Hati diibaratkan daun yang gugur dari sebatang pokok. Daun tidak akan
pernah gugur dalam keadaan statik. Tatkala ia gugur ke bumi, angin yang meniup
sering kali menukar permukaan daun ke bawah dan ke atas. Jika permukaan yang di
bawah ditiup ia pasti akan menghadap ke atas. Begitu juga sebaliknya.
Samalah dengan hati.
Hati kita umpama daun yang sentiasa berubah kedudukkannya bila ditup bayu.
Boleh jadi hati kita hari ini menghadap dan taat akan perintah Ilahi, boleh
jadi ia akan berubah sebaliknya. Jika kita tidak ada usaha untuk
mempertahankannya. Usaha?
Bulan masih lagi setia
mengambang. Bintang-bintang masih lagi dengan kerjanya memagari sang rembulan.
Suhu masih lagi dingin ditambah pula angin yang sentiasa bertiup. Seorang wanita
masih lagi duduk di birai katil selepas menunaikan solat tahajud, hajat dan
taubat. Dia membuka laci dan mengeluarkan sekeping surat. Dia membaca. Seketika
kemudian air mata dia terus mengalir tanpa dipaksa. Air mata penyesalan.
Menyesal terhadap apa yang dilakukan selama ini.
Assalamualaikum, kehapadan Syazwani
Pertama sekali abang nak minta maaf sekiranya
surat ini abang titipkan tidak kena pada masanya. Sejujurnya surat ini akan
membuatkan atma Syazwani menangis.Abang minta maaf. Abang harap, surat ini mampu untuk menjadi
wakil daripada abang. Wakil menjelaskan beberapa perkara mengenai kita. Kita
Syazwani.. Rumahtangga kita.
Sebelum itu, izinkan abang menceritakan sejarah
abang. Ya Syazwani. Abang seorang anak polis yang suka berfoya-foya, tidak
penuh lagi ilmu di dada. Sejarah abang hitam dengan semua dosa yang telah abang
lakukan. Abang dulu kaki botol, judi sampah masyarakat. Itulah kehidupan
universiti abang. Kehidupan remaja abang. Sampai satu ketika arwah ayah sudah
bosan dengan karenah abang.
“ Iskandar dah besar, hanya kita sahaja yang boleh
ubah nasib kita. Bukan orang lain.”
Itulah pesan arwah ayah. Pesan yang terakhir. Pesan
arwah ayah yang telah mengubah segala-galanya. Arwah ayah minta abang untuk
belajar solat dengan membaca Al-Quran dengan seorang rakannya. Ikutkan hati
memang malu kerana terpaksa belajar membaca Al-Quran dan solat pada usia 24
tahun. Pada mulanya, abang hanya pergi dengan tiada langsung keikhlasan di
dada. Hanya pergi untuk belajar dan lupa selepasnya. Namun, segalanya berubah
tatkala arwah ayah pergi buat selama-lamanya. Abang mula sedar, kata-kata ayah.
Saat itu, abang tekad untuk berubah. Berubah
dengan erti kata yang berubah. Abang tidak mahu ayah abang akan dipersoalkan di
akhirat kelak. Abang tidak lagi mahu ayah abang dan keluarga abang malu dengan
kelakuan abang. Cukuplah jiran-jiran yang memandang jijik terhadap abang.
Namun, kerana kesedaran dan tekad abang cuba untuk berubah walaupun apapun
tanggapan masyarakat.Segalanya berubah di suatu petang ketika mak pulang ke
rumah dengan wajah yang ceria. Katanya dia sudah ada calon menantu yang sesuai
untuk abang. Itulah Syazwani. Abang tahu dan masih segar dalam memori abang,
tatkala abang diberitahu oleh mak yang mahukan abang berkahwin dengan Syazwani.
Abang terus terima. Abang gembira sayang.
Melalui mak, abang tahu Syazwani dulu bersekolah
di SMKA Naim Lilbanat Kelantan. Sekolah agama terkemuka di Kelantan. Membesar
dalam atmosfera agama yang subur. Itulah sebab mengapa abang terima Syazwani. Ketika
itu Syazwani baru sahaja pulang dari Kanada setelah selesai pengajian di sana
dalam bidang Petroleum Geoscience. Akhirnya Allah pertemukan kita. Saat itu
abang gembira. Abang berharap sangat Syazwani
boleh tolong abang atau setidak-tidaknya memberikan semangat untuk abang
mencari apa yang abang nak selama ini.
Tetapi, abang tidak merasai semua itu. Dua bulan
kita bersama, hati abang rasa kosong. Abang tidak diberikan hak sebagai seorang
suami. Abang ingat, abang boleh belajar daripada Syazwani. Setiap hari selepas
kerja abang akan terus ke Surau Taqwa untuk memperkukuh bacaan Al-Quran
daripada seorang ustaz di sana.
Apabila sampai ke rumah Syazwani terus serang abang.
Syazwani kata abang ke disko dan berfoya-foya dengan perempuan lain. Syazwani
tahu hati abang sedih. Setiap malam abang menangis. Abang tidak dapat
kepercayaan dan semangat daripada isteri abang sendiri. Abang tidak tahu lagi
bagaimana mahu terangkan hal sebenar kepada Syazwani. Abang sentiasa mendoakan
yang terbaik dan berusaha untuk menjadi yang terbaik untuk Syazwani. Namun, apa
yang abang buat semua salah di mata Syazwani.
Tanpa pengetahuan Syazwani abang pergi ke rumah
mak Syazwani. Hanya ingin meminta nasihat. Mungkin ketika itulah petunjuk
sampai. Abang diberitahu, Syazwani sebenarnya tidak mahu berkahwin dengan abang
kerana sudah ada pilihan sendiri. Seorang kenalan Syazwani ketika di Kanada
dahulu. Dunia seakan menjadi gelap setelah abang mendapat tahu perkara
sebenarnya. Dan ketika itu hanya satu sahaja jalan yang abang nampak. Cerai...
Abang mengusulkan hal tersebut kepada mak kita
berdua. Ternyata kedua-dua keluarga sedih dengan keputusan abang. Namun, abang
meyakinkan mereka mungkin inilah jalan terbaik yang abang akan lakukan. Abang
tidak mahu Syazwani curang dengan memikirkan soal lelaki lain selain abang.
