“ Awak jangan nak bohong. Mak kita lagi cantik. Sebab itu ayah kita
kahwin dengan mak kita.”
“ Awak nak bagi hadiah ini pada
siapa? Awak mana ada mak!”
“ Tahu tak semalam waktu hari
jadi mak kita, ayah kita hadiahkan rantai.”
“ Mana boleh pinjam basikal ini.
Basikal ini mak kita bagilah.”
Suara rakan-rakannya masih lagi
terngiang-ngiang di telinganya. Ali keluar dari kelas 1 Arif dengan wajah yang
sugul selepas tamat persekolahan. Hatinya menjadi sebak apabila dicerca oleh rakan-rakannya.
Perasaan cemburu melihat rakan-rakannya menceritakan perihal ibu masing-masing
sering kali mencengkam atmanya. Dia tidak pernah merasai betapa mesranya
dikucup ibu. Dia tidak pernah merasa betapa nikmatnya kasih sayang ibu. Dia
tidak pernah merasai semua itu.
Di selekoh jalan menuju ke
rumahnya, dia terlihat Farith sedang berjalan ke kedai ais krim. Dia tersenyum
apabila melihat Farith. Satu-satu rakan yang mengenali perasaannya. Dia segera
melajukan langkahnya. Dia ingin mengajak Farith untuk bermain bersama-sama pada
petang ini. Tiba-tiba langkahnya terhenti tatkala dia melihat seorang perempuan
berusia lingkungan 30 tahun ke atas menuju ke arah Farith. Mereka kelihatan
mesra. Tiba-tiba Farith terlihat Ali yang sedang memerhatikannya.
“ Ali jom makan ais krim!” Jerit Farith sambil dia dan ibunya tersenyum.
Air mata kembali bergenang dan akhirnya mengalir di wajahnya yang comel. Dia
mengesat matanya. Dia menggeleng dan terus berlari ke rumah. Hujan turun
mendudu seakan memahami perasaannya. Sedih.
‘ Ya Allah, Kau ampunkanlah
dosa-dosaku. Sesungguhnya aku berdosa kepada Mu. Bantulah aku dalam membesarkan
Ali. Aku mahu dia menjadi seorang yang berguna kelak. Aku tidak mahu dia akan
mengikuti seperti ku dahulu.’ Encik Razmi mengaminkan doanya. Lantas, kenangan
tujuh tahun lalu kembali menerjah ruang memorinya.
Pintu biliknya dikuak. Ali
berlari ke arahnya dan terus baring berbantalkan pehanya. Encik Razmi hairan
melihat anaknya. Kebiasaannya sewaktu pulang dari sekolah, Ali akan kelihatan
ceria, namun hari ini sebaliknya.
“ Kenapa Ali menangis?” Tanya
Encik Razmi ringkas.
“ Ali rindukan mama. Pa, siapa
sebenarnya mama Ali? Dia di mana sekarang? Kenapa dia tak jaga Ali? Kenapa dia
tinggalkan kita?” Pertanyaan Encik Razmi dibalas dengan pertanyaan yang paling
tidak diinginka olehnya. Bagaimana dia harus menjawab? Bagaimana Ali mula
memikirkan soal ibunya.
“ Mama dah meninggal dunia
sayang. Mama meninggal sewaktu melahirkan kamu.” Jawab Encik Razmi ringkas.
Baginya biarlah dia berbohong. Dia merasakan belum sampai waktunya lagi dia
berterus terang perihal sebenarnya. Lagipun Ali masih berumur tujuh tahun. Dia
masih lagi kecil untuk mengetahui perihal ibunya. Biarlah ia menjadi rahsia.
Mungkin bila Ali dah besar dia akan menceritakan perkara yang
sebenar.
15 Tahun Kemudian
Balqis masih lagi menantikan coaster
untuk dia pulang ke rumahnya di Irbid. Dia mengerling ke arah jam. Jam sudah
menunjukkan jam 11 malam. Hatinya semakin gusar setelah dia menyedari tiada
lagi kereta yang lalu di jalan tersebut. Beberapa orang pemuda Arab yang
melepak sambil minum-minum di hadapan Restoran Abu Sayyef menoleh ke arahnya
dan bersiul-siul. Hati Balqis menjadi panas apabila menyedari dia mula menjadi
bahan perhatian.
‘ Hisy!! Aku yang berjubah macam
ini ada juga yang nak menggatal. Coaster cepatlah sampai.’ Hatinya menjeit. Dia
kembali teringat pesanan ibu bapanya agar dia tidak berjalan seorang diri.
Namun, setelah membantu Fatihah mengemas barang untuk berpindah, dia segera
ingin pulang ke rumah walaupun sudah lewat malam. Boleh sahaja dia jika dia
ingin menumpang rumah Fatihah.
Tiba-tiba perasaan lain pula
muncul. Bagaimana sekiranya rakan-rakannya melihatnya. Lebih-lebih lagi jika
siswa yang melihatnya. Seorang exco tertinggi siswi berjalan-jalan pada malam
begini. Sudah tentu perkara ini akan dibangkitkan oleh siswa dalam mesyuarat
bulanan nanti. Dia segera mengetepikan andaian tersebut.
‘ Argh! Lelaki memang selalu
mencari kesalahan perempuan.’
“ Assalamualaikum.” Satu suara
tiba-tiba datang dari arah belakang di tempat menunggu tersebut. Dadanya
kembali kencang. Dia menjawab salam perlahan sebelum memandang ke arah pemuda
terbabit dan nama negara pada tag namanya
‘ Nasib baik pemuda Malaysia.’
Dia seakan pernah berjumpa dengan pemuda terbabit di kampus. Agaknya siswa
baru.
“ Nak ke mana?”
“ Dawwar Jami’ah”
“ Seorang sahaja?”
‘ Buta agaknya dia ini. Tak
nampak aku seorang sahaja di sini dari tadi. Atau pertanyaan itu
merupakan satu
sindiran?’ Dia menggerutu di dalam hati. Tiga warna pada lampu isyarat
bertukar-tukar warna bagi mengawal lalu lintas. Keadaan di jalan mula
berkurang.
“ Bahaya jalan seorang-seorang
begini. Boleh menimbulkan fitnah. Nanti kalau jadi apa-apa siapa yang susah?”
