Friday, August 17, 2012

Dia Anak yang Soleh

Dengan nama Alla yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Dia anak yang soleh. Tajuk terbaru untuk post kali ini. Moga-moga kisah ini akan kita jadikan sebagai tauladan dalam hidup kita. alkisah... Pada suatu hari Nabi Musa pernah bertanya kepada Allah mengenai siapakah temannya yang akan bersama-samanya di syurga kelak. Lalu Allah menyuruh Nabi Musa untuk pergi ke sebuah pasar. Sesudahnya sampai di pasar tersebut, Nabi Musa berjumpa dengan seorang lelaki yang turut berniaga di pasar tersebut. Pendekkan cerita, Nabi Musa telah meminta daripada lelaki tersebut untuk menjadi tetamu di rumahnya. Apabila sampai di rumah, lelaki tersebut meminta Nabi Musa untuk berehat sebentar sambil dia menyediakan makanan. Di satu sudut rumah Nabi Musa ternampak seorang perempuan tua yang sakit. Selepas itu Nabi Musa melihat lelaki tersebut mengambil makanan dan menyuapkan kepada ibunya dan menolong ibunya untuk duduk, baring dan sebagainya. Nabi Musa agak terkejut apabila setiap pertolongan pemuda tersebut, pasti akan terkumat-kamit mulut ibunya. Selesai memberi makan kepada ibunya, Nabi Musa pun bertanya kepada pemuda tersebut siapa perempuan tua itu. Lalu pemuda tersebut menjawab bahawa perempuan tua itu merupakan ibunya. Setiap hari sebelum dan selepas berniaga dia akan memberi makan kepada ibunya terlebih dahulu. Nabi Musa bertanya perihal mulut ibu pemuda tersebut yang sering terkumat-kamit ketika pemuda tersebut membantu ibunya. Lalu pemuda tersebut menjawab itu merupakan doa ibunya kepada anaknya. Ibunya sering kali berdoa " Ya Allah sesungguhnya anak aku ini merupakan anak yang soleh. Kau jadikanlah dia teman kepada Nabi Musa di syurga kelak." Lalu Nabi Musa pun berkata "Demi Allah, sesungguhnya aku adalah Musa, dan engkau adalah temanku di syurga kelak" Pengajaran : InsyaAllah setiap pertolongan kita kepada ibu bapa kita, Allah akan membalas dengan kebaikan yang berlipat ganda.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...