Tatkala abang memberitahu perkara ini kepada Syazwani, jawapan Syawani cukup
menghiris hati abang. Syazwani hanya senyum sambil membalas dengan kata yang
bukan-bukan kepada abang. Syazwani mengatakan keputusan ini abang ambil supaya
abang dapat berfoya-foya dengan ramai lagi perempuan. Sedih hati abang
mendengar jawapan Syawani.
Abang ucapkan selamat jalan kepada Syazwani.
Semoga Syazwani akan bahagia dengan kehidupan Syazwani selepas ini. Tanpa abang
di sisi, pasti Syazwani akan bahagia. Syazwani kelulusan agama dan jurutera
pasti akan bahagia bersama dengan orang yang berkelulusan agama juga. Bukan
dengan abang yang mempunyai sejarah yang hitam.
Abang maafkan semua kesalahan Syazwani dan abang minta maaf sekiranya
abang tidak mampu jalankan tanggungjawab abang sebagai suami.
Iskandar..
2006.
Nurul memerhatikan
keadaan sekeliling. Keadaan di bilik guru agak lengang ketika waktu rehat. Dia
memegang kemas buku matematiknya. Dia berjalan sambil matanya mengerling ke
arah sekeliling. Sudah menjadi kebiasaanya untuk berjumpa dengan cikgu Zharif
untuk bertanyakan soalan matematik pada waktu rehat. Kebiasaanya cikgu Zharif
akan ada sewaktu rehat. Namun hari ini lain daripada kebiasaan.
“Hai Nurul, cari Cikgu
Zharif?” Sapa seorang guru perempuan. Nurul memandang dan mengangguk dengan
senyuman.
“ Tadi cikgu nampak
Cikgu Zharif di kantin. Nurul boleh tunggu di tempat dia. Mungkin kejap lagi
dia balik. Tadi pun dia baru habis makan.” Ujar guru berusia 40an tersebut.
Nurul segera ke meja Cikgu Zharif. Tanpa membuang masa dia segera membuka buku
dan mencari nombor soalan tersebut.
“ Assalamualaikum
Nurul.” Cikgu Zharif memberi salam perlahan.
“ Waalaikumsalam. Ha,
cikgu soalan nombor ini. Saya tak tahu nak buat.” Nurul segera menghulurkan
buku tersebut. Zharif memandang sambil tersenyum. Dia mengambil tempat dan mula
membaca soalan tersebut. Setelah memberikan penjelasan, Nurul memohon kebenaran
untuk pulang ke kelas.
“ Kalau Nurul nak lebih
mahir, selalu buat latihan. Kalau tak faham terus tanya ayah Nurul.” Nasihat
Cikgu Zharif.
“ Ayah Nurul dah
tiada. Mama dengan ayah dah bercerai waktu Nurul kecil.” Balas Nurul. Cikgu
Zharif tersentap. Dia tidak menyangka akan hal tersebut. Hatinya menjadi sayu
mendengar penjelasan muridnya. Bagaimana Nurul ingin membesar tanpa kasih
sayang seorang ayah?
‘Ya Allah bantulah
dia.’
“ Cikgu kahwin dengan
mama Nurul boleh? Mama Nurul cantik sangat.” Cikgu Zharif tersenyum kembali
melihat telatah Nurul.”
“ Cikgu sebenarnya..”
“Cikgu!” Suara Kamal
yang juga merupakan ketua kelas 2 Kreatif datang ke arah mereka.
“ Kamal, nasib baik
awak datang. Saya nak minta tolong awak sikit.” Cikgu Zharif membelek dan
mecari sesuatu. Dia menyerahkan sesuatu kepada Kamal. Nurul hanya memerhatikan
mereka berdua.
“Cikgu panggil saya
nak bagi kertas matematik? Semua dapat A?” Teka Kamal.
“ Bukan. Saya nak awak
bagi ini kepada kawan-kawan dan suruh mereka beri kepada ibu bapa
masing-masing.” Kamal hanya mengangguk dengan penuh taat.
“ Cikgu sebelum lupa.
Saya nak markah matematik.” Syazwani membuat muka comel. Zharif hanya membalas dengan mengatakan dia
belum lagi habis menanda kertas tersebut. Setelah waktu rehat hampir tamat,
mereka berdua segera bergegas ke kelas.
* * * * * * * * *
“ Abang, bawakan saya
ke klinik malam ini boleh?” Tanya Syazwani sambil memegang tangan suaminya.
Harraz yang sedang bersiap di dalam bilik memandang isterinya dengan wajah yang
kasar. Dia terus menolak isterinya sehingga terjatuh ke atas lantai. Matanya
mula bergenang apabila ditolak sedemikian.
“Abang nak ke mana
abang? Abang nak jumpa perempuan hari itu lagi? Kenapa abang dah berubah?
Kenapa abang tak boleh terima Syazwani?” Darah Harraz sudah naik ke muka.
Mukanya merah menahan marah mendengar apa yang diucapkan isterinya. Bagaimana
isterinya dapat mengagak? Sudah, dia malas mahu memikirkannya! Syazwani memeluk
kaki suaminya memohon simpati. Air mata yang cuba ditahan kini mengalir laju.
Itulah Harraz. Jejaka yang dikenalinya sejak di Kanada dahulu.
“ Kau tepilah, jangan halang laluan aku. Kalau aku
nak pergi mana sekalipun, kau jangan menyibuk.” . Dengan tiada perasaan dia
terus menendang kepala isterinya.
Aku? Kau? Mana panggilan yang mereka gunakan
dahulu ketika di Kanada dan sewaktu awal perkahwinan mereka dahulu. Dia
memandang wajah suaminya. Harraz bergerak ke arah Syazwani. Dia memegang
kedua-dua bahu Syazwani dengan kasar. Syazwani mengerang kesakitan diperlakukan
sebegitu rupa. Tiada lagi pandangan kasih sayang daripada suaminya. Yang ada
cuma kebencian dan dendam.
“Kau tahu kenapa susah aku nak terima kau?” Harraz
bertanya dengan nada yang kasar. Syazwani hanya menggeleng. Dia segera menutup
matanya. Entah mengapa seakan ada panahan tatkala dia memandang wajah suaminya.
“ Sebab dia.” Jari telunjuk Harraz ditujukan
kepada seorang bayi kecil yang sedang tidur di atas katil. Syazwani menggeleng.
Apa salah Nurul? Adakah kerana dia seorang yang mempunyai masalah kesihatan?