Ayat tersebut sudah dijangkakan
akan keluar daripada mulut lelaki tersebut. Suaranya agak lembut namun menusuk.
Akhirnya coaster dari arah Hentian Amman betul-betul berhenti di hadapan pondok
tersebut. Mereka berdua menaiki coaster tersebut untuk pulang ke rumah
masing-masing. Coaster terus bergerak meninggalkan persimpangan Dawwar Nasiem,
menyusuri Jalan Eilud-Balad Pusat Rekreasi Irbid di sebelah kanan mereka masih
lagi bernyawa. Restoran masih lagi berpengunjung. Begitu juga Pizza Hut di
sebelahnya. Saling bersaing menarik pelanggan.
Coaster hampir tiba di Bab
Gharbiy. Balqis meraba saku jubahnya. Dia berasa sedikit aneh. Tangannya terus
menggagau di saku sebelah kirinya, mencari dompet yang memang sentiasa dibawa.
Tiada. Dada mula dihempap debar.
‘ Ke mana perginya dompet
aku?’ Pertanyaan tersebut terus
diulang-ulang menujah kotak fikiran. Barangkali tertinggal di Bait Raudhah
sewaktu menolong Fatihah tadi. Desisnya menyedapkan hati. Dia tiada pilihan.
Sesuatu yang di luar jangkaan harus dilakukan. Meminjam duit pemuda Malaysia tadi.
Ya, itu yang harus dilakukan. Dalam situasi sebegini perasaan malu harus
dibuang sejauhnya. Kakinya melangkah perlahan ke arah pemandu coaster tersebut.
“ Sudah dibayar.” Kata pemandu
tersebut apabila melihat Balqis berdiri dalam keadaan teragak-agak di pintu.
Balqis seakan tidak percaya. Syukur. Sewaktu melangkah turun dia melihat lelaki
Malaysia itu masih tercegat di luar coaster.
‘ Apakah kalimat yang sesuai
kuucapkan kepadanya?’
Hening
hari membuatkan hatinya sedikit berkecamuk. Rona rindu memancarkan rasa rindu
dan pilu di epidermis jiwa. Memugar atma supaya mencicip duka sedalam-dalamnya.
Tengah hari ini pijar mentari cukup membahang. Lembah Klang bagai dibungkus
warna merah. Dibantai dan dihambat panas tropika. Terang lazuardi di waktu pagi
kini bertukar menjadi bebola raksasa. Dada langit beransur menjadi oren. Duha
pergi dan menghambat setiap inci Lembah Klang.
Ali masih lagi menatap dua helai
kertas yang dipegang kemas di tangannya. Satu surat daripada kawannya Farith
yang kini berada di Irbid Jordan. Dan satu lagi surat tawaran untuk melanjutkan
pelajaran dalam bidang muzik. Dari Sungai Gadut dia menaiki komuter ke Kuala
Lumpur. Dari situ dia akan bergegas pula ke Stesen LRT untuk ke Kelana Jaya.
Sebelum memasuki bidang ini di
IPT, dia telah disarankan oleh ayahnya untuk belajar serba sedikit mengenai
muzik daripada seorang kenalan ayahnya iaitu Pak Din yang begitu arif dalam
bidang muzik. Ali menaiki teksi setelah sampai di Kelana Jaya. Perjalanan dari
Stesen LRT ke rumah Pak Din mengambil masa 10 minit.
Ali menekan loceng setelah
sampai di rumah Pak Din. Seorang gadis berusia awal 20an membuka pintu rumah.
“ Assalamualaikum. Ini rumah Pak
Din?” Tanya Ali sewaktu dia sampai ke rumah Pak Din. Gadis tersebut mengangguk.
Seorang lelaki separuh abad muncul di belakang gadis tersebut.
“ Kamu, mesti anak Encik Razmi.
Marilah masuk, kami sekeluarga menanti kehadiran anda.” Ali tersenyum dan
segera melangkah masuk. Perabot di dalam rumah teres sederhana itu tersusun
dengan rapi. Terdapat tiga bilik semuanya. Di sebelah ruang tamu itu terdapatnya ruang
makan yang sudah dihidangkan dengan makanan.
“ Ali, ini anak pak cik.
Zuraidah. Ini pula isteri pak cik, Mak Cik Dina.” Pak Din memperkenalkan Ali
kepada semua ahli keluarganya. Kemudian Ali dibawa ke belakang rumah Pak Din.
Di situlah tempat Pak Din bermain alat muzik. Antaranya piano dan biola. Selain
bermain alat muzik Pak Din juga mahir dalam mencipta lagu. Setelah Pak Din
membawa Ali meninjau di sekitar halaman rumah, mereka akhirnya ke ruang makan
untuk menikmati makanan terlebih dahulu sebelum bermulanya kelas pertama Ali
bersama Pak Din.
Bintang masih lagi setia
menemani Balqis di rumahnya yang terletak di Universiti Yarmouk. Memandangkan
Balqis merupakan anak kepada pensyarah, maka tidak perlu baginya untuk mencari
rumah atau duduk bersama-sama kawan di universiti. Setelah selesai menunaikan
solat Isyak, dia hanya duduk di atas katil dan membuka Al-Quran.
Tiba-tiba bacaannya terhenti
pada ayat ke 25 surah Al-Qasas. Jeda. Diulang ayat itu sekali. Dua kali. Tiga
kali. Seakan ada satu kenangan yang melayang datang sewaktu melafazkan ayat itu.
“ Duduk di mana?”
“ Er..Dekat perumahan
pensyarah.”
“ Mari saya hantarkan. Awak
jalan depan sikit. Saya akan ikut dari belakang.”
Ayat ke 25 surah Al-Qasas itu
diingatinya tatkala pertemuan dia dengan Farith. Ayat yang meceritakan
pertemuan Nabi Musa dan puteri Nabi Syuaib di lembay Madyan itu persis
pertemuan mereka dahulu di pinggir kampus Universiti Yarmouk. Bezanya Puteri
Nabi Syuaib yang malu-malu diminta berjalan di belakang apabila mengundang Nabi
Musa ke rumahnya. Sebaliknya, disebabkan faktor malam, Balqis diminta untuk
berjalan di hadapan dan Farith akan mengekorinya di belakang untuk
menghantarnya pulang. Lebih membahagiakan mereka hampir sahaja bertikam lidah
di Dawwar Nasiem.
