan orang yang bijaksana dan redalah dengan perkataan mereka, nescaya akan bertambahlah kebijaksanaan dalam dirimu.

“Hai anakku! Hendaklah engkau duduk bergaul dengan orang yang kuat berzikir mengingati Allah kerana ia akan menghidupkan ilmu serta memperbaharui perasaan khusyuk dalam hati.”

Sebaliknya, jika kita berkawan dan menjadi orang jahat sebagai rakan, nescaya akan terpengaruh dengannya.

Dalam hal ini, Lukman berpesan kepada anaknya : “Hai anakku! Sesungguhnya orang yang keji, lagi kotor dan celaka adalah Sekiranya dia di bawahmu, dia menolakmu. Sekiranya dia di atasmu, dia menindasmu.

“Sekiranya engkau bersahabat dengannya, maka dia menyusahkanmu dan sekiranya dia berpisah denganmu, dia tidak akan mengucapkan selamat jalan kepadamu.”
Lukman berpesan lagi katanya: “Hai anakku! Sesungguhnya orang yang keji, lagi kotor dan celaka adalah sekiranya dia beramal, dia melakukan yang buruk.

“Sekiranya dia duduk, dia membuang masa. Sekiranya dia dikayakan, dia tidak berpuas hati.

“Sekiranya dalam keadaan fakir, dia berputus asa. Sekiranya dia gembira, dia melakukan kejahatan. Sekiranya dia bersedih, dia berputus asa.”

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...