Doktor mengesahkan Nurul mempunyai masalah jantung berlubang.
“ Sebab Nurul..”
“ Ya sebab dia ada penyakit. Kau tahu tak dia itu
baka kau? Kau tengok sejarah keluarga kau. Ada yang memang berpenyakit sejak
lahir. Keturunan aku tiada langsung. Jadi aku tak boleh terima budak itu. Kau
tahu tak aku malu dengan keluarga aku.” Bentak Harraz.
“ Abang, Nurul tak bersalah. Ada hikmah mengapa
semua ini terjadi. Abang, taubat abang.” Kesabaran Harraz sudah tidak dapat
ditahan. Kali pertama dia mendapat tazkirah percuma daripada isterinya. Dia
menarik rambut Syawani dan terus menapar pipinya. Syazwani jatuh tersembam ke
atas lantai. Mukanya sudah ada tanda lebam.
“ Mak bapak kau tak pernah ajar selama ini? Baik,
kalau dia tak pernah ajar mari sini biar tali pinggang aku yang ajar.” Dia
terus memukul Syazwani dengan tali pinggangnya. Setelah puas dia segera
meninggalkan Syazwani. Ketika itu juga dia melafazkan talak. Hancur luluh
hatinya.
* * * * * * * * *
“ Mama!” Jeritan Nurul
segera menyedarkan Syazwani daripada memori lamanya. Wajahnya yang sugul
kembali ceria setelah melihat anaknya pulang dari sekolah. Biarlah dia cuba
untuk melupakan semua kenangan silam. Betul kata orang. Kita akan menghargai
seseorang itu apabila kita kehilangannya.
Perkahwinan dia dan Iskandar hanya bertahan dua
bulan. Dia masih lagi merasakan dirinya berdosa dengan Iskandar. Kalau daripada
dulu dia mengetahui kesungguhan lelaki itu untuk berubah, dia pasti akan
membantu. Tahu? Dia sudah tahu. Namun, dia masih lagi tiada kepercayaan terhadap
lelaki itu. Hanya kerana Iskandar mempunyai sejarah yang hitam dalam hidupnya. Dalam
masa yang sama pula dia sudah menyimpan perasaan dengan Harraz. Kenalannya
ketika di Kanada dahulu.
Perkahwinan dia dengan Harraz segala-galanya
bermula indah. Namun hanya bertahan untuk dua tahun sahaja. Segala-galanya
berubah ketika dia dapat mengetahui bahawa puteri mereka disahkan mempunyai
masalah jantung sejak lahir. Kini, kedua-dua mereka telah pergi. Harraz
kemalangan sewaktu hari yang sama dia menceraikannya dan Iskandar kemalangan
ketika dia dirempuh treler di hadapan mahkamah, selepas proses penceraian
mereka selesai.
Tersembur minuman Fikri sewaktu dia membaca akhbar
hari ini. Zharif yang duduk di meja nya terkejut dengan kelakuan kawannya.
“ Kau ini kenapa Fikri? Panas ke air yang aku
buat?” Tanya Zharif kehairanan. Suasana bilik guru lengang. Zharif masih lagi
dengan tugasannya. Selepas menghabiskan penandaan kertas matematik, dia segera
menguruskan fail anak muridnya sebagai persediaan untuk hari terbuka sekolah
nanti.
“ Okey air yang kau buat. Cuma aku terkejut dengan
berita ini. Cuba kau baca.” Zharif memandang sekilas dan tersenyum. Fikri
memandang pelik. Berita panas itu hanya dibalas dengan senyuman?
“ Tak apa. Minta Chelsea cuba lagi tahun depan.
Apapun aku bangga dengan Liverpool aku. You’ll never walk alone. Akhirnya
Liverpool menang juga liga setelah lebih 20 tahun menunggu.” Fikri yang
mendengar terus menghantukkan kepalanya perlahan ke atas mejanya.
“ Bukan berita itu. Berita yang ini. Seorang
pelajar lulusan sekolah agama antara yang ditangkap dalam serbuan di Lorong
Haji Taib semalam.” Ujar Fikri kepada Zharif. Zharif mengambil akhbar ersebut
dan membacanya.
“ Dunia sekarang ini Fikri, kalau tiada
penghayatan agama takkan ke mana juga jadinya.”
“ Aku pun hairan dengan budak-budak sekarang ini.
Duduk sekolah agamapun boleh bermasalah begini. Aku bukan nak salahkan sekolah.
Sekolah dah buat yang terbaik tapi tak tahu kenapa tetap boleh jadi begini.”
Fikri meluahkan kehairanannya. Zharif kembali mengambil tempat duduknya.
“ Macam yang aku cakapkan tadi. Penghayatan agama
dalam diri adalah penting. Tak semestinya seseorang itu belajar di sekolah
agama, pasti dia akan berkelakuan baik. Terserah kepada diri, ada juga pelajar
harian biasa tapi dia mempunyai penghayatan, kesedaran dan kefahaman terhadap
Islam itu sendiri. Seperti iman kita. Iman tak boleh nak diwarisi.” Zharif
mengeluarkan pendapatnya.
“ Sebab itu juga kita tengok ada anak imam masjid
itu sendiri yang selalu buat masalah. Seperti apa yang aku belajar dahulu. Iman
kita ini ada turun dan naiknya. Sebab itu kita mesti perbahrui iman kita ini
dengan syahadah.” Fikri pula membalas. Zharif mengangguk tanda setuju. Dia
membuka kaca matanya dan meletakkannya di atas buku-buku.
“ Jadi tak hairanlah sekarang ini keluar di dada
akhbar ada yang sudah ada gelaran ustaz dan imam tapi kadang-kadang mereka juga
yang buat banyak masalah. Sepatutnya golongan seperti mereka ini patut menjadi
contoh. Sebab mereka ini golongan yang mulia dalam masyarakat. Wajar untuk
menjadi contoh. Tetapi bila hati mereka dah dimasuki oleh syaitan dan dalam
masa itu juga pegangan Islam mereka tidak kuat akhirnya masalah akan tetap
berlaku.” Ujar Zharif panjang lebar.