Selesai bertilawah, dia
mendengar ibunya memanggilnya turun.
“ Balqis, turun makan. Abi dah
sampai.”
“ Baik Umi.”
Balqis segera keluar dari
biliknya dan terus ke meja makan. Kelihatan Puan Laura dan Encik Baihaki sudah
sedia menanti kehadiran anaknya. Balqis duduk di hadapan mereka berdua.
“ Balqis, bagaimana pengajian
kamu hari ini?” Encik Baihaki bertanyakan soalan yang selalu ditanya kepada
Balqis. Sebagai seorang yang amat tegas terhadap pelajaran dia tidak mahu
Balqis terus lalai dalam menuntut ilmu. Balqis hanya mengangguk dan tersenyum.
Puan Laura hanya memandang wajah Balqis dan Encik Baihaki.
“ Abang ini pun. Kalau nak tanya
biar selepas makan.” Celah Puan Laura. Balqis sudah mula ketawa.
“ Awak ini, manjakan sangat anak
itu. Saya bukan apa. Saya cuma risau sahaja. Maklumlah, dewasa ini remaja kena
dapat perhatian yang ketat daripada ibu bapa. Kalau tidak entah ke mana
budak-budak sekarang.” Ujar Encik Baihaki. Dia mula menitikkan soal pelajaran
kerana dia tidak mahu anaknya sendiri yang akan gagal dalam peperiksaan
semester.
“ Balqis..” Panggil ibunya
lembut.
“ Balqis dah jumpa calon suami?”
Tanya Puan Laura bersahaja. Tersembur air yang diminum oleh Balqis.
“ Awak ini pun. Kalau nak tanya
biar selepas makan.” Celah Encik Baihaki dengan menggunakan ayat yang sama
dengan Puan Laura sebentar tadi.
“ Umi, biasanya lelaki yang cari
perempuan. Macam perigi cari timba kalau Balqis yang cari. Lagipun Balqis masih
belajar lagi.”
“ Hei, sekarang ini tiada
istilah perigi mencari timba. Kamu lupa kisah Saidatina Khadijah dan Nabi
Muhammad. Saidatina Khadijah yang melamar Nabi Muhammad. Umi bukan apa. Umi
cuma ingatkan sahaja. Lagipun, umi nak Balqis carilah lelaki yang baik. Umi tak
nak Balqis menyesal nanti. Umi tak nak...” Puan Laura menjerit setelah pehanya
dicubit oleh Encik Baihaki.
“ Takkan sejarah lama pun awak
nak cerita.” Bisik Encik Baihaki. Puan Laura hanya mengangguk. Balqis hanya
memerhatikan mereka berdua sahaja dengan wajah yang sedikit hairan. Seketika
kemudian dia hanya mengendahkan apa yang diperkatakan. Dia terus mengunyah
makanan dengan penuh selera.
Bangi. Ibu kota pendidikan bagi
rakyat Malaysia. Di bandar Bangi inilah tersergam dengan megahnya pelbagai
institusi pendidikan. Bermula daripada pendidikan rendah sehingga ke pengajian
tertieri. Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan satu perkara yang tidak
asing di bandar ini. Selain UKM, terdapat juga institusi pengajian lain seperti
Universiti Tenaga Nasional, Institut Latihan CIMB, German-Malaysian Institute
(GMI) dan Kuala Lumpur Infrasturcture University College.
Selain itu terdapat juga sekolah
menengah dan sekolah rendah yang dibina di sekitar bandar ini. Antaranya SMK
Jalan Empat, SMK Jalan Tiga, Sekolah Menengah Kebangsaan Reko dan Sekolah
Kebangsaan Bandar Baru Bangi. Di Samping itu, sekolah-sekolah persendirian juga
dibina. Antaranya TANARATA International School, Sri Ayeesha, Sri Abim dan
Sekolah Rendah Agama Islam Bandar Baru Bangi.
Secara keseluruhannya terdapat 13 Institusi pengajian tinggi, lapan
sekolah rendah, empat sekolah menengah dan empat sekolah persendirian. Figur
ini telah meletakkan Bangi sebagai bandar pendidikan di Malaysia, sekali gus
menaikkan nama Malaysia sebagai hab pendidikan di Asia Tenggara.
“ Jom makan!” Suara Hakim memecah kebisuan pada petang sabtu itu.
“ Jom makan. Yang jauh kita rapatkan. Yang dekat pula kita eratkan.”
Sambung Zahir pula. Amir dan Furqan segera ke ruangan makan. Masing-masing
menunjukkan reaksi kelaparan. Mungkin letih mengulang kaji pelajaran. Ali masih
lagi duduk berteleku di meja belajarnya. Sebenarnya dia masih lagi berasa malu
dengan teman sebiliknya.
“ Ali, makan jom.” Furqan segera menghampiri Ali. Ali masih lagi
menelaah pelajaran. Pada mulanya dia menolak, namun selepas itu dia bersetuju. Buku
Undang-Undang Am setebal 350 muka surat itu ditutup. Dia mengemas beberapa buku
dan terus ke ruang makan. Rakan-rakan masih lagi setia menanti.
“ Alhamdulillah. Anak raja ini dah sampai. Makan pun nak berjemput.”
Ali dihidangkan dengan beberapa kuih dan biskut untuk minum petang. Wajahnya
masih lagi sugul. Suapannya menjadi lemah. Beberapa teman menyedari perubahan
sikap yang ada pada Ali.
“ Ali, kenapa ini? Teringatkan rumah ke?” Tanya Amir dengan nada yang
sopan. Sebagai ketua rumah dan pelajar yang paling senior di rumah tersebut,
dia perlu mengetahui keadaan rakan-rakannya. Ali menggeleng.
“ Aku malu Amir. Dari aku kecil sampai sekarang, kebanyakkan orang
hanya menghina aku sahaja.” Suara Ali lemah.
“ Orang kaya pun dihina? Orang hina kau kenapa? Aku tengok kau okey
sahaja. Tak buat masalah.” Celah Zahir.
“ Aku ini sebenarnya anak yatim. Sejak kecil lagi aku tidak mendapat kasih sayang daripada seorang
ibu. Selama ini, ayah aku yang menyara aku.” Balas Ali. Kini ada sedikit
kesayuan dalam nadanya. Rakan-rakan sebilik agak terkejut. Hampir enam bulan
mereka mengenali Ali, baru hari ini mereka sedar. Ali tidak pernah bercerita
hal ini.
