Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Saturday, May 28, 2011

Kanak-Kanak Genius

Mereka adalah kanak-kanak genius yang berada di Zaman Keemasan Islam.



Zaman Umar Al-Khattab.

Pada suatu hari, Khalifah Umar Al-Khattab sedang menunggang kuda dengan laju melalui sebuah lorong di Madinah. Ketika itu beliau merupakan Khalifah di Madinah. Lorong tersebut dipenuhi dengan kanak-kanak yang sedang bermain. Ketika Khalifah Umar melalui lorong tersebut, semua kanak-kanak bertempiaran lari kerana takut akan ketegasan Umar. Tetapi seorang anak kecil lingkungan 11 tahun hanya duduk di tengah itu. Lalu Khalifah Umar bertanya kepada budak itu.

" Kenapa kamu tidak lari nampak aku ke mari, sedangkan anak-anak kecil yang sebaya dengan mu lari ketika nampak aku?"

Anak kecil itu menjawab.

" Ya Khalifah, buat apa saya mahu lari sedangkan saya tidak buat apa-apa kesalahan terhadap mu khalifah? Dan buat apa saya mahu lari ke tepi, sedangkan lorong ini terlalu luas. Kamu boleh lalu di tepi sini."

Khalifah Umar kagum akan jawapan yang diberikan oleh Budak kecil tersebut.

Khalifah Al Ma'mun

Ketika khalifah Al Ma'mun memerintah, terdapat sebuah perpustakaan yang besar iaitu Baitul Hikmah. Pada suatu hari khalifah memasuki perpustakaan tersebut dan melihat seorang anak kecil sedang membaca buku. Tanpa berfikir panjang khalifah pergi ke arah budak yangs sedang membaca buku tersebut dan bertanya.

" Siapakah kamu wahai anak?"

" Saya merupakan tunas baru dalam pemerintahan mu wahai khalifah." Anak kecil itu menjawab dengan tenang.

Khalifah Umar Abdul Aziz.

Khalifah Umar Abdul Aziz merupakan seorang khalifah yang adil. Beliau merupakan cicit kepada Khalifah Umar Al-Khattab. Sewaktu beliau dilantik menjadi khalifah,ramai pembesar dari seluruh tanah arab datang memberikan sokongan termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun pada ketika itu. Kanak-kanak itu pun datang ke depan untuk menyatakan sokongan namun dihalang oleh Khalifah Umar Abdul Aziz sambil berkata.

" Bagi yang tua bercakap dahulu."

Kanak-kanak itu pun berkata.

" Tuan, manusia di dunia ini diukur dengan dua perkara iaitu otak yang kuat ingatannya dan lidah yang petah berkata-kata. Sekiranya ada dua benda ini pada seseorang itu, maka dia yang layak bersuara. Jika manusia diukur dengan umur, maka tuan tidak layak menyandang jawatan khalifah, kerana ada yang lebih layak dari tuan."

Jawapan anak itu telah mengharukan hati Khalifah Umar Abdul Aziz.

Friday, December 24, 2010

Salahudin Al-Ayubi

Salahuddin Al-Ayyubi adalah seorang pahlawan dan raja yang gagah berani. Beliau terkenal dengan kewarakan dan keberanian yang luar biasa sehingga berjaya mengalahkan tentera Salib yang memang terkenal dengan kezaliman dan keperkasaannya.

Beliau dilahirkan pada tahun 1138M. Ayahnya keturunan Kurdistan. Salahuddin telah berjinak-jinak dengan peperangan apabila telah meningkat dewasa. Beliau sempat berperang di Mesir bersama dengan Shirkuh, bapa saudaranya di bawah panji Kerajaan Fatimiyyah.

Pada tahun 1169, Shirkuh telah dilantik sebagai wazir (menteri) di bawah naungan Kerajaan Fatimiyyah. Kemudian Salahuddin telah dilantik sebagai wazir apabila bapa saudaranya meninggal dunia. Beliau telah berjaya memadamkan pemberontakan dalam negeri dan turut berjaya menumpaskan serangan pihak Frank dan Byzantine yang cuba hendak menakluk Kaherah.

Akhirnya beliau menjadi Raja Mesir pada tahun 1175 mengantikan raja terakhir dari dinasti Fatimiyyah yang mangkat dan diiktiraf oleh Khalifah di Baghdad sebagai pemerintah Mesir yang sah setahun kemudian. Beliau memakai gelaran Sultan Al-Malikun Nasir.

Pada tahun 1187 berlakulah Perang Salib di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayyubi dengan tentera Kristian yang diketuai oleh King Richard (Raja England) setelah beberapa tindakan provokasi yang dilakukan oleh pihak Kristian. Mereka bukan sahaja mengancam negara-negara Islam, malah telah merampas beberapa wilayah umat Islam di Baitul Muqaddis dan dijadikan negeri-negeri Kristian.

Dalam peperangan tersebut, tentera Islam telah berjaya merampas Baitul Muqaddis dan 10,000 tentara Salib terkorban. Di sini Salahuddin Al-Ayyubi telah menunjukkan ketinggian budi dengan tidak membalas perbuatan tentera Salib yang zalim semasa menawan Baitul Muqaddis dan negeri-negeri yang dilalui. Beliau telah memberi perlindungan kepada semua tawanan perang, perempuan, orang tua dan anak-anak tentera Salib dan memberi mereka tempoh 40 hari untuk meninggalkan Baitul Muqaddis.

Akhirnya seluruh tanah Palestin dapat ditawan semula. Walau bagaimanapun, orang-orang Kristian dibenarkan mengunjungi Baitul Muqaddis melalui satu perjanjian damai yang ditandatangani pada 1192.

Keperibadian

Pada suatu hari, ketika Sultan Salahuddin berjalan-jalan di kota Baitul Muqaddis, beliau telah berjumpa dengan seorang lelaki tua Nasrani (Kristian). Lalu lelaki tua tersebut bertanya kepada beliau : "Wahai pahlawan agung ! Sesungguhnya tuan telah berjaya mengalahkan musuh-musuh tuan. Tetapi mengapakah tuan tidak membalas seperti tindakan yang dikenakan ke atas tentera-tentera tuan ?"

Jawab Salahuddin : "Wahai orang tua ! Agama kami melarang menyiksa manusia. Bahkan hati kecil sayapun melarang melakukan pembalasan yang luar batas perikemanusiaan seperti yang pernah mereka lakukan"

Orang tua itu berkata lagi : "Apakah agama tuan melarang melakukan pembalasan terhadap orang yang memulakan pemusuhan dan menyiksa kaum tuan"

Jawab Salahuddin seterusnya : "Memang benar ! Agama yang saya anuti ini melarang perbuatan kejam seperti yang dilakukan oleh musuh-musuh kami. "

Tambah beliau : "Islam meyuruh kami menepati janji, memaafkan kesalahan orang lain dan melupakan kekejaman pihak musuh ketika mereka berkuasa "

Orang tua itu berkata lagi : "Alangkah indahnya agama tuan !" Saya sangat ingin agar sisa-sisa hidup saya ini dapat menikmati kehidupan yang bahagia". "Apakah yang patut saya lakukan untuk memeluk agama tuan yang mulia ini "

Jawab Salahuddin seterusnya : "Mempercayai bahawa Allah itu Maha Esa dan Muhammad itu RasulNya. Kemudian kerjakan apa yang Allah perintahkan dan tinggalkan apa yang dilarangNya".

Setelah itu, lelaki itu terus mengucap dua kalimah syahadah tanpa berbelah bahagi……




Sultan Muhammad Al-Fateh

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

PENGENALAN

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.

PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...