“ Itulah, Allah dah berfirman dalam Al-Quran yang
bermaksud jika kita ini lari daripada ajaran Allah iaitu Al-Quran, Allah akan
jadikan syaitan ini sebagai sahabat baik mereka.” Zharif mengangguk. Selepas habis membereskan
tugasnya, Zharif mohon kebenaran untuk pulang. Hari ini dia akan mengambil
ibunya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Ibunya mahu melawat
Zharif dan bersiar-siar di Malaysia sempena cuti musim panas di Eropah.
Dia menggeliat setelah menjejakkan kaki di
Malaysia. Sudah berapa lama dia tidak pulang ke Malaysia. Malaysia baginya
masih lagi seperti dulu. Dia berjalan-jalan menolak bagasi mencari kelibat
seseorang. Lantas dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan mencari sebaris nama.
Zharif.
Belum sempat dia menekan butang hijau pandangannya
menjadi gelap. Dia tersenyum. Daripada tapak tangan itu dia mampu untuk meneka.
“ Sudahlah Zharif, dah banyak kali mama kena
begini. Tapak tangan Zharif mama dah tahu dah.” Puan Ashrifah meneka sambil
memegang tangan anaknya. Zharif masih lagi di belakang ibunya hanya tersenyum.
Itu sudah menjadi rutin harian mereka ketika di Merseyside, United Kingdom.
Setiap kali Zharif pulang dari kerja dia segera menutup mata ibunya.
“ Mana mama boleh tahu? Mana tahu orang lain.”
Tanya Zharif. Dia mengambil bagasi ibunya dan mula berjalan ke arah kereta.
“ Zharif, awak itu anak mama. Dah umur 33 dah.
Sejak dari sana selalu buat benda itu.” Zharif hanya tersenyum.
“ Kita balik dulu ya mama. Zharif ada beli
apartmen di Subang. Kerja di Petaling Jaya. Jadi cikgu.” Puan Ashrifah mengangguk.
Dia tidak kisah asalkan pekerjaan tersebut mampu menyumbang kepada masyarakat.
Jika dahulu, Zharif bekerja sebagai pegawai bank di Merseyside.
Dari jauh ada mata yang memandang mereka. Berbaju
hitam dan berkaca mata. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan mencari satu
nama.
Klik! Butang hijau ditekan.
“ Bos. Bos mesti nak dengar maklumat ini.
Terbukti.” Klik! Talian dimatikan.
Suasana Sekolah Kebangsaan Bandar Sunway Petaling
Jaya masih heboh dengan kana-kanak yang berlari-lari. Ibu bapa juga hadir
sempena hari terbuka sekolah. Hari bersama pelanggan juga dilakukan serentak
dengan hari terbuka. Kebiasaanya ibu bapa akan mengambil keputusan pertengahan
tahun pada waktu tersebut.
Jam hampir menunjukkan waktu makan tengah hari.
Cikgu Zharif kelihatan penat mengadakan sesi perbincangan dengan ibu bapa yang
hadir. Namun secara keseluruhannya dia berbangga dengan anak-anak muridnya.
Hampir kesemua mereka memperoleh ‘A’ dalam subjek yang diajarnya. Cuma ada
beberapa orang yang perlu diberi perhatian yang lebih. Dia menyemak kehadiran
ibu bapa untuk kelas 2 Kreatif. Masih lagi ada 2 orang yang ibu bapanya belum
hadir. Dia terpaku pada satu nama. Nurul.
“ Ayah Nurul dah tiada. Mama dengan ayah dah
bercerai waktu Nurul kecil. Cikgu kahwin
dengan mama Nurul boleh? Mama Nurul cantik sangat.” Terngiang-ngiang lagi
kata-kata Nurul di bilik guru tempoh hari.
“ Cikgu, pinjam telefon boleh? Mama lambat
sangat.” Kata-kata Nurul mematikan lamunan Zharif. Dia segera mengeluarkan
telefonnya dan menyerahkan kepada Nurul. Nurul mendail nombor ibunya. Selepas
menghubungi ibunya dia menyerahkan kembali telefon tersebut kepada Zharif dan
duduk di kerusi berhadapan dengan cikgu Zharif.
“ Mama kata jalan sesak nak pergi sini. Tapi dia
kata dah nak sampai pun.” Ujar Nurul.
“ Mama Nurul kerja apa? Jauh ke dia ke sini?”
Tanya Zharif.
“ Oh. Mama kerja di KLCC. Dia kerja dengan
Petronas.” Jawab Nurul. Kemudian, ada ibu bapa yang hadir. Nurul segera
meninggalkan mereka dan duduk di bahagian belakang kelas. Sesi itu berlangsung
lebih kurang lima minit. Cikgu Zharif mengambil kain dan mengelap kaca matanya.
Nurul berada di koridor kelas. Dia berlari ke arah ibunya setelah ibunya sampai
ke kelasnya.
“ Cikgu mak saya dah sampai.” Ujar Nurul pendek.
Syazwani memasuki kelas dan dia terpaku melihat Zharif. Hatinya menjadi sebak
tiba-tiba. Dia berjalan perlahan ke arah Zharif. Zharif tersenyum melihat Nurul
dan ibunya.
“ Silakan duduk puan.” Zharif menjemput mereka.
Zharif mengambil keputusan dan fail milik Nurul untuk dibentangkan kepada
Syazwani. Dia memulakan sesi itu dengan membentangkan keputusan keseluruhan
Nurul.
Nurul
melihat dan berasa sungguh puas dan dia tersenyum melihat keputusannya. Zharif
masih lagi membentang tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Namun tidak bagi
Syazwani. Sepanjang perjumpaan itu. Dia tidak mampu untuk fokus. Dia hanya
melihat wajah Zharif. Dia dapat rasakan air matanya mula mengalir tanpa
paksaan. Wajah seorang lelaki muncul dalam memorinya. Iskandar.
‘Adakah dia Iskandar? Kenapa dia tak kenal aku?
Mungkin juga pelanduk dua serupa.’
Tangannya mula menggeletar dan air matanya diseka
dan cuba untuk ditahan. Dia tidak mahu Nurul melihatnya dalam keadaan sedih.
Dia tidak lagi bersedia untuk itu.
“ Puan. Terharu tengok keputusan anak puan? Untuk
pengetahuan puan juga, Nurul satu-satunya pelajar yang mendapat semua ‘A’. Satu
permulaan yang baik untuk UPSR. Memandangkan dia baru sahaja darjah dua.” Ujar
Zharif setelah dia menyedari Syazwani mula mengeluarkan air mata. Syazwani
mengangguk. Setelah selesai mereka bergerak pulang. Syazwani sempat menoleh ke
arah Zharif. Ditenung wajah itu lama-lama. Dia meneruskan perjalanan.