“ Habis kenapa hari ini kau sedih. Selama ini ceria. Hampir setiap
malam kau hiburkan kami dengan gesekan biola.” Ujar Zahir.
“ Walaupun, aku ini anak yatim. Aku masih ada prinsip. Aku tidak mahu
orang bersimpati pada aku. Kalau boleh biarlah kedukaan aku ini hanya Allah
sahaja yang tahu. Aku tak nak kawan-kawan aku bersedih.”
“ Ali, kalau begitu apa gunanya kami di bilik ini? Apa gunanya kita
solat berjemaah setiap hari? Apa gunanya kita adakan usrah setiap hujung
minggu? Tak mengapa Ali. Kita kan sudah berjanji? Semua masalah kita kongsi
bersama.” Pujuk Hakim.
“ Ali, sesungguhnya Allah ada berfirman.”
“ Bukankah Dia Yakni Allah mendapati engkau wahai Muhammad yatim piatu
lalu Dia memberikan perlindungan.”
“ Kalau kau ingat Nabi Muhammad pun anak yatim. Orang kafir terus
menghina Nabi. Tapi Allah turunkan ayat ini untuk tabahkan hati Nabi. Sabar
Ali. Allah akan bersama-sama dengan orang yang sabar.” Ujar Furqan. Ali
akhirnya tersenyum dan jiwanya menjadi sedikit tenang. Mungkin, dia merasakan
selepas keberangkatan Farith ke Jordan, hatinya menjadi sepi. Namun, kini tidak
lagi.
Lima Tahun Kemudian
Farith
ditemani oleh Hashim, Zainal dan Anfal ke rumah Dr. Baihaki. Dua hari lepas dia
ada berjumpa dengan Dr. Baihaki dan Puan Laura bagi menyatakan keinginannya
untuk melamar Balqis. Segalanya dilakukan tanpa pengetahuan Balqis.
Memandangkan kedua-duanya telah menamatkan pengajian dan Farith akan pulang ke
Malaysia dan bekerja dengan Petronas, dia ingin membawa Balqis untuk pulang ke
Malaysia.
Puan Laura membawa Balqis ke
ruang tamu rumah. Farith dan rakan-rakannya hanya ditemani oleh Dr. Baihaki.
Bagi Ibu bapa Balqis, Farith merupakan seorang pilihan yang tepat dan bagi
mereka juga Balqis dan Farith adalah sekufu.
“ Assalamualaikum. Maafkan saya
Ustazah Balqis sebab mahu bertemu dan bercakap dengan ustazah pada malam ini.
Untuk pengetahuan ustazah, perkara ini sebenarnya saya sudah fikirkan sebelum
peperiksaan lagi.” Farith memulakan bicara sambil matanya memandang ke arah
bawah. Balqis diam mendengar. Tidak terucap dengan pelbagai bahasa.
“ Saya sedar ustazah. Saya
sebenarnya memang tak layak untuk ustazah.” Sambung Farith.
“ Jangan cakap begitu.
Sebenarnya saya yang tidak layak untuk ustaz. Saya seorang yang degil. Berani
balik seorang dulu pada waktu malam.” Balqis pula bersuara menafikan.
“ Ustazah ingat lagi peristiwa
lima tahun yang lepas? Sebenarnya semenjak itu, saya mula mengenali ustazah.”
‘ Masakan boleh dilupakan.’
Namun jawapan itu hanya terkunci di dalam mulut. Tidak mampu untuk dizahirkan.
“ Ustaz Farith, mengapa ustaz
pilih saya?” Tanya Balqis pula. Dr. Baihaki dan Puan Laura hanya memandang
mereka sambil tersenyum. Sesekali pandangan Farith dihalakan ke rakan-rakannya.
“ Rasulullah berpesan, sekiranya
mahu memilih calon isteri. Carilah perempuan yang ada empat ciri. Saya yakin,
Ustazah Balqis mempunyai ciri yang empat itu.”
Memanglah lelaki ini pintar
berbicara. Hati manakah yang tidak bergetar mendengar untaian kalimat
berdasarkan dalil selunak itu.
“ Ustazah, tidak akan ada
habisnya jika kita saling bercakap sebegini. Saya tak mahu dilambung
angan-angan yang tidak kesampaian. Saya rasa tak wajar sekiranya kita
berlegar-legar dengan persoalan yang tidak memberi manfaat. Biarlah kita terus
kepada mauduk. Err. Boleh saya tahu bagaimana dengan hati ustazah?” Darahnya
sudah naik ke muka. Matanya terpejam. Bagaimana Balqis mahu manjwab soalan
umpama itu.
“ Saya ulang. Bagaimana dengan
hati ustazah?”
Mungkin Farith masih lagi ragu
dengan matlamatnya pada hari ini. Barangkali juga dia tidak mengerti betapa
sukarnya untuk Balqis menghadapi saat begini.
‘ Tuhan, apakah kata-kata
terbaik untuk ku lafazkan ini?’ hati Balqis berbisik.
“ Ustaz, apakah ertinya ustaz
datang ke sini pada malam ini?” Sepi menakluki suasana. Farith gugup. Balqis
hilang kata-kata. Mungkin itulah jawapan yang terbaik meluncur tidak
semena-mena. Terasa kepalanya lapang walaupun dada semakin kencang.
“ Alhamdulillah. Allah, Kau
makbulkan doaku. Terima kasih ustazah.”
“ Saya sedar
siapa saya ustaz, saya juga berharap ustaz dapat menerima saya seadanya. Banyak
dosa yang telah saya lakukan. Saya harap Ustaz dapat membimbing saya.”
Entah mengapa
dadanya dihentak secara tiba-tiba. Dalam menerima cinta manusia, cinta kepada
tuhan juga tidak boleh diabaikan. Dia berharap Farith akan membuatkan atmanya
menjadi tenang. Kecintaan kepada tuhan akan lebih kental.
“ Ustazah...”
Sekali lagi hatinya seakan berbisik.
“ Percayalah
pada saya. Saya memang mahu melamar ustazah menjadi isteri saya. Kalau boleh
saya ada satu permintaan. Debar Balqis
semakin rancak. Hati telah ku serakan, apa lagi yang lelaki ini mahu?