* * * * * * * * *
Syazwani hanya duduk di sofa dan menonton
televisyen. Hari esok merupakan hari yang dinantikan untuknya. Hari dia akan
bebas daripada kehidupannya sebagai seorang isteri. Sekali-sekala kedengaran
bunyi seseorang sedang berkemas di atas.
Iskandar sedang sibuk mengemas barang-barang
peribadinya. Pedih hatinya terpaksa berpisah. Namun apakan daya. Dia dan
Syazwani sudah tidak sehaluan. Dia tidak mahu Syazwani terus memikirkan soal
lelaki lain. Dia juga tidak mahu menyeksa Syazwani. Sejak mereka berkahwin ada
sahaja perkara yang akan dibangkitkan oleh Syazwani.
Dia bertekad untuk memulakan hidup baru. Baru
semalam ibunya mendaftarkannya untuk sambung belajar di peringkat master dalam
pengajian akauntan di Merseyside. Hal ini bermakna esok selepas sahaja proses
penceraian, dia akan terbang ke United Kingdom.
“ Iskandar, ingat apa yang ustaz nasihat selama
ini. Pergi mana-mana ingat Allah. Di Malaysia ini tuhan kita Allah. Di sana
nanti Allah juga tuhan kita. Di mana-mana sekalipun. Jangan tinggal solat.
Rajinkan baca Al-Quran. Sesekali hayati apa yang kamu baca. Sesekali kamu dah
berada di atas sejadah, jangan kamu tinggalkannya.” Nasihat ustaz Zubir
sebentar tadi masih lagi disematkan dalam hatinya. Berat dia ingin melepaskan
Iskandar pergi. Dia menghadiahkan senaskhah Al-Quran dan sehelai sejadah kepada
Iskandar.
“ Mesti selepas ini Syazwani gembirakan?” Syazwani
melihat suaminya yang baru sahaja berkemas. Syazwani mengangguk.
“ Kenapalah abang pergi tanya. Mestilah Syazwani
gembira. Tak perlu bersama abang. Lebih-lebih lagi dengan orang seperti abang
ini. Mana layak dengan Syazwani. Syazwani orangnya baik. Sekolah agama dan
berlatar belakangkan keluarga yang warak. Abang cuma..” Dia mematikan
kata-katanya. Syazwani dapat mengesan kesayuan pada suara Iskandar.
“ Abang tak tahu Syazwani. Setiap hari abang
berusaha untuk jadi yang terbaik. Tapi ada saja perkara yang menyebabkan kita
tak sehaluan. Apa yang abang buat semua salah di mata Syawani. Nanti esok,
Syazwani ambil saja rumah dan kereta. Abang akan pergi jauh daripada Syazwani.
Semoga Syazwani bahagia selepas ini. Satu lagi abang nak bagi tahu. Abang tak
pernah tipu Syazwani.” Sambung Iskandar lagi. Dia meletakkan sehelai surat di
atas meja. Dia berharap semoga surat itu akan menjadi wakilnya untuk
memberitahu perkara yang sebenar.
* * * * * * * * *
“ Mama, kenapa ini?
Nurul tanya dari tadi tak jawab.” Syazwani tersedar dari memori yang lama. Dia
berasa sunyi walaupun dia berada di tengah-tengah keriuhan mereka yang berada
di kedai makan tersebut. Dia menoleh ke arah anaknya.
“ Sayang tanya apa
tadi?” Entah mengapa pertemuan dengan cikgu Zharif sebentar tadi mengembalikan
memori lamanya bersama Iskandar. Mereka bukan hampir serupa. Tetapi mereka
memang serupa. Yang membezakan mereka adalah Cikgu Zharif berkaca mata dan
Iskandar pula tidak.
“ Nurul tanya hari
sabtu ini mama kerja tak?” Dia benar-benar terlupa. Dia membuka telefonnya. Dia
mengangguk.
“ Nanti hari Sabtu ini
mama hantar awak ke rumah mak cik Umairah. Jangan nakal-nakal duduk sana pula.”
Nurul hanya mengangguk.
“ Nurul, siapa nama
cikgu tadi?” Kini giliran Syazwani pula bertanya. Syazwani memandang ibunya
sambil menggigit sudu.
“ Cikgu Zharif.” Balas
Nurul ringkas. Syazwani hanya mengangguk. Bagaimana dia mahu memastikan perkara
tersebut. Semua kenangan dan gambar Iskandar telah dibuang dan dibakar.
Pinggangnya mula
terasa sakit. Keadaan di pejabat hanya tinggal beberapa orang sahaja. Hari ini
cukup penat bagi Syazwani. Dia terpaksa menguruskan beberapa hal yang berkaitan
dengan sumber manusia. Dia mengerling ke arah telefonnya yang kini menunjukkan
angka enam petang. Baru pagi tadi dia mendapat arahan daripada Petronas Carigali
untuk ke offshore selama dua minggu. Dia mengeluh perlahan.
Dia tersedar yang ada
beberapa panggilan telefon masuk sejak lima petang tadi. Dia terlupa yang sejak
tadi dia meletakkan telefonnya dalam keadaan silent mode ketika
mesyuarat tadi. Dia cuba untuk mendail nombor tersebut.
“ Assalamualaikum
Syazwani. Ini Umairah. Nurul tadi mengadu sakit dada. Adik hantar dia ke
klinik. Kemudian klinik terus tolak dia ke hospital. Doktor kata dia kena
serangan jantung.” Tersentap Syazwani mendengar.
“ Akak cepat sikit
datang. Doktor kata dia kritikal. Kami di Hospital Kuala Lumpur ini.” Syazwani
terus berlari ke arah kereta yang diletakkan di bawah Suria KLCC. Dia membuka
pintu dan cuba mengidupkan enjin. Akibat tergesa-gesa kunci keretanya patah
ketika dia cuba menghidupkan enjin. Dia menjadi panik.
“ Ya mama. Ya Zharif
nak balik dah ini. Zharif beli barang sekejap. Mama kemas barang dulu malam
ini. Esok penerbangan kita ke Langkawi. Okey mama. Assalamualaikum.” Dia
mematikan talian. Dia berjalan ke arah keretanya sambil menjijit barang-barang
yang baru dibeli sebentar tadi. Dia memasuki ke dalam kereta dan mula memandu.
Dari jauh dia dapat
melihat seorang wanita sedang berdiri di tepi kereta sambil menangis. Seperti
sedang cuba untuk meminta pertolongan. Dia mengamati wajah wanita tersebut.
Sah! Ibu Nurul. Dia menghampiri dan memberhentikan keretanya.
“ Puan ibu Nurul? Ada
yang boleh saya bantu?” Tanya Zharif memulakan bicaranya.
“ Cikgu, boleh bantu
saya cikgu? Nurul masuk hospital dan kunci kereta saya patah. Tolong saya
Iskandar. Dia kritikal sekarang ini.” Dia menangis dan terus menutup mulutnya
kerana tersasul menyebut nama Iskandar. Zharif juga terkejut dan menjemput
Syazwani untuk masuk ke dalam keretanya. Berdasarkan rekod kesihatan Syazwani
sihat walafiat. Dia terus memecut keretanya.
“ Sabar puan. In Shaa
Allah kita akan sampai sebentar lagi. Mungkin ini ujian daripada Allah puan. Bertenang
ya puan.”
Zharif mengambil kotak
tisu dan memberikannya kepada Syazwani yang masih lagi teresak-esak. Fikirannya
masih lagi kusut memikirkan soal Nurul. Satu-satu anaknya bersama Harraz. Nurul
tidak pernah mengalami masalah serangan jantung walaupun dia disahkan jantung
berlubang sejak kecil. Zharif cuba menenangkan keadaan. Dia juga berasa sedih
dengan keadaan yang menimpa anak muridnya. Dia membuka kaca matanya dan
Syazwani tetap memandangnya. Dia terpana dan terkesima melihat wajah Zharif
yang persis Iskandar ketika membuka kaca mata. Dia menenung lama wajah insan di
sebelahnya. Dia juga keliru sama ada Zharif ataupun Iskandar.
Tayar kereta berdecit
menandakan Zharif sedang memberhentikan kereta secara mengejut. Dua buah kereta
menahannya. Zharif keluar dan bergerak ke arah kumpulan lelaki terbabit. Belum
sempat dia berkata apa-apa mukanya ditumbuk. Syazwani terus panik melihat aksi
di hadapannya.
“ Bos, ada seorang
lagi di dalam kereta.” Jerit salah seorang daripada mereka.
“ Tangkap juga. Rampas
semua telefon bimbit dan dompet. Kau, pandu kereta dia.” Arahan ketua tadi
segera dilaksanakan.
* * * * * * * * *
Iskandar memerhati keadaan sekeliling. Baru
sebentar tadi dia menerima panggilan daripada Jamal untuk berjumpa dengannya.
Dia mengerling ke arah jam. Sudah 15 minit dia menunggu namun kelibat Jamal
masih lagi tidak nampak. Dia bersandar pada keretanya.
“Iskandar!” Satu suara datang dari arah belakang.
Dia menghampiri Jamal. Iskandar menghulurkan tangan untuk berjabat namun
ditepis kasar oleh Jamal. Jamal mendengus geram.
“ Kau tahu kenapa aku nak jumpa kau di sini?”
Iskandar mengangkat bahu sambil menggeleng kepala.
“ Sebab aku nak balas dendam atas kematian ayah
aku.” Iskandar terkejut dengan penjelasan Jamal. Hal ini bermakna dia yang akan
menjadi mangsa. Ayah Jamal mati ketika ayahnya melakukan serbuan terhadap
premis dadah ayahnya. Berlaku tembak-menembak antara pihak polis dan
penjenayah. Akhirnya kedua-dua mati di tempat kejadian.
Tanpa membuang masa Jamal segera mengeluarkan
pisau dan terus menghunus ke arah Iskandar. Iskandar sempat mengelak dan
berlaku pergelutan antara mereka. Jamal menendang perut Iskandar menyebabkan
dia tersungkur di atas jalan.
Inilah masanya. Pisau Jamal dikeluarkan dan dia
terus cuba menikam Iskandar. Iskandar mengelak sedikit namun pisau tersebut
tertikam di bahu kanannya. Iskandar mengerang kesakitan. Tiba-tiba siren polis
berbunyi. Tanpa membuang masa Jamal segera melarikan diri. Hatinya masih lagi
tidak puas. Dendamnya masih belum terbalas. Dia mahukan Iskandar mati.
* * * * * * * * *
Zharif tersedar daripada
pengsan. Kepalanya pening. Dia cuba mengamati mimpinya tadi. Iskandar? Siapa
dia Iskandar? Mengapa wajah mereka sama? Dia tidak ingat apa-apa lagi. Dia
duduk termenung dalam keadaan gelap. Dia cuba menyusun kembali sejarah
hidupnya. Adakah dia mempunyai adik kembar? Dia hanya mengetahui yang dia dan
ibunya menetap di Merseyside. Itu sahaja. Dia cuba untuk bergerak namun dia
sedar yang tangannya sedang diikat pada sebuah tiang.
“ Nurul, maafkan mama.
Iskandar maafkan saya kerana tidak mempercayai awak dulu. Jangan tinggalkan
saya lagi. ” Dia terdengar suara Syazwani yang sedang mengigau. Sayu hatinya. Tangan
Syazwani juga turut terikat. Nama Iskandar juga turut dia dengar. Siapa
Iskandar sebenarnya? Apa kaitan dia dengan Iskandar? Mengapa mama tak pernah
beritahu dia akan hal ini? Nurul? Ya bagaimana keadaan Nurul sekarang. Tadi dia
dalam perjalanan menghantar Syazwani ke hospital.
Pintu bilik tersebut
dibuka mengejutkan mereka berdua. Syazwani yang baru tersedar terpinga-pinga.
Muncul beberapa orang masuk ke bilik tersebut. Salah seorang menepuk tangan.
Zharif mengamati wajah salah seorang daripada mereka. Dia dapat mengecam
seseorang yang serupa dalam mimpinya. Jamal.
“ Selamat kembali
Iskandar.” Zharif cuba untuk melawan namun terus dihalang oleh pembantu Jamal.
“ Siapa Iskandar? Aku
Zharif! Jadi kau nak balas dendam sekarang? Maaf kau salah orang.” Jamal hanya
tersenyum. Dia menepuk tangan. Salah seorang pembantunya mengambil sebilah
pisau. Dia cuba melawan dan meronta-ronta ketika dipegang oleh beberapa orang.