Farith terdiam
sebentar. Dia mengembuskan nafas menunjukkan dia yakin dengan ucapannya nanti.
“ Kita nikah,
kita nikah di sini. Kita nikah seberapa segera mungkin.”
Peperiksaan akhir semesta sudah
selesai pada pagi tadi. Pada petang itu pula akan diadakan mesyuarat di
peringkat jawatankuasa mengenai program amal bagi mengutip derma untuk Yayasan
Penyelidikan Kanser. Amir dan Izhar merupakan salah seorang dari ahli mesyuarat
tersebut.
Keputusan mesyuarat juga telah
bersetuju untuk melantik Ali sebagai konduktor kepada pasukan orkestra
Universiti Kebangsaan Malaysia. Namun, masih ada beberapa mahasiswa yang
membantah keputusan tersebut.
“ Aiman, kenapa Ali pula yang akan
mengetuai orkestra pada hari tersebut.” Tanya Eddi.
“ Eddi, kau suka atau tak. Kau
kena suka. Sebab ini adalah keputusan majoriti. Semua ahli bersetuju.” Jawab
Aiman selaku pengerusi jawatan kuasa tersebut.
“ Aiman, kau tahukan setiap
tahun aku yang mengetuai orkestra. Tambahan pula aku ini pengerusi persatuan.
Malu aku nanti.”
“ Bagilah peluang kepada Ali.
Lagipun, nama Ali itu universiti yang cadangkan.” Balas Aiman. Eddi masih lagi
tidak berpuas hati. Kelihatan Izhar sedang bergerak ke arah mereka.
“ Ha Izhar. Nanti bagi tahu Ali.
Suruh dia buat persediaan. Dia ada masa sebulan untuk buat latihan.” Izhar mengangguk dan mereka berpecah ke arah
haluan masing-masing.
Segala-galanya
bagaikan mimpi. Tidak semena-mena dilamar mengejut. Seterusnya melafazkan ijab
dan kabul. Kini, berjalan dipimpin suami sambil menghirup keindahan Amman.
Segalanya sungguh tidak terjangkau. Langkah diperlahankan. Genggaman tangan
dileraikan. Mereka melabuhkan punggung di sebuah bangku.
“ Balqis, sedar tak sedar dah
dua minggu kita bersama.” Balqis tersenyum. Farith melafazkan dahulu apa yang
terlintas di fikiran Balqis.
“ Rasa macam tak percaya,
seperti bermimpi bahawa abang kini sudah ada di sisi Balqis.” Hampir separuh
hari mereka bersiar-siar di Amman. Tiba sebelum tengah hari tadi dan
berjalan-jalan di Balad. Selesai sahaja bersolat Zuhur dan menikmati makanan
tengah hari di Restoran Al-Quds, langsung ke pusat beli belah. Kini, selepas
matahari kian condong ke barat dalam cuaca sejuk, mereka masih lagi menikmati
keindahan tinggalan seni bina Rom di Jordan.
“ Hah, abang terlupa. Balqis kan
dahulunya degil. Berani betul berjalan malam seorang diri.” Farith menyeringai.
“ Abang ini! Macam mana pula
Balqis boleh tertinggal beg duit di rumah Fatihah dulu.” Jerit Balqis sambil
tangan kirinya mencuit lengan Farith. Tawa mereka pecah bersama.
“ Abang takkan melupakan saat
pertemuan itu. Masa pertama kali bercakap dengan Balqis, geram juga. Orang
dengan niat baik nak tegur dia. Dia buat tak tahu sahaja. Nasib baik ada abang.
Abang ikhlas tau bayar duit tambang itu.” Balqis tergelak kecil. Angin sejuk
mediterranean masih lagi menampar pipi mereka. Menekup muka dengan tapak
tangan. Balqis sendiri tidak boleh melupakan peristiwa di pondok di Dawwar
Nasiem. Orang yang dikecamnya dengan kalimat berbisa akhirnya menjadi insan
yang paling dicintainya.
Farith berdiri sambil
menggenggam tangan Balqis. Balqis turut sama berdiri. Farith memegang bahu
Balqis dan menghalakan Balqis tepat ke hadapannya. Kini mereka saling
berpandangan dan mata mereka bertemu dalam satu titik.
“ Balqis, abang rasa abang nak
kita berbulan madu di negara abang sahaja di Malaysia. Lagipun, mak dan abah
abang dah tak sabar nak jumpa menantunya di sana. Kalau boleh bawa sekali umi dan
abi sekali. Dapatlah mereka berkenalan dan mengukuhkan silaturrahim. Bukankah
itu tanggungjawab kita bersama sebagai suami isteri.” Balqis mengangguk tanda
setuju.
“ Terima kasih Balqis sebab sudi
terima cinta abang. Abang sayang Balqis.” Satu ciuman dihadiahkan kepada pipi
kanan Balqis.
“ Abang cintakan Balqis.” Satu
ciuman lagi dihadiahkan ke pipi kiri Balqis.
“ Jika diizinkan Allah, kita
bercinta sampai di syurga ya.” Satu ciuman lagi dihadiahkan ke dahi Balqis.
Mata Balqis terbeliak. Belum pernah dia merasakan kemanisan cinta seperti ini.
Matanya yang digenangi air kini telah menumpahkan air matanya. Musim sejuk yang
mengigil yang dirasakannya di Amman akan ditempuhi dengan kehangatan kasih
sayang seorang suami.
Telefon Farith berbunyi.
Terpapar sebaris nombor yang tidak dikenali. Dia menekan butang hijau.
“
Assalamualaikum ini Farith? Aku Ali.” Farith mati kalam. Dia tidak menyangka
setelah lima tahun dia akhirnya dapat bercakap semula dengan Ali walaupun di
dalam telefon.
“ Waalaikumsalam. Aku Farith.
Kau apa khabar?”
“ Alhamdulillah sihat. Bagaimana
dengan pengajian kau. Bila kau akan pulang ke Malaysia?”
“ Aku baru sahaja tamat belajar.
Aku pun sudah bernikah. Nanti aku akan pulang ke Malaysia.” Ali seakan tidak
percaya.
“ Baguslah kalau begitu. Ali,
kalau boleh aku nak jemput kau ke Dewan Filharmonik Petronas. Aku akan buat
persembahan orkestra di situ. Nanti aku beri tahu kau mengenai butiran majlis
tersebut. Nanti kita cerita lagi. Aku kena gerak dulu. Ada hal sebentar.
Assalamualaikum.”
Klik! Butang merah ditekan.
Pak Din yang hanya berkain
pelikat dan berbaju putih itu keluar dari dapur sambil memegang secawan kopi.
Di sebelah tangannya itu, dia memegang not lagu ciptaan Ali. Pak Din membawa
not itu ke piano dan mula memainkannya. Mak Cik Dina dan Zuraidah terus ke arah
mereka sebaik lagu itu dimainkan. Pak Din hanya mengangguk. Sesekali dia
mengambil pen dan memurnikan not itu. Dicubanya semula dengan not yang dibuat
pembetulan itu.
“ Tahniah Amir. Belum pernah Pak
Din melihat seorang seniman muda sepertimu mampu untuk menghasilkan lagu
seperti ini. Tidak ada liriknya?”
“ Pak Din sebenarnya lagu ini
saya buat khas untuk majlis di Dewan Filharmonik Petronas itu nanti. Ia akan
diiringi dengan orkestra.” Ujar Ali. Pak Din mengangguk tandanya setuju.
“ Ali, kenapa nadanya agak
sedih? Hampir menangis saya. Apa tajuk lagu ini?” Celah Azizah pula.
“ Entah. Soal tajuk itu. Saya
ingin ayah saya sendiri yang akan tentukan. Lagipun ini lagu atas sokongan dari
ayah. Apa yang penting saya nak Pak Din dan sekeluarga hadir ke majlis itu
nanti. Sebelum itu, ini tiketnya.” Ali menghulurkan tiga tiket untuk Pak Din
sekeluarga.
“ Ali, ini baju melayu yang kamu
inginkan sangat. Mak Cik buatkan untuk kamu. Dan kain songket ini pula ditenun
oleh Azizah.” Hati Ali berbunga tatkala dia menerima sepersalinan baju melayu
hitam. Apa yang menariknya ia dijahit sendiri oleh Mak Cik Dina.
“ Betul kamu tidak mahu ikut
kami ke Johor Baharu esok?” Tanya Pak Din.
“ Betul Pak Din. Lagipun petang
ini saya perlu kembali ke Bangi. Sebab nak uruskan pasukan orkestra saya.
Apa-apa pun terima kasih sebab bantu saya selama ini.” Setelah bersalaman dan
menikmati sedikit jamuan Ali terus bergerak ke stesen komuter ke UKM.
Selesai sahaja latihan pada
malam itu, Ali mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke bilik. Dia
ingin menikmati sendiri malam di UKM sebelum dia akan keluar dari universiti
ini. Di setiap jalan di UKM dia lalui dan pelbagai kenangan datang ke
memorinya. Adakalanya dia tersenyum sendiri.
Sinaran lampu kereta menyinar
dari belakang. Ali masih lagi meneruskan perjalanan. Kereta tersebut meluncur
laju ke arah Ali. Ali melihat ke arah belakang. Ali terkejut apabila dia
melihat sebuah kereta bergerak laju ke arahnya. Dia cuba untuk melarikan diri
ke tepi dan akhirnya kereta tersebut melanggar sebahagian daripada badannya.
Dia jatuh tersungkur ke atas tanah. Pandangannya gelap dan zulmat.
Keadaan menjadi tidak menentu di
hospital. Ali terbaring dan dia dibawa ke bilik pembedahan. Semua rakan
sebiliknya turut berada di situ. Mujurlah Ali dijumpai oleh seorang pelajar
yang turut lalu di kawasan tersebut.
Ali dibawa masuk ke bilik
pembedahan. Semua rakan-rakannya bergerak ke arah doktor untuk mengetahui
keadaan Ali. Tidak lama selepas itu Encik Razmi datang ke arah mereka.
“ Doktor, saya ayah kepada Ali.
Tolong selamatkan anak saya. Dia satu-satunya anak saya. Cakaplah seberapa
banyak kos pembedahan saya akan bayar.”
“ Encik, sekarang ini bukan soal
wang. Tapi, kami perlukan tandatangan encik di surat laporan ini dahulu.”
Doktor memberikan laporan kepada Encik Razmi. Encik Razmi membacanya dengan
teliti. Secara spontan dia memukul dahinya. Tidak percaya dengan laporan
tersebut. Amir, Hakim, Izhar dan Furqan berpandangan sesama sendiri setelah
membaca laporan tersebut.
Ali membuka mata. Panahan lampu
putih seakan pedang yang mencucuk matanya. Dia dapat melihat wajah Furqan,
Amir, Izhar dan Hakim di sebelahnya. Mereka tersenyum melihat wajah Ali yang
sudah mula sedar.
“ Syukurlah Ali, kamu sudah
sedar selepas tiga hari. Untuk pengetahuan kamu, kamu dilanggar dengan kereta
sewaktu berjalan kaki di kampus.” Ujar Hakim.
“ Tidak mengapalah asalkan kamu
selamat. Dengar cerita orang yang melanggar kamu itu sudah ada dalam tahanan
polis.” Amir pula mencelah.
“ Kita tengok dahulu sama ada
kamu mampu ataupun tidak mengetuai orkestra nanti. Kalau kamu tidak mampu pihak
jawantankuasa sudah ada mencalonkan penggantinya. Kita doakan yang terbaik Ali.
Kalau kamu cepat sembuh, dan boleh mengetuai orkestra, perancangan tidak akan
diubah. Ia adalah pengalaman seumur hidup. Antara jemputan yang hadir ialah
orang-orang kenamaan.” Ujar Izhar. Wajah Ali kelihatan sayu. Terbayang wajah
Pak Din dan keluarganya. Kemudian ayahnya Encik Razmi masuk ke wad Ali.
“ Ali, bagaimana keadaan kamu.
Syukurlah kamu dah sedar?” Tanya Encik Razmi yang memakai baju melayu dan
bersongkok itu.
“ Alhamdulillah ayah. Sihat.
Kenapa ayah memakai baju melayu?”
“ Ali, untuk pengetahuan kamu,
Pak Din dan keluarganya kemalangan di Machap sehari selepas kamu dimasukkan ke
hospital dalam perjalanan ke Johor Baharu. Mereka dirempuh oleh treler di lebuh
raya.” Jawab Encik Razmi. Muka Ali kelihatan sedih. Air mata mula berlinang di
pipi.