Salah seorang daripada mereka terus mengoyakkan kemeja Zharif. Jelas parut lama
itu masih ada di bahu kanannya!
“ Kau tak ingat parut
itu. Aku yang tikam. Cuma masa itu kau bernasib baik.” Ujar Jamal. Dia
menyalakan rokoknya. Syazwani melihat parut itu. Sah! Dia Iskandar.
“ Bos Syazwani ini
macam mana?” Tanya salah seorang daripada mereka.
“ Oh ya. Sebelum aku
terlupa. Mungkin ada berita buruk untuk kau.” Dia segera mengambil telefon
bimbit Syazwani dan menunjukkannya kepada Syazwani.
1852 :
Kakak ada dekat mana? Jauh lagi ke?
1900 :
Kakak, Nurul semakin kritikal. Dari tadi asyik sebut sahaja nama kakak. Kakak
cepat sikit. Doktor kata harapan tipis.
1915 :
Kak, maafkan kami kak. Doktor kata dia tak mampu buat apa-apa. Nurul dah
disahkan meninggal dunia.
Syazwani terus
menangis. Hatinya hancur. Satu-satu anaknya telah pergi selama-lamanya. Zharif
yang mendengar turut sedih mendengar berita anak muridnya. Lebih-lebih lagi
tanpa ibunya di sisi.
“ Kau jangan bimbang
Zharif. Seorang ibu akan lakukan apa-apa sahaja untuk selamatkan anaknya. Aku
baru telefon mak kau. Kalau dalam masa dua jam mak kau tak hantar sejumlah wang
yang aku minta, kau akan terus hidup itupun kalau kulit kau kalis peluru. Dan
lagi satu. Akhirnya mak kau mengakui kau adalah Iskandar. Mak kau kena mengaku
untuk selamatkan kau. Kalau dia tak mengaku dah lama aku tembak kau. Ya sudah
semestinya. Kalau tidak buat apa aku simpan orang yang salah.”
“ Hei Syazwani, ini
bekas suami kau untuk dua bulan dahulu. Nasib kau juga bergantung pada ibunya.”
Jamal dan yang lain terus keluar dari bilik itu. Kebenaran telah tersingkap.
Kini tiada lagi Zharif. Hanya Iskandar. Iskandar terbaring sayu. Sukar untuk
dia menerima berita tersebut. Mengapa mama tidak pernah cerita? Syazwani adalah
isterinya dahulu? Dia kembali merenung Syazwani. Entah mengapa ada perasaan
lain datang hinggap ke dalam hatinya melihat wajah Syazwani.
* * * * * * * * *
“ Lambat balik hari
ini. Pergi mengaji lagi? Atau dengar tazkirah dengan perempuan lain?” Syazwani
segera menyerang Iskandar yang baru sahaja masuk ke dalam rumah.
“ Abang baru ke klinik
tadi. Abang kena tikam tadi di bahu ini. Nasib baik tak kena jantung.” Ujar
Iskandar sambil memegang balutan di bahunya. Dia segera duduk di atas sofa.
“ Dah agak dah.
Betulkan apa yang aku cakap selama ini? Kalau betul kau pergi masjid takkan
jadi begini. Ini mesti pergi tempat-tempat tak elok. Takkan orang masjid itu
nak serang kau pula.” Hancur hatinya mendegar apa yang diucapkan Syazwani.
Namun air mata cuba ditahan.
“ Kau tahu, perkara
paling malang dalam hidup aku bila kena kahwin dengan kau. Alasannya kau nak
berubah dan macam-macam lagi. Kalau bukan sebab mak dan ayah, aku tak ingin
kahwin dengan kau.” Syazwani terus menyerang dengan kata-kata yang tajam. Dia
segera melangkah dan masuk ke biliknya meninggalkan Iskandar seorang.
Proses perceraian baru
sahaja usai. Sedih hati Iskandar. Kini, dia bukan lagi suami kepada Syazwani
setelah mereka sah berpisah dengan talak satu. Ahli keluarga mereka juga turut
bersedih. Antara mereka yang hadir ialah ibu Syazwani dan Puan Ashrifah.
“ Jangan putus
hubungan dengan keluarga mak cik ya Iskandar. Selalulah datang jenguk mak cik.
Mak cik sedih dengan apa yang telah berlaku.” Ujar Puan Hasliza. Sungguh berat
hatinya ingin melepaskan Iskandar. Iskandar berjalan dengan perasaan sayu.
“ Iskandar!!” Jerit
Puan Ashrifah. Iskandar menoleh ke belakang. Dia dapat melihat satu cahaya
putih datang menghampirinya. Bunyi tayar berdecit dan....
* * * * * * * * *
Iskandar tersedar
daripada tidurnya. Dia sudah mendapat segala jawapan. Syazwani masih lagi di sebelahnya dengan air
mata yang masih lagi bergenang. Syazwani tidak tahu apa perasaan dia ketika
ini. Dia baru sahaja mendapat tahu Nurul telah pergi menerima dakapan Ilahi.
Dalam masa yang sama, dia dipertemukan kembali dengan Iskandar. Perasaan
bersalah masih lagi wujud. Semuanya berlaku dengan pantas.
“ Syazwani.” Sapa
Iskandar perlahan. Syazwani memerhatikan Iskandar.
“ Takziah.” Sambungnya
lagi. Syazwani mengangguk.
“ Anggap ini sebagai
satu ujian daripada Allah. Memang setiap yang bernyawa akan merasai mati. Tapi
itu juga tak bermakna kita yang masih hidup ini kena berputus asa. Setiap yang
berlaku pasti ada hikmahnya. Kita hanya perlu letakkan kepercayaan kita kepada
Allah dan bertawakal setelah kita berusaha.” Syazwani tersenyum. Begitu juga
Iskandar.
“ Okey sudah cukup dua
jam.” Pintu bilik dibuka. Jamal menghampiri mereka dengan pistol yang sudah ada
di tangannya. Dia mengacukan pistol tersebut ke arah Iskandar kerana itu
merupakan sasaran utamanya. Dendamnya hampir terbalas.
‘Ayah, saya sudah
balas dendam.’ Monolog Jamal dalam hatinya. Belum sempat picu ditarik.
Kedengaran bunyi siren polis di luar.
“ Bos, adik bos,
Fatimah dah lari. Mungkin dia yang laporkan kepada polis.” Ujar salah seorang
daripada mereka. Jamal berang dengan kelakuan adiknya yang belot. Dia segera
keluar. Kedengaran kejadian tembak menembak telah berlaku. Syazwani dan
Iskandar mengambil peluang untuk melarikan diri dan terus bergerak ke arah
polis.
Setahun Kemudian
“ Aku terima nikahnya
Seri Syazwani Binti Rahman dengan mas kahwinnya sebanyak RM 80 tunai.”
Syazwani tersenyum
gembira apabila terkenangkan memori akad nikahnya. Sudah dua kali dia
mendengarnya. Jika sepuluh tahun yang lalu dia mendengar dalam keadaan penuh
benci. Tetapi 12 bulan yang lepas dia dengar dengan penuh kesyukuran dan kasih
sayang terhadap Iskandar.
Dia sudah berjanji
kepada dirinya yang dia akan menjadi isteri yang taat dan solehah. Jika dulu
dia langsung tidak mempercayai Iskandar, tetapi tidak lagi kini. Dia ingin
segera membuang segala kenagan hitam yang lalu.
Selepas kejadian
penculikan itu, Iskandar terus diberitahu oleh ibunya. Selepas sahaja dia
bercerai, Iskandar telah terbabit dalam satu kemalangan dirempuh treler. Namun
nasib baik umurnya masih lagi panjang. Namun Iskandar telah hilang ingatan.
Ibunya
terus membawanya ke luar negara untuk membolehkan Iskandar melupakan segala
memori pahitnya. Zaman silamnya serta alam perkahwinannya semua akan dilupakan.
Identiti baru diberikan kepada Iskandar dengan memakai nama Zharif. Akhirnya
Iskandar dapat menerima berita itu dengan hati yang tenang.
Syazwani melepaskan rambutnya dan dibiarkan sahaja
ke paras pinggang. Dia bersolek ringkas dan bersiap dengan perhiasan yang hanya
boleh ditatap suaminya. Dia mengeluarkan kek coklat dan meletakkannya di atas
meja makan serta sekeping gambar di sebelah kek
coklat tersebut. Dia tersenyum puas. Pintu apartmen mereka diketuk. Hatinya
berbunga ingin menyambut kepulangan Iskandar.
Iskandar tersenyum melihat wajah isterinya. Tiada
lagi bebelan dan yang ada kini hanyalah senyuman sewaktu dia pulang dari kerja.
Jika semua pelukis di dunia ini bersatu sekalipun, masih belum mampu mereka
melukis wajah secantik itu. Baginya wajah isterinya adalah karya agung ciptaan
Allah. Iskandar terus memeluk Syazwani dan mengucup ubun-ubun Syazwani.
“ Abang ada lupa apa-apa ke hari ini sayang?”
Tanya Iskandar dalam keadaan berbisik. Syazwani terus mengunci pintu apartmen
dan menarik tangan suaminya ke dapur. Iskandar pelik dengan adanya kek di atas
meja. Dia melihat jam tangannya.
“ Hari jadi sayang bukan. Hari jadi abang pun
bukan. Ulang tahun perkahwinan pun bukan. Sebenarnya apa sayang?” Syazwani
menunjukkan gambar di sebelah kek tersebut. Iskandar mengambil gambar tersebut.
Itu merupakan gambar ultrasound. Syazwani segera masuk ke bilik
meninggalkan suaminya kerana malu. Iskandar tersenyum dan mengejar Syazwani.
Syazwani segera mendakap suaminya dan menyorokkan mukanya ke dada Iskandar.
Entah mengapa terasa ada satu kedamaian di sana.
“ Syazwani mengandung ya sayang?” Syazwani
tersenyum begitu juga Iskandar. Setelah hampir setahun mereka berkahwin
akhirnya mereka dikurniakan cahaya mata pertama.
“ Kalau dari dulu kita begini kan seronok. Kalau
tak dah ramai dah anak kita.” Iskandar tersenyum nakal. Syazwani mencubit
lengan suaminya.
“ Abang, sayang nak minta maaf. Sebab dulu sayang
selalu lukakan hati abang. Sayang selalu tuduh abang yang bukan-bukan.” Ucap
Syazwani. Dia mengambil tangan suaminya dan mengucup dengan penuh kasih sayang.
Iskandar membawa Syazwani untuk duduk di birai katil. Dia menggengam erat
tangan isterinya.
‘ Semoga gugurlah dosa daripada tapak tangan kami
ini ya Allah.’ Doa Syazwani dalam hati.
“ Sayang, berapa kali abang nak cakap. Abang dah
lupakan segala-galanya. Sayang, hati diibaratkan seperti daun yang gugur dari
sebatang pokok. Daun tidak akan pernah gugur dalam keadaan statik. Tatkala ia
gugur ke bumi, angin yang meniup sering kali menukar permukaan daun ke bawah
dan ke atas. Jika permukaan yang di bawah ditiup ia pasti akan menghadap ke
atas. Begitu juga sebaliknya.”
“ Samalah dengan hati. Hati kita umpama daun yang
sentiasa berubah kedudukkannya bila ditup bayu. Boleh jadi hati kita hari ini
menghadap dan taat akan perintah Ilahi, boleh jadi ia akan berubah sebaliknya.
Sebab itu sentiasalah perbaharui iman kita dengan syahadah. Sebab iman kita ini
ada turun dan naiknya.” Ujar Iskandar panjang lebar.
Iskandar segera mengucup dahi dan ubun-ubun
isterinya dengan tenang. Sambil mengharapkan keredaan dan pahala berjuang di
jalan Allah. Syazwani membaringkan kepalanya di atas riba Iskandar.
“ Sayang nak tahu sesuatu tak? Abang ada dua benda
nak cakap ini.” Tanya Iskandar tiba-tiba. Syazwani mengangguk.
“ Pertama abang cintakan sayang.” Syazwani
tersenyum. Dia segera mengucup pipi Iskandar.
“ Sayang cintakan abang juga. Kejap yang kedua
apa?”
“ Abang lapar. Jom kita makan.” Ketawa mereka
pecah bersama. Iskandar segera mendokong Syazwani ke meja makan. Mereka
berpandangan dan tersenyum bahagia.
Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku
adalah kerana Mu ya Allah
TAMAT
nice story :) -sakura-
ReplyDelete