“ Dia ada di mana? Kejap Ali nak
keluar tengok dia.”
“ Ali, tidak ada seorangpun yang selamat. Ayah baru balik dari majlis
pengkebumian mereka.” Ujar ayahnya. Dia menjerit sewaktu dia menggerakkan
badannya. Seakan ada satu kesakitan yang menyerang. Hakim, Amir, Izhar dan
Furqan berpandangan. Sedih, simpati dan kasihan seakan diramunkan untuk
membentuk setitis air mata kepayahan melihat keadaan Ali.
Ali memandang mereka semua.
Kemudian menoleh pula kepada ayahnya. Dia sudah merasakan sesuatu? Kenapa? Dia
menyelak kain selimut yang menutupi badannya dengan perlahan. Dia terkejut.
Kedua-dua kakinya terpaksa dipotong dari lutut hingga ke tapak kakinya kerana
hancur sewaktu dilanggar kereta.
Dia terbaring lemah. Air mata
yang tadinya turun kini bertambah laju. Dia mati kalam seribu bahasa. Dia telah
kehilangan ibu, Pak Din sekeluarga dan kini kedua-dua kakinya. Impiannya
musnah. Jika boleh dia ingin melihat wajah Pak Din sekeluarga yang gembira
melihat dia menjadi konduktor orkestra pada hari tersebut. Dia dapat melihat
melihat wajah Pak Din yang berbangga dengan kejayaan anak didiknya dan melihat
kejayaan anak bangsa. Kini, mengetuai orkestra pada hari tersebut mungkin
samar. Apakah selepas dihina kerana anak yatim, dia akan dihina sebagai orang
cacat?
Dulu, kehidupannya agak suram.
Namun selepas kehadiran rakan-rakannya, kemajuan prestasti akademik,
kehidupannya bagaikan pelangi. Walaupun tidak bercahaya dan terang seakan
mentari, namun pelangi tersebut tetap berseri. Kini, warna-warna pelangi hilang
satu persatu menjadi palitan cat kelabu.
Dewan Filharmonik Petronas sudah
dipenuhi dengan jemputan. Amir, Hakim, Furqan dan Izhar sudah mengambil tempat.
Begitu juga dengan Farith dan Balqis yang baru sampai di Malaysia bersama Dr
Baihaki serta Puan Laura. Acara dimulakan dengan kata alu-aluan. Persembahan
Ali merupakan persembahan terakhir.
Di belakang pentas, dia sedang
membuat persiapan terakhir. Ali sedang mengetuai latihan bersama 25 ahli
orkestranya. Ayahnya juga berada di situ.
“ Ayah, cuma ada satu
kekurangan. Lagu ini tidak berjudul. Boleh ayah tolong berikan judul?”
“ Dengan iramanya yang sedih dan
mampu meruntunkan perasaan sesiapa yang mendengarnya. Ayah memberikan namanya
Sakura Yang Hilang.” Spontan terkeluar daripada mulut ayahnya. Ali hairan.
“ Kenapa ayah memberika nama
tersebut.”
“ Sakura merupakan bunga
kesukaan ibumu.” Itu sahaja yang mampu dijawabnya. Ali mengangguk faham.
Tiba-tiba pasukannya dipanggil untuk membuat persembahan. Inilah saatnya.
Pasukannya sudah berada di atas
pentas. Ali yang berpakaian baju melayu hitam masuk ke pentas sambil disorong
di atas kerusi roda oleh petugas pentas. Jemputan berdiri dan menepuk tangan
sewaktu Ali masuk. Dia memulakan lagu. Akhirnya dia masuk ke lagu terakhir.
Lagu ciptaannya sendiri yang berjudul Sakura Yang Hilang. Dia menggerakkan
tangan ke atas dan ke bawah mengikut alunan lagu. Para jemputan amat tertarik.
Tidak pernah mereka mendegar lagu seperti ini. Ada dalam kalangan jemputan yang
mula berbisik. Akhirnya persembahan tamat setelah 28 minit. Lima lagu
kesemuanya.
Jemputan memberikan tepukan
gemuruh. Ali disorong keluar selepas memberikan isyarat hormat. Dia dapat
melihat Farith yang melambai ke arahnya dari arah tempat duduk. Begitu juga
rakannya yang lain. Dia berasa puas. Walaupun tiada Pak Din dan keluarganya,
dia tetap berbangga dengan dirinya.
Ayahnya menanti dengan penuh
bangga. Dia mendakap Ali sepuas-puasnya. Izhar dan rakan-rakannya masuk ke
bilik dan mengucapkan tahniah. Menurut Izhar ramai orang kenamaan mahu bertemu
dengan Ali seusai majlis ini. Ada wakil daripada badan-badan penerbitan sudah
mula memikirkan untuk menerbitkan lagu ini. Hasratnya untuk berkecimpung dalam
bidang seni mungkin sudah tercapai.
Ali bergerak ke tandas. Dia
terbatuk-batuk dan kepalanya mula pening. Dia cuba untuk mencapai ubat di atas
meja di bilik tersebut. Tangannya tidak sampai. Dia cuba untuk menolak
badannya. Dia terjatuh dan kepalanya terhantuk di lantai dan pengsan.
Encik Razmi, Amir, Furqan, Hakim
dan Izhar kini sudah berada di sisi Ali. Ali pengsan dan tidak sedarkan diri.
Doktor mengesahkan bahawa ada lebih dari satu darah beku di otaknya akibat
kepalanya terhentak sewaktu dilanggar kereta dahulu. Pada mulanya tidak ada
darah beku dikesan di otak. Farith, Balqis Dr Baihaki dan Puan Laura ke
hospital. Farith ingin bertemu dengan Ali setelah mendengar berita yang Ali
dikejarkan ke hospital. Encik Razmi dan rakan-rakan Ali keluar daripada bilik
untuk ke bilik doktor bagi membincangkan masalah Ali. Dia melalui koridor dan
dia bertembung dengan Farith.
“ Laura!” Satu nama keluar
daripada mulut Encik Razmi setelah dia melihat perempuan tersebut. Sudah
bertahun-tahun dia mencari dan menunggu Laura, bekas isterinya yang diceraikan.
Akhirnya, dengan kuasa Allah mereka dipertemukan semula dengan situasi yang
berbeza. Laura kini sudah mempunyai suami, menetap di Jordan, memiliki seorang
anak perempuan dan seorang menantu. Berbeza dengannya. Laura melihat wajah
bekas suaminya.
“ Laura, lelaki ini yang kamu
ceritakan dulu.” Tanya Dr Baihaki. Laura mengangguk. Mereka yang ada seakan
tidak percaya. Bermakna Ali bukan anak yatim. Ibunya masih ada lagi.
“ Laura saya minta maaf atas
kesilapan saya dahulu. Saya menyesal Laura. Laura hanya diam. Tidak tahu apa
peraaannya kini. Seakan perasaan marah masih ada dalam diri Laura. Suasana
agak senyap seketika.
“ Umi, saya nak jumpa Ali dahulu
di wadnya.” Suara Farith memecah suasana senyap itu. Puan Laura dan Dr Baihaki
membenarkannya.
“ Ali yang membuat persembahan
tadi di dewan tadi?” Celah Encik Razmi. Farith mengangguk.
“ Ali itu anak pak cik. Pak Cik
baru sahaja keluar dari wadnya.” Farith mengucapkan terima kasih dan dia masuk
ke wad Ali.
Air mata Puan Laura tumpah
sewaktu mendengar kalam Encik Razmi. Dia tidak menyangka anak muda yang membuat
persembahan orkestra itu tadi merupakan anak yang ditinggalkan lama dahulu
setelah dia diceraikan dan memulakan kehidupan baru di Jordan.
“ Razmi, sebenarnya saya sudah
lama memaafkan kamu. Saya harap kamu mengambil pengajaran terhadap apa yang
kamu lakukan.” Puan Laura mula bercakap setelah lama membisu. Kini, Encik Razmi
sudah bertekad.
Dia tidak akan menyembunyikan kebenaran. Dia tidak mahu menceritakan
kepada Ali sewaktu dia kecil dulu. Apabila Ali mula membesar, dia masih lagi
mencari waktu yang sesuai. Kini setelah ada bekas isterinya yang juga ibu
kandung kepada Ali, masanya sudah tiba. Apabila Ali sudah mula sedar dan dan
keadaannya mula stabil. Dia akan menceritakan perkara sebenarnya. Ali pasti
gembira apabila dapat mengetahui bahawa ibunya masih lagi hidup.
“
Laura, Ali telah menghadiahkan lagu terakhirnya tadi kepadamu. Tajuknya Sakura
Yang Hilang.” Puan Laura gembira. Begitu juga Dr Baihaki dan mereka yang lain.
Puan Laura sudah tidak sabar bertemu dengan Ali.
“ Ali pasti akan mencipta satu
lagi lagu. Barangkali, tajuknya Sakura Kembali Mekar.” Dr Baihaki berseloroh.
Semua yang ada ketawa dan gembira. Balqis masuk ke wad.
“ Apa yang doktor kata?” Tanya
Dr Baihaki mecelah.
“ Sebenarnya saya dalam
perjalanan tadi ke bilik doktor.” Mereka bergerak ke bilik doktor. Balqis
muncul di balik pintu dan meminta mereka masuk dengan segera. Puan Laura dan En
Razmi masuk ke dalam wad tersebut. Begitu juga yang lain. Mereka melihat Farith
yang duduk sambil menangis. En Razmi melangkah ke arah Ali. Dia memeriksa nadi,
nafas dan denyutan nadi. Tiada.
Suasana hening seketika. Doktor
masuk ke wad setelah dipanggil oleh Izhar. Doktor memeriksa Ali. Setelah
memeriksa, doktor melangkah ke arah Encik Razmi. Puan Laura turut menghampiri
mereka.
“ Maafkan saya Encik Razmi. Saya
sudah buat yang terbaik. Nanti sila ke pejabat untuk uruskan pengambilan
jenazah.” Doktor meninggalkan mereka. Puan Laura menangis dan segera memeluk Dr
Baihaki. Hatinya sayu melihat wajah anaknya yang tidak berkaki tersebut. Dia
masih ingat lagi kali terakhir dia mendukung Ali. Ketika itu Ali masih muda.
Tidak sampai setahun umurnya. Wajah ceria Ali masih lagi terpaku dalam
memorinya.
Farith memeluk tubuh Balqis. Air
mata mula berlinangan. Setelah berpisah sekian lama, dia ingin sekali bertemu
dengan Ali. Balqis menenangkan suaminya. Dia tidak menyangka perbualan dalam
telefon tempoh hari merupakan perbualan terakhirnya dengan Ali.
Amir, Hakim, Izhar dan Furgan berpelukkan sesama mereka. Mereka
merupakan antara insan yang rapat dengan Ali. Segala masalah dikongsi bersama.
Ali sering mengatakan bahawa dia teringin berjumpa dengan ibunya. Bagi Ali,
ibunya telah pergi menemui Ilahi. Namun, ibunya sebenarnya masih hidup.
“ Maafkan ayah Ali. Ayah bukan berniat untuk membohongi kamu. Tetapi
ayah tunggu masa yang sesuai. Namun, kamu pergi pada masa ayah nak ceritakan
kepada kamu.” Encik Razmi memeluk tubuh anaknya. Puan Laura menghampiri mereka.
Puan Laura merendahkan badannya. Dia mengusap rambut Ali.
“ Ali, InsyaAllah nanti Ibu akan cari kamu di syurga.” Ujar Puan Laura setelah mencium dahi anaknya.
Encik Razmi segera menutup seluruh badan Ali dengan selimutnya. Ali telah pergi
menemui Ilahi beberapa minit setelah Encik Razmi dan rakan-rakan Ali
meninggalkan wad untuk pergi menemui doktor. Sepanjang hidupnya Ali tidak
pernah mengetahui siapakah ibu dia sebenarnya. Baginya ibunya telah pergi
menemui Ilahi. Hakikatnya Ibunya kini masih lagi hidup.
Mungkin inilah perkara paling perit yang terpaksa ditanggung oleh Ali. Selepas
ini, tiada lagi kelibat Ali yang akan mengetuai pasukan orkestra. Sekali lagi
negara tercinta ini kehilangan seorang bakal seniman muda yang mungkin kalau
dengan izin-Nya, seabad dari sekarang baru akan diketemui lagi.
TAMAT
No comments:
Post